Salam buat pembaca seperti
kifli dan setapakian. Mereka meminta saya berhujah mengenai hukum hudud samada wajib atau tidak dilaksanakan di Malaysia.
Pertama, ingin saya nyatakan di sini bahawa saya bukan seorang yang layak digelar mufti untuk membicarakan mengenai dalil dan nas hudud. Namun saya seorang yang beragama Islam dan pernah mendapat pendidikan asas Islam semasa bersekolah dahulu. Insya-Allah saya akan terangkan mengikut pendapat yang logik beserta sebab mengenai hukum hudud dan perlaksanaan hukum hudud di Malaysia.
Kedua-dua pembaca ini meminta saya bercakap mengenai soal hudud. Saya akan terangkan apa yang termampu oleh saya dan jika mereka berdua ingin maklumat lebih lanjut, bolehlah mereka merujuk kepada Haji Hadi ataupun Husam Musa kerana saya yakin kedua pemimpin daripada PAS ini layak membicarakan tentang soal hukum hudud kerana mereka berdua juga yang menyalak dan memulakan isu hudud apabila tiba pilihan raya yang membabitkan negeri Terengganu.
Buat saudara kifli dan setapakian, saya buka bicara tentang hukum hudud dengan sedikit penerangan mengenai Rukun Islam. Saya yakin dan percaya bahawa saudara berdua juga tahu mengenai Rukun Islam berdasarkan komen saudara dalam blog saya. Rukun Islam ada lima perkara dan wajib ditunaikan oleh setiap umat Islam di seluruh dunia.
Untuk menjadi seorang Islam, wajib bagi mereka mengucapkan dua kalimah syahadah. Rukun Islam yang pertama ini memang tidak boleh dikompromi dan dipandang enteng. Jika seseorang yang beragama lain ingin memeluk Islam, wajib bagi orang itu mengucap dua kalimah syahadah terlebih dahulu baru boleh disahkan sebagai seorang yang beragama Islam. Rukun Islam yang pertama ini tidak boleh ditolak ansur dan perlaksanaannya adalah tetap dan tegas.
Rukun Islam kedua pula adalah solat lima waktu sehari semalam. Perkara ini juga menjadi kewajipan kepada umat Islam sama ada sihat ataupun sakit. Ini kerana Islam adalah agama yang memberi kemudahan kepada penganutnya. Solat boleh dilakukan dengan berdiri tegak bagi yang sihat dan mampu sehinggalah kepada hanya bersolat melalui kerdipan mata jika sakit dan tidak mampu. Perlaksanaan mengenai solat juga adalah wajib dan tiada kompromi.
Rukun Islam ketiga adalah berpuasa di bulan Ramadhan. Hukum berpuasa adalah wajib namun untuk perkara ketiga ini ada kelonggaran dari segi perlaksanaannya. Maksud saya di sini ialah, berpuasa boleh ditangguhkan perlaksanaannya kepada orang yang sakit di mana jika dia berpuasa akan memudaratkan sakit orang itu. Berpuasa juga boleh diberi kelonggaran kepada ibu yang mengandung kerana dikhuatiri jika ibu yang mengandung itu berpuasa, akan memudaratkan anak di dalam kandungan tersebut. Saya rasa masuk rukun Islam ketiga ini mesti saudara kifli dan setapakian tahu akan maksud saya tentang hukum hudud pula.
Ok, saya jelaskan lagi bagi membuatkan kifli dan setapakian faham mengenai hukum hudud dan tidak diperbodohkan oleh PAS. Rukun Islam yang keempat ialah membayar zakat fitrah. Di sini hukum membayar zakat adalah wajib namun demikian perlaksanaan hukum ini mendapat kelonggaran kepada mereka yang daif dan tidak berkemampuan. Mereka yang daif dan tidak ada kemampuan untuk membayar zakat akan ditakrifkan sebagai penerima zakat kerana boleh dipanggil sebagai fakir miskin. Namun demikian, jika satu hari nanti fakir miskin ini menjadi kaya dan senang, wajib bagi beliau membayar zakat fitrah dan tidak menjadi penerima zakat lagi.
Untuk rukun Islam kelima pula, ialah menunaikan haji bagi yang berkemampuan. Saya ulangi bagi yang berkemampuan. Ini bermaksud wajib bagi mereka yang mempunyai kemampuan dari segi wang ringgit dan tenaga untuk menunaikan haji. Perlaksanaan bagi menunaikan haji adalah wajib namun ia hanya untuk mereka yang berkemampuan. Jika seseorang itu masih tidak mampu dari segi kewangan, tidak wajib bagi orang itu pergi menunaikan haji namun jika satu hari nanti, orang itu mampu dari segi material dan kudrat, maka wajiblah beliau menunaikan haji.
Cukup lima syarat dalam Rukun Islam. Agama Islam adalah agama yang sungguh tidak menyusahkan para penganutnya. Dalam lima Rukun Islam yang saya jelaskan tadi, 2 daripada 5 perkara yang WAJIB dan tidak boleh ditangguhkan perlaksanaannya iaitu mengucap dua kalimah syahadah dan solat lima waktu sehari semalam. 3 rukun Islam yang lain
wajib juga dilaksanakan namun ia masih boleh ditangguhkan dan diberi kelonggaran berdasarkan kepada masalah-masalah yang dihadapi oleh seseorang penganut agama Islam itu sendiri.
Saya ingin bertanya kifli dan setapakian di mana letaknya hukum HUDUD? Sudah tentu hukum hudud tiada dalam 5 rukun Islam. Namun demikian hukum hudud adalah perkara yang menjadi kewajipan kepada kita untuk dilaksanakan.
Jawapan saya hukum hudud memang wajib dilaksanakan kerana ia adalah salah satu yang disyariatkan oleh Allah S.W.T kepada umat Islam.
Cuma, apa yang saya ingin tegaskan di sini ialah dari segi perlaksanaan hukum hudud itu sendiri. Kenapa perlu Husam Musa merujuk kepada PKR dan DAP dari segi perlaksanaan hukum hudud itu sendiri? Adakah Husam Musa takut kepada PKR dan DAP sehingga terpaksa merujuk kepada DAP dan PKR jika ingin melaksanakan hukum hudud? Saya dengan yakin dan berani mengatakan bahawa jika PAS berjaya mentadbir negara ini, hukum hudud tetap tidak akan terlaksana kerana PAS perlu juga merujuk kepada PKR dan DAP sebelum dapat dijadikan undang-undang di Malaysia.
PAS hanya ingin menarik perhatian pengundi Islam di Kuala Terengganu, jadi isu hudud cuba dimainkan semula. Mengapa dalam manifesto PAS pada Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu tiada pula hukum hudud? Ini kerana PAS ingin memperolehi 'political mileage' daripada PKR dan DAP. Kini PAS berjaya mentadbir 3 negeri iaitu Kelantan yang sedia ada dan Kedah serta Perak. Ini jelas menunjukkan bahawa PAS hanya gilakan kuasa dan sanggup mempermainkan hukum hudud demi mencapai kemenangan di Kuala Terengganu nanti.
Saya jelaskan di sini bahawa hukum hudud wajib dilaksanakan namun perlaksanaan hukum hudud macam 3 Rukun Islam yang saya jelaskan iaitu berpuasa di bulan Ramadhan, membayar zakat fitrah dan menunaikan haji bagi yang mampu. Hukum Hudud juga boleh ditangguhkan atas sebab-sebab tertentu seperti Malaysia yang mempunyai penduduk berbilang kaum serta masalah Perlembagaan.
PAS katakan UMNO menolak hukum Allah, namun adakah PAS akan melaksanakan hukum Allah ini juga jika memerintah Malaysia. Nescaya tidak kerana PAS hari ini pun tidak konsisten dengan apa yang dikatakan dan jelas PAS menjadi kuda tunggangan PKR dan DAP.