Tuesday, December 23, 2008

Belum apa-apa lagi dah 'melompat'…

Seperti yang diduga rakan politik PAS dalam Pakatan Rakyat, DAP awal-awal sudah ‘ melompat’ sebagai reaksi kepada kenyataan Datuk Husam Musa PAS akan tetap laksanakan undang-undang Hudud dan Qisas sebaik saja Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih tampuk pimpinan negara melalui pilihan raya umum. Ia sekaligus memperlihatkan dengan jelas bagaimana rapuhnya ikatan rakan kongsi kuasa dalam pakatan itu dimana PAS seolah berada dalam keadaan tangan terikat.

Tiga orang kuat DAP Lim Guan Eng, bapanya Lim Kit Siang dan Karpal Singh yang amat tidak senang dengan kenyataan Naib Presiden PAS itu menuntut beliau memberi penjelasan. Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP menegaskan pelaksanaan hukum hudud tidak termasuk dalam manifesto Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum Mac lepas.

"DAP tidak bersetuju dan membantah cadangan itu,’kata di Pulau Pinang Isnin. Kit Siang, Ahli Parlimen Ipoh yang mahu Husam beri penjelasan bimbang ia akan mencetuskan kegelisahan serta menejejaskan sokongan pengundi Cina semasa pilihanraya kecil Kuala Terengganu 17 Januari ini. Beliau menegaskan pendirian DAP tidak berubah bahawa Malaysia harus kekal sebagai negara sekular. Pengerusi DAP yang juga Ahli Parlimen Jelutong membidas Husam kerana membuat kenyataan berkenaan.

Sementara itu Husam yang ditemui para wartawan di Kota Bharu Isnin sudah terus tukar nada mengenai pelaksanaan undang-undang hudud dan qisas. Beliau mengakui pelaksanaan undang-undang hudud dan qisas mungkin terpaksa ditangguhkan walaupun jika Pakatan Rakyat memerintah negara ini kerana ia memerlukan persetujuan dua rakannya dalam pakatan itu, Parti Keadilan Rakyat dan DAP.

Katanya parti-parti komponen dalam pakatan itu telah menandatangani perjanjian pada Ogos lalu bahawa sebarang perubahan dasar perlu dibuat dengan persetujuan semua parti komponen. "PAS tidak akan mengambil langkah unilateral. Semua perkara akan diambil secara multilateral," katanya. Dalam satu forum di Kota Bharu pada Sabtu lalu, beliau berkata PAS akan tetap melaksanakan hukum hudud itu tetapi pendirian itu dibantah oleh DAP. "Pasal hudud kita bincang, kalau tidak boleh terima lagi, kita tangguhkan lagi," kata Husam.

Beliau berkata banyak perkara perlu dilakukan untuk menggubal undang-undang hudud itu seperti mengadakan rundingan dengan badan-badan peguam dan mungkin perlu diadakan pungutan suara. Sebaliknya Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang ditemui para wartawan pula berkata tiada masalah untuk PAS melaksanakan undang-undang Hudud dan Qisas kerana halangannya hanya terletak pada pemikiran mereka yang kurang memahami undang-undang itu.

Jika hukuman gantung boleh dilaksanakan kepada pengedar dadah maka tidak jadi masalah untuk rakyat menerima hudud yang antara lain menguatkuasakan hukuman bunuh kepada pembunuh dan hukuman potong tangan kepada pencuri, katanya.

"Hudud ini bukan dibawa PAS tetapi dibawa oleh Islam sejak dari zaman Nabi Muhammad lagi, jadi bagi orang Islam yang mentadbir negara adalah wajib bagi mereka melaksanakan hudud," katanya.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata pemimpin PAS seperti beliau hanya mampu menggubal undang-undang Hudud dan Qisas itu tetapi pelaksanaannya akan diadili oleh mahkamah dan hakim berdasarkan bukti dan fakta.

"Jika tidak cukup bukti, hakim tidak akan jatuhkan hukum hudud ke atas pesalah itu. Sama seperti undang-undang yang ada sekarang," katanya.

Ditanya mengenai penerimaan parti komponen Pakatan Rakyat seperti DAP dan PKR, Nik Abdul Aziz berkata PAS sedia berbincang dengan mereka mengenai hukum hudud.

"Jika mereka tidak mahu menerima, mereka perlu ada alasan kenapa tidak boleh menerimanya. Islam memberikan peluang kepada semua untuk berbincang," katanya.

dipetik daripada Agenda Daily Online, 22 Disember 2008

2 comments:

Anonymous said...

HIKAM TOK GURU : SIRI 4

Tok Guru Nik Abdul Aziz berkata;

“Nyawa kita diumpamakan api pelita yang pada bila masa sahaja boleh terpadam”

ULASAN

Kematian merupakan lumrah bagi makluk yang hidup. Tidak ada kehidupan melainkan semuanya berakhir dengan kematian, dan tidak ada kematian melainkan ianya bermula dengan kehidupan.

Firman Allah :

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ

Maksudnya;
” Tiap-tiap yang bernyawa akan merasakan mati”

(Surah Al-Imran : 185)

Pun begitu, hakikat kematian yang difahami manusia adalah ”meninggalkan dunia” yang serba fana’. Menunjukkan, selepas kematian yang dimaksudkan dengan meninggalkan dunia, pasti manusia akan dihidupkan balik bagi menyelesaikan segala pembalasan baik atau buruk yang telah dilakukan oleh manusia.

Dengan sebab itu, kematian bukan patut dijadikan sebagai asas ketakutan, tetapi ketakutan itu adalah kehidupan selepas mati.

Firman Allah:

وَاتَّقُوا يَوْمًا لَا تَجْزِي نَفْسٌ عَنْ نَفْسٍ شَيْئًا وَلَا يُقْبَلُ مِنْهَا شَفَاعَةٌ وَلَا يُؤْخَذُ مِنْهَا عَدْلٌ وَلَا هُمْ يُنْصَرُونَ

Maksudnya;
” Dan jagalah dirimu dari (azab) hari (kiamat, yang pada hari itu) seseorang tidak dapat membela orang lain, walau sedikitpun; dan (begitu pula) tidak diterima syafa'at dan tebusan dari padanya, dan tidaklah mereka akan ditolong”

(Surah Al-Baqarah : 48)

Sesungguhnya seseorang manusia itu tidak dibiarkan hidup sepanjang masa, bahkan akan sampai satu ketika bahawa Allah akan mencabut nyawanya. Apabila sampai ajal dan ketikanya, Allah pasti akan menghantar malaikat maut untuk mencabut nyawa manusia tersebut.

Firman Allah:

مَا تَسْبِقُ مِنْ أُمَّةٍ أَجَلَهَا وَمَا يَسْتَأْخِرُونَ

Maksudnya;
” Tidak ada suatu umatpun yang dapat mendahului ajalnya, dan tidak (pula) dapat mengundurkan (nya)”

(Surah Al-Hijr : 5)

Manusia yang telah ditetapkan satu masa sebagai waktu ajalnya, ianya tidak dapat memperlewatkan ajalnya itu, walaupun satu saat sekali pun.

Firman Allah:

وَلَنْ يُؤَخِّرَ اللَّهُ نَفْسًا إِذَا جَاءَ أَجَلُهَا وَاللَّهُ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Maksudnya;
” Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila telah datang waktu kematiannya. Dan Allah Maha Mengenal apa yang kamu kerjakan”

(Surah Al-Munafiqun : 11)

Sesungguhnya mati merupakan antara perkara ghaib yang sengaja Allah tidak maklumkan kepada manusia. Tindakan Allah sedemikian adalah mahu mengajar manusia agar hidup sentiasa berhati-hati dalam menjalani kehidupan seharian.

Jika manusia itu sudah mengetahui waktu hayatnya, pasti manusia akan menjadikan kehidupan awalnya dengan kerosakan dengan melakukan berbagai-bagai kefasadan di atas muka bumi Allah, sedangkan perkara ini adalah dilarang sama sekali oleh Allah SWT.

Memandangkan keadaan inilah, manusia kena sentiasa berhati-hati dalam menjalani kehidupan mereka, kerana tarikh kematian mereka itu tidak diketahui melainkan dibawah pengetahuan Allah. Dan ianya boleh terluput pada bila-bila masa sahaja sepertimana boleh terpadamnya api pelita.

Oleh itu, berhati-hatilah wahai manusia !!!

Sekian

Wallahu ‘Alam

Pemuda Malaysia said...

saudara anonymous, terima kasih atas komen anda..