Friday, December 26, 2008

Rukun Islam dan Hukum Hudud

Salam buat pembaca seperti kifli dan setapakian. Mereka meminta saya berhujah mengenai hukum hudud samada wajib atau tidak dilaksanakan di Malaysia.

Pertama, ingin saya nyatakan di sini bahawa saya bukan seorang yang layak digelar mufti untuk membicarakan mengenai dalil dan nas hudud. Namun saya seorang yang beragama Islam dan pernah mendapat pendidikan asas Islam semasa bersekolah dahulu. Insya-Allah saya akan terangkan mengikut pendapat yang logik beserta sebab mengenai hukum hudud dan perlaksanaan hukum hudud di Malaysia.

Kedua-dua pembaca ini meminta saya bercakap mengenai soal hudud. Saya akan terangkan apa yang termampu oleh saya dan jika mereka berdua ingin maklumat lebih lanjut, bolehlah mereka merujuk kepada Haji Hadi ataupun Husam Musa kerana saya yakin kedua pemimpin daripada PAS ini layak membicarakan tentang soal hukum hudud kerana mereka berdua juga yang menyalak dan memulakan isu hudud apabila tiba pilihan raya yang membabitkan negeri Terengganu.

Buat saudara kifli dan setapakian, saya buka bicara tentang hukum hudud dengan sedikit penerangan mengenai Rukun Islam. Saya yakin dan percaya bahawa saudara berdua juga tahu mengenai Rukun Islam berdasarkan komen saudara dalam blog saya. Rukun Islam ada lima perkara dan wajib ditunaikan oleh setiap umat Islam di seluruh dunia.

Untuk menjadi seorang Islam, wajib bagi mereka mengucapkan dua kalimah syahadah. Rukun Islam yang pertama ini memang tidak boleh dikompromi dan dipandang enteng. Jika seseorang yang beragama lain ingin memeluk Islam, wajib bagi orang itu mengucap dua kalimah syahadah terlebih dahulu baru boleh disahkan sebagai seorang yang beragama Islam. Rukun Islam yang pertama ini tidak boleh ditolak ansur dan perlaksanaannya adalah tetap dan tegas.

Rukun Islam kedua pula adalah solat lima waktu sehari semalam. Perkara ini juga menjadi kewajipan kepada umat Islam sama ada sihat ataupun sakit. Ini kerana Islam adalah agama yang memberi kemudahan kepada penganutnya. Solat boleh dilakukan dengan berdiri tegak bagi yang sihat dan mampu sehinggalah kepada hanya bersolat melalui kerdipan mata jika sakit dan tidak mampu. Perlaksanaan mengenai solat juga adalah wajib dan tiada kompromi.

Rukun Islam ketiga adalah berpuasa di bulan Ramadhan. Hukum berpuasa adalah wajib namun untuk perkara ketiga ini ada kelonggaran dari segi perlaksanaannya. Maksud saya di sini ialah, berpuasa boleh ditangguhkan perlaksanaannya kepada orang yang sakit di mana jika dia berpuasa akan memudaratkan sakit orang itu. Berpuasa juga boleh diberi kelonggaran kepada ibu yang mengandung kerana dikhuatiri jika ibu yang mengandung itu berpuasa, akan memudaratkan anak di dalam kandungan tersebut. Saya rasa masuk rukun Islam ketiga ini mesti saudara kifli dan setapakian tahu akan maksud saya tentang hukum hudud pula.

Ok, saya jelaskan lagi bagi membuatkan kifli dan setapakian faham mengenai hukum hudud dan tidak diperbodohkan oleh PAS. Rukun Islam yang keempat ialah membayar zakat fitrah. Di sini hukum membayar zakat adalah wajib namun demikian perlaksanaan hukum ini mendapat kelonggaran kepada mereka yang daif dan tidak berkemampuan. Mereka yang daif dan tidak ada kemampuan untuk membayar zakat akan ditakrifkan sebagai penerima zakat kerana boleh dipanggil sebagai fakir miskin. Namun demikian, jika satu hari nanti fakir miskin ini menjadi kaya dan senang, wajib bagi beliau membayar zakat fitrah dan tidak menjadi penerima zakat lagi.

Untuk rukun Islam kelima pula, ialah menunaikan haji bagi yang berkemampuan. Saya ulangi bagi yang berkemampuan. Ini bermaksud wajib bagi mereka yang mempunyai kemampuan dari segi wang ringgit dan tenaga untuk menunaikan haji. Perlaksanaan bagi menunaikan haji adalah wajib namun ia hanya untuk mereka yang berkemampuan. Jika seseorang itu masih tidak mampu dari segi kewangan, tidak wajib bagi orang itu pergi menunaikan haji namun jika satu hari nanti, orang itu mampu dari segi material dan kudrat, maka wajiblah beliau menunaikan haji.

Cukup lima syarat dalam Rukun Islam. Agama Islam adalah agama yang sungguh tidak menyusahkan para penganutnya. Dalam lima Rukun Islam yang saya jelaskan tadi, 2 daripada 5 perkara yang WAJIB dan tidak boleh ditangguhkan perlaksanaannya iaitu mengucap dua kalimah syahadah dan solat lima waktu sehari semalam. 3 rukun Islam yang lain wajib juga dilaksanakan namun ia masih boleh ditangguhkan dan diberi kelonggaran berdasarkan kepada masalah-masalah yang dihadapi oleh seseorang penganut agama Islam itu sendiri.

Saya ingin bertanya kifli dan setapakian di mana letaknya hukum HUDUD? Sudah tentu hukum hudud tiada dalam 5 rukun Islam. Namun demikian hukum hudud adalah perkara yang menjadi kewajipan kepada kita untuk dilaksanakan. Jawapan saya hukum hudud memang wajib dilaksanakan kerana ia adalah salah satu yang disyariatkan oleh Allah S.W.T kepada umat Islam.

Cuma, apa yang saya ingin tegaskan di sini ialah dari segi perlaksanaan hukum hudud itu sendiri. Kenapa perlu Husam Musa merujuk kepada PKR dan DAP dari segi perlaksanaan hukum hudud itu sendiri? Adakah Husam Musa takut kepada PKR dan DAP sehingga terpaksa merujuk kepada DAP dan PKR jika ingin melaksanakan hukum hudud? Saya dengan yakin dan berani mengatakan bahawa jika PAS berjaya mentadbir negara ini, hukum hudud tetap tidak akan terlaksana kerana PAS perlu juga merujuk kepada PKR dan DAP sebelum dapat dijadikan undang-undang di Malaysia.

PAS hanya ingin menarik perhatian pengundi Islam di Kuala Terengganu, jadi isu hudud cuba dimainkan semula. Mengapa dalam manifesto PAS pada Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu tiada pula hukum hudud? Ini kerana PAS ingin memperolehi 'political mileage' daripada PKR dan DAP. Kini PAS berjaya mentadbir 3 negeri iaitu Kelantan yang sedia ada dan Kedah serta Perak. Ini jelas menunjukkan bahawa PAS hanya gilakan kuasa dan sanggup mempermainkan hukum hudud demi mencapai kemenangan di Kuala Terengganu nanti.

Saya jelaskan di sini bahawa hukum hudud wajib dilaksanakan namun perlaksanaan hukum hudud macam 3 Rukun Islam yang saya jelaskan iaitu berpuasa di bulan Ramadhan, membayar zakat fitrah dan menunaikan haji bagi yang mampu. Hukum Hudud juga boleh ditangguhkan atas sebab-sebab tertentu seperti Malaysia yang mempunyai penduduk berbilang kaum serta masalah Perlembagaan. PAS katakan UMNO menolak hukum Allah, namun adakah PAS akan melaksanakan hukum Allah ini juga jika memerintah Malaysia. Nescaya tidak kerana PAS hari ini pun tidak konsisten dengan apa yang dikatakan dan jelas PAS menjadi kuda tunggangan PKR dan DAP.

13 comments:

Anonymous said...

gilalah BRO...! macam ustaz pun ada juga. Mesti terkucil depa nak jawab kan bro.Tahniah kepada bro yang sentiasa memberi pandangan dan ayat yang bernas dalam blog bro ni.
Hidup UMNO!!

Mr Joker said...

penting sangat2.

Klik sini : http://perisik-rakyat.com/2008/12/perhatian-untuk-semua-bloggers.html

Anonymous said...

Saya mengambil kira kenyataan tuan disini,
'Saya jelaskan di sini bahawa hukum hudud wajib dilaksanakan namun perlaksanaan hukum hudud macam 3 Rukun Islam yang saya jelaskan iaitu berpuasa di bulan Ramadhan, membayar zakat fitrah dan menunaikan haji bagi yang mampu. Hukum Hudud juga boleh ditangguhkan atas sebab-sebab tertentu seperti Malaysia yang mempunyai penduduk berbilang kaum serta masalah Perlembagaan. PAS katakan UMNO menolak hukum Allah, namun adakah PAS akan melaksanakan hukum Allah ini juga jika memerintah Malaysia. Nescaya tidak kerana PAS hari ini pun tidak konsisten dengan apa yang dikatakan dan jelas PAS menjadi kuda tunggangan PKR dan DAP.'
Alhamdulillah saya bersyukur kepada Allah SWT bahawa saudara bersetuju wajib dilaksanakan. Disini saya lampirkan kenyataan dari pemimpim UMNO sendiri. Ia masih segar dalam ingatan saya walaupun ketika itu saya di bangku sekolah. Walaupun saya tak lah amik port tentang politik negara ketika itu tetapi kenyataan ini amat menduka citakan saya. Tidak sepatutnya keluar dari seorang pemimpin islam....

Ucapan Mahathir pada 2 Mei 1992 di Papar Sabah). Bagaimana kita boleh maju kalau orang Islam sudah tidak ada tangan dan kaki. Bagaimana mereka mahu bersaing dengan bangsa2 lain kalau sifatnya sudah tidak cukup. Hukum Hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara ini yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama.

(Kenyataan Mahathir kepada para wartawan pada tahun 1994 selepas mesyuarat MT Umno). Saya ingin memastikan bahawa negeri2 yang diperintah oleh BN tidak akan melaksanakan hukum hudud.

Bagaimana PAS nak katakan UMNO tidak tolak Hudud? takan dah 51 tahun masih nak tangguh,,,renung2kan

Pemuda Malaysia said...

terima kasih atas komen setapakian..

cuba fahamkan maksud Tun dr. mahathir. Beliau tidak menafikan hukum hudud cuma beliau menyatakan bahawa ia tidak sesuai dilaksanakan di negara ini kerana mempunyai pelbagai kaum.

Kalau PAS sanggup melaksanakan hukum hudud, ini bermakna PAS perlu bergabung dengan UMNO dan dalam masa yang sama PAS kena tolak PKR dan DAP. UMNO juga perlu melakukan pengorbanan iaitu mengenepikan parti MCA, MIC, Gerakan dan lain2 demi untuk menegakkan agama Allah.

Di Malaysia Islam adalah agama rasmi namun agama lain boleh diamalkan dengan bebas. Itu yang menjadi toleransi antara umat Islam dan bangsa lain. Dan ini juga yang menjadikan Malaysia aman dan makmur tanpa perselisihan faham antara kaum. Anda suka melihat negara ini hancur dan berbalah antara kaum? sudah tentu tidak kan..

Haji Hadi sendiri pernah mengeluarkan kenyataan tentang undang-undang Islam di Malaysia. Beliau menyebut bahawa hukum-hakam Islam di Malaysia sudah cukup adil dalam Perlembagaan Malaysia dan tidak perlu hukum hudud.

beliau mengatakan demikian setelah PAS menawan terengganu tahun 1999. kenapa beliau berkata begitu? kerana hukum hudud hanya untuk pilihan raya sahaja. lepas pilihan raya hukum hudud akan terkubur dari diari PAS.

Anonymous said...

Saudaraku setapakian mmg mulia hati anda'sepertimana saya,anda juga mengharapkan puak2 umno ni akn menerim islam itu secara kaffah,tp malangnya mereka2 ini terlalu prajudis terhadap kita..Kita hanyalah menyampaikan apa yg di perintahkan utk di laksanakan sebagai ummat islam yg memerintah dan cuba mengajak saudara se agama ke arah itu, tp mereka menganggap kita sebagai musuh yg harus di tentang n di nafikan hak utk bersuara serta sentiasa di zalimi oleh pemerintah..
Cukuplah umno,marilah bersatua di bawah panji2 islam yg pastinya akn mmbawa kejayaan hidup di dunia lg dan di akhirat sana mencapai mardhatillah..

Anonymous said...

Bermula dari perdebatan Khairy Jamaluddin dengan Husam Musa berkenaan hukuman hudud di Kelantan, isu ini seterusnya menjadi isu panas dalam negara. Sebenarnya isu ini diburukkan sedemikian rupa oleh UMNO untuk melihat musuh mereka berpecah belah. Sudahnya, kenyataan Husam Musa bahawa PAS komited untuk melaksanakan hukuman hudud jika barisan pembangkang mendapat kuasa kelak, kini nampaknya telah menjadi senjata utama UMNO dalam usaha mereka menawan Kuala Terengganu.

Isu ini digunakan sepenuhnya oleh UMNO untuk melihat keretakan hubungan tiga parti utama dalam Pakatan Rakyat, terutamanya DAP. UMNO tahu bahawa DAP tentunya akan melenting bila isu hudud dibangkitkan. Maka keluarlah komen dari DAP yang semangnya sangat anti-hudud atau anti penerapan apa jua hukum Islam.

Bukan setakat memprovokasi DAP, bahkan pemimpin UMNO mencabar PAS supaya membentangkan rang undang-undang hudud di negeri-negeri yang diperintah pakatan pembangkang sekiranya benar parti itu komited dalam melaksanakan hukum tersebut.

Sebagaimana di laporkan oleh Utusan Malaysia, sebuah akhbar utama alat propaganda UMNO, beberapa orang pemimpin UMNO ketika memberikan pendapat mereka berkata, jika PAS gagal membentangkannya khususnya di negeri Perak yang mana wakil parti itu menjadi Menteri Besar, ia membuktikan parti berkenaan hanya menggunakan isu agama untuk tujuan politik.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, soal hudud jelas sengaja dibangkitkan kembali atas keperluan PAS untuk berhadapan Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu kerana pengundinya majoriti orang Melayu. Bagaimanapun, kata beliau, sekiranya kawasan itu tidak ramai pengundi Melayu, PAS bukan sahaja sunyi sepi dalam isu hudud, malah sanggup pula menyokong calon DAP yang terang-terang tidak mahu menerima dasar mereka. ''Ini menandakan bahawa pakatan pembangkang ada masalah. Kalau pengundi faham dilema yang ada, saya percaya mereka tidak akan mengundi pembangkang kerana mereka tidak konsisten. ''Cara mereka, kalau di kawasan Melayu cakap lain di kawasan Cina cakap lain,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Kenyataan Husam PAS akan tetap melaksanakan hukum hudud sekiranya berpeluang memerintah di peringkat Pusat dikritik hebat oleh sekutu Pas dalam pakatan pembangkang khususnya DAP yang menolak keras perkara tersebut dan menyifatkan hudud tiada dalam manifesto pakatan pembangkang.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Noh Omar berkata, kredibiliti PAS dalam menegakkan hukum hudud jelas boleh dipersoalkan kerana mereka tidak konsisten mengenai perkara itu. Menurutnya, parti itu hanya mempolitikkan hukum Allah kerana bercakap mengenainya apabila ada keperluan. Beliau menambah, jika dilihat di negeri Selangor dan Perak yang pembangkang berkuasa, soal hudud langsung tidak menjadi agenda mereka.

''Bila nak pilihan raya kecil (Kuala Terengganu) yang majoriti kawasan Melayu, mulalah nyanyi lagu lama (hudud), tetapi bila tanya di Selangor atau Perak, dia kata matlamat untuk negeri kebajikan. Sebenarnya, macam mana PAS nak tegakkan hudud, kalau di Pulau Pinang pasal program tarian i-Dance itu pun mereka diminta tidak bersuara, ini kan pula hudud. Sebab itu, DAP cakap macam-macam pasal hudud, tetapi Exco agama pakatan pembangkang yang terdiri daripada orang Pas, senyap saja. Kalau betul mereka pejuang hudud, saya cabar Exco agama mereka letak jawatan,'' tegasnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Razali Ibrahim berkata, kenyataan terbaru Husam itu sebenarnya membenarkan dakwaan selama ini bahawa PAS menggunakan agama untuk tujuan politik.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Johor berkata, ini dapat dilihat bagaimana masa pilihan raya umum lalu, isu hudud tidak kedengaran, tetapi untuk Kuala Terengganu ia dibuka semula kerana mereka tahu orang Islam amat sensitif dengan soal agama. Jadi, ini bukan cara berpolitik yang bertanggungjawab. Sebab itu, saya amat dukacita dengan cara ini yang menggunakan agama sebagai alat bagi mencapai kemenangan. Dari dulu lagi orang bercakap pasal ini, tetapi sekarang nampak lebih jelas kerana tiba-tiba sahaja ia dibangkitkan, tetapi lepas berakhir pilihan raya kecil ini, saya yakin hudud akan kembali senyap,'' jelasnya. [Utusan Malaysia 23/12/2008]

Jika kita meneliti komentar dalam akhbar dengan mata yang celik dan dengan telinga yang terbuka, maka satu kesimpulan yang pasti iaitu, isu hudud sering dimainkan oleh UMNO untuk mendedahkan kelemahan PAS untuk melaksanakannya. Dalam pada itu mereka sebenarnya lupa bahawa salakan mereka itu terkena pada diri mereka sendiri. Mereka kononnya prihatin untuk melihat PAS membentangkan draf hudud di negeri Pakatan Rakyat, namun selama 50 tahun pemerintahan UMNO di Malaysia, apakah yang UMNO lakukan untuk menerapkan hukum Allah ini? Sepatutnya UMNO yang menguasai kerajaan Pusat sejak sekian lama, bekerjasama dengan PAS memartabatkan Islam, tetapi nampaknya UMNO tidak lebih dari berada dalam satu kandang dengan pemimpin DAP untuk membantah penerapan hukuman Islam.

Walaupun hudud bukanlah satu-satunya hukuman Islam, namun apa sahaja yang jika ianya diperintahkan secara qat’ie (secara jelas) di dalam Al-Quran dan Sunnah, kita dilarang mempertikaikannya, apatah lagi mengabaikannya. Hukuman hudud bertujuan untuk mencegah secara umum dan bukan sekadar menghukum sahaja. Jika hudud itu ditakuti oleh manusia, inilah menunjukkan betapa hebatnya hukuman Allah yang bersifat mencegah. Namun bagi pemerintah sekular seperti Malaysia, penguatkuasaan hukuman hudud mestilah mengambil kira sensitiviti kaum lain, dan oleh sebab kaum lain sensitif berkenaan hudud, maka ia tidak boleh dilaksanakan. Ya, berilah apa jua alasan yang kalian mahukan di dunia dan di akhirat nanti barulah kalian tahu betapa hebatnya neraka Allah bagi mereka yang menolak hukumNya.

Penerapan hukum Islam adalah wajib, bukan sahaja hudud, malah qisas, ta’zir dan mukhalafat adalah kesemuanya merupakan "uqubat" yang wajib diterapkan. Selain itu, terdapat hukum-hukum lainnya di bidang pemerintahan, ekonomi, sosial, pendidikan, dasar luar negeri dan lain-lain lagi yang kesemuanya wajib diterapkan oleh pemerintah. Peri pentingnya hukuman hudud dalam Islam, di mana ia menjadi salah satu syarat utama untuk mengatakan sama ada negara itu Islam atau tidak.

Siapalah UMNO dan pemimpin UMNO yang tidak pernah mahu menerapkan hukuman ini, malah sentiasa bermain-main dengan isu agama ini untuk kepentingan politik mereka? Alangkah beraninya mereka mencabar Allah dengan menerapkan hukum sendiri dan menolak hukum Allah!!! Para pemimpin ini perlu melihat semula pegangan akidah mereka dan memikirkannya dengan mendalam, kerana nampaknya bila memperkatakan hukuman Islam, mereka sentiasa tunduk kepada orang yang bukan Islam, bahkan sanggup berbasa-basi dan berkompromi dengan golongan kafir di Malaysia dalam perkara ini. Jika parti kafir seperti DAP begitu kuat mempertahankan ideologi anti-hududnya, sudah selayaknyalah mereka dengan kekufuran mereka itu. Namun, nampaknya UMNO pun dua kali lima dalam hal ini. Na’uzubillah min zalik.

Anonymous said...

"Ucapan Mahathir pada 2 Mei 1992 di Papar Sabah. Bagaimana kita boleh maju kalau orang Islam sudah tidak ada tangan dan kaki. Bagaimana mereka mahu bersaing dengan bangsa2 lain kalau sifatnya sudah tidak cukup. Hukum Hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara ini yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama."

Diantara Hukum Islam yang paling ditakuti ialah mencuri kena kerat tangan. Kita telah ditakut-takutkan dan media barat telah menggambarkan betapa buruknya hukuman kerat tangan ini. Sampai ada yang menyatakan nanti kita akan makan sup tangan la dan macam-macam lagi, isy7. Betapa tidak fahamnya orang yang berfahaman sebegitu. Kita perlu tahu, kalau setakat mencuri roti kerana lapar, kalau setakat mencuri seringgit dua ringgit, tidak akan dikenakan kerat tangannya! Islam ada hukum ta’zir, iaitu hukuman yang diringankan oleh pemerintah dengan sebab-sebab tertentu untuk meringankan hukuman tersebut.

Hukum Islam tidak zalim seperti yang disangkakan , tetapi musuh-musuh Islam yang benci kepada agama yang suci ini telah mempropagandakannya dan melabelkan Hukum Islam sebagai Hukum yang keji, astaghfirullah. Maka kita tengok lah sekarang berleluasa lah rompakan di sana sini, mencuri di sana sini, orang pecah rumah, tahan kereta, ragut dan sebagainyaa, aman kah keadaan sebegini rupa wahai saudara-saudaraku?? Fikir-fikirkanlah bahawa Undang-undang Islam adalah untuk PEACE iaitu keamanan, bukannya untuk menimbulkan kacau bilau. Yakinlah dengan ciptaan Yang Maha Esa itu wahai saudara-saudaraku!!!

Kenapa anda takut sangat dengan Hukum kerat tangan? Anda ada niat nak mencuri ke? Ada niat nak merompak ke? Hehe Ntah kenapa orang Islam kita terlalu takut dengan hukuman kerat tangan, sedangkan ianya akan dijatuhkan kepada pesalah yang kronik sahaja. Pesalah yang sudah diberi peluang bertaubat oleh Qadhi, tetapi melakukannya lagi. Pesalah yang boleh membahayakan nyawa ramai orang awam. Perlu dibiarkan ke pesalah-pesalah begini? Adakah anda lebih sayangkan mereka dari sayangkan saudara, jiran dan rakan anda? Fikir-fikirkanlah wahai kaumku. Lagi pun dengan hukuman kerat tangan sebelah itu, itulah cara terbaik untuk menginsafkan manusia yang sememangnya berhati keras dan jahat. Ada hikmahnya yang tersendiri, ALlah dah tahu belaka cuma kita sahaja yang malas berfikir dan suka mengikut nafsu dan kepuasan kita semata-mata.
Wallahualam.

Anonymous said...

Seperti yang kite ketahui… Negara kite nie banyak tugu…. Antara yang famousnya ialah Tugu Kebangsaan, Tugu Helang Laut kat langkawi dan sebagainya..
Tahukah kawan2 bahawa pada tahun 1993, Mufti wilayah persekutuan telah mengeluarkan fatwa bahawa segala tugu-tugu itu serta pembinaannya adalah haram. Ciri-cirinya menyerupai berhala…dan melawatnya juga adalah haram..Setelah fatwa itu dikeluarkan, maka ia digazetkan bermakna tindakan undang2 boleh dikenekan kepada sesiapa yang melawat tugu kebangsaan!

Tetapi sayang2… pihak atasan tidak suka akan keputusan itu maka disuruhnya pihak mufti menarik balik fatwa itu… Setelah berbincang.. Mufti tersebut tidak mahu menarik balik fatwa itu… Maka pihak atasan telah menarik balik gazet tersebut maka apa yang tinggal ialah fatwa sahaja… tiada tindakan undang2 yang boleh diambil…

Menurut kupasan Ust. Harun Din, tugu2 ini boleh mendatang syirik. Beliau berkata "bawalah dosa anda sebesar langit dan bumi kepada Allah dan Allah mungkin akan mengampunkannya tetapi jika terdapat walau sedikit/sebesar zarahpon dosa syirik maka Allah tidak akan mengampunkan orang itu" dan kata beliau lagi, walaupun kita tidak pergi ke tugu2 tetapi jika kita ‘redha’ atau tidak melakukan apa2, berdiam diri, maka kita juga akan mendapat dosa tersebut iaitu dosa syirik.

Contoh kedua yang beliau utarakan dalam perbincangan dosa syirik ini ialah nama negeri perlis iaitu PERLIS INDERA KAYANGAN, Menurut kamus dewan, INDERA bermaksud NAMA TUHAN HINDU manakala KAYANGAN bermaksud TEMPAT DI MANA TUHAN2 BERSEMAYAM, maka makna sebenar ialah perlis tempat tuhan hindu bersemayam.Menurut beliau Nama perlis ini juga mendatangkan dosa syirik…

Perkara terakhir yang dibincangkan ialah isu perlembagaan negara.Tahukah kawan2 bahawa… Perlembagaan Negara Fasa ke-14 mengatakan bahawa mana2 undang2 akan terbatal dan tidak boleh dipakai jika ia bertentangan dengan undang2 yang telah dinyatakan di dalam perlembagaan termasuklah undang2 hudud… iaitu undang2 yang dicipta oleh Allah.

Kata beliau seterusnya.. ..
Dosa syirik boleh diakibatkan oleh…

1.Mempertahankan perlembagaan serta undang2 ciptaan manusia da membuatkannya mengatasi undang2 ciptaan Allah iaitu hudud dll.

2.Menyokong mereka yang mempertahankan perlembagaan.

3.Mereka yang berdiam diri.

4.MEREKA YANG MENGATAKAN BAHAWA HUKUM
HUDUD ITU ZALIM ( BERMAKNA ALLAH JUGA ADALAH ZALIM)

Dengan ini selesailah tanggungjawab aku
Tolong sebarkan email ni pada semua umat Islam.

Anonymous said...

PERLAKSANAAN HUDUD BUKAN TANGGUNGJAWAB PAS SAHAJA
Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Bernama melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bahawa Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda jika PAS mahu melaksanakan hukum hudud di negara ini

"Kalau hajat mereka begitu, saya doakan supaya hajat mereka itu tercapai tetapi hakikat politik tidak begitu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pegawai Penguatkuasa Agama dan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia dan Pelancaran Kod Etika Pegawai Penguatkuasa Agama di sini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa pada Sabtu lepas bahawa parti itu akan tetap melaksanakan hukum hudud di seluruh negara sekiranya pakatan pembangkang berjaya memerintah pada masa depan.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid pula berkata kenyataan Husam itu adalah "satu cerita politik" semata-mata kerana jikna PAS benar benar mahu melaksanakan, ia pasti sudah lama dikuatkuasa di Kelantan.

Saya percaya para pembaca boleh melihat kontradiksi ucapan kedua-dua pemimpim Umno tersebut. Mahadzir Khalid kata hudud boleh dilaksanakan di Kelantan, Zahid Hamidi pula mengatakan hudud tidak boleh dilaksanakan tanpa pindaan Perlembagaan.

Kenyataan kedua-dua pemimpin Umno di atas adalah refleksi wajah sebenar Umno ketika berpolitik. Bagi pemimpin Umno peribadi seorang ahli politik dan peribadi seorang Islam adalah berbeza. Sebagai seorang Islam, ia boleh menerima hudud sebagai hukum Allah tetapi sebagai ahli politik ia sukar atau tidak boleh menerima bahawa hukum hudud wajib dilaksanakan. Bagi Umno perbezaan sikap antara orang Islam dan orang politik tidak menjadi satu masalah.

Atas dasar itulah setiap kali isu hudud timbul, Umno meletakkan beban perlaksanaan hukum Allah tersebut hanya kepada PAS seolah-olah PAS sahaja yang diamanahkan melaksanakan perintah Allah tersebut. Hudud adalah perintah Allah dan yang demikian sesiapa sahaja yang mengaku dirinya sebagai orang Islam ia bukan sahaja wajib beriman dengan perintah Allah tersebut tetapi juga mesti berusaha melaksanakan hukum tersebut . Mana-mana orang Islam sama ada di dalam Umno, PAS , Keadilan, NGO atau apa-apa pertubuhan sekalipun wajib berusaha melaksanakan hukum hudud tersebut . Perlaksanaan hukum hudud bukan milik eksklusif orang-orang PAS sahaja.

Jika Umno tidak benak dan dapat memahami bahawa hudud adalah perintah Allah maka Umno tidak boleh, dalam apa keadaan sekalipun, menuduh PAS cuba mempolitikkan isu hudud ini sepertimana yang dikatakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid tersebut.

Bagi PAS, tiada satu dikotomi ( pemisahan ) antara orang Islam dan orang politik. Apabila pemimpin PAS bercakap tentang politik ia bercakap sebagai seorang pemimpin Islam dan apabila ia bercakap tentang Islam ia juga bercakap sebagai pemimpin politik. Kenapa begitu ? Kerana itulah yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w iaitu Rasul bagi seluruh umat manusia termasuklah orang –orang PAS dan orang –orang Umno.

Oleh itu sama ada PAS berjuang bersendirian atau bersama Pakatan Rakyat , PAS tidak akan sama sekali meninggalkan matlamat perjuangannya untuk menegakkkan Islam yang syumul yang merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuk hukum hudud.

Tetapi dalam masa yang sama PAS juga amat maklum di atas kejahilan majoriti rakyat negara ini tentang hukum hudud tersebut dan batasan serta halangan perundangan, perlaksanaan hukum hudud mungkin tidak dapat disegerakan perlaksanaannya meskipun diandaikan Pakatan Rakyat dapat memerintah negara ini. Atas dasar itu hasrat melaksanakan hudud tidak pernah menjadi penghalang kepada Pas untuk berkerjasama dengan mana-mana pihak yang menuntut keadilan dan menentang kezaliman.

PAS maklum DAP masih belum menerima hasrat perlaksanaaan hudud di negara ini. Penentangan DAP bagi PAS bukan perkara yang pelik. Jika Umno yang bermajoritikan orang Islam juga menentang hasrat PAS untuk melaksanakan hudud apalah yang nak dihairankan DAP yang bermajoritikan orang bukan Islam juga menentang hudud. Apabila Kelantan dan Trengganu ( ketika diperintah oleh PAS ) ingin melaksanakan hudud , siapa yang mencabarnya di Mahkamah ? DAP atau Umno ?

Saya optimistik DAP yang mempunyai ramai para intelektual boleh menerima hudud satu hari nanti kerana isu hudud bukan sahaja boleh dipertahankan dari sudut agama malahan juga menurut perspektif intelektual. Melihat sokongan yang makin meningkat ke atas kelab penyokong PAS dari kalangan orang bukan Islam, DAP kini tidak boleh menyatakan hudud ditentang oleh semua orang bukan Islam.

Sepertimana yang saya katakan perlaksanaan hukum hudud bukan milik eksklusif PAS. Ia adalah tanggungjawab bersama baik Umno atau orang-orang Islam yang lain . Meskipun Umno menuduh PAS hanya berpolitik di dalam isu hudud , siapa yang boleh menidakkan kesungguhan PAS untuk cuba melaksanakan hukum Allah tersebut. Bukankah PAS yang telah bersungguh-sungguh menggubal enakmen hudud di Kelantan dan Trengganu ( semasa Pas memerintah ) . Apa yang lebih menarik sebelum Kerajaan PAS Trengganu mengemukakan enakmen hudud di DUN Trengganu , PAS telah mengadakan seminar dan memanggil semua pihak termasukah Umno untuk memberikan pandangan dan kritikan mereka terhadap Enakmen yang ingin dibentangkan tersebut. Setahu saya ini tidak pernah berlaku dalam sejarah perundangan negara. Hal ini juga saya nyatakan kepada salah seorang Ahli Parlimen di London yang bertanyakan saya tentang enakmen tersebut ketika saya melawat Parlimen England bersama Y.B Salahudin Ayub suatu masa dahulu.

Jika PAS berusaha bersungguh-sungguh cuba melaksanakan hukum hudud semasa memerintah Kelantan dan Trengganu, Umno juga tidak ketinggalan bersungguh-sungguh cuba menghalang perlaksanaan hukum Allah tersebut. Tidak cukup pemimpin Nombor 1 UMNO ( pada masa itu ) menulis surat amaran kepada Kerajaan Kelantan agar tidak melaksanakan hukum hudud ada juga pemimpin UMNO yang sanggup mencabar undang-undang hudud tersebut di Mahkamah. Malahan yang lebih teruk sekali pemimpin UMNO sanggup melabelkan hukum Alllah tersebut sebagai hukum hudud PAS.

Jika PAS boleh menyokong Bank Islam, Takaful , Universiti Islam mengapakah Umno amat sukar menerima hudud hanya kerana ianya digubal oleh Kerajaan PAS. Mengapa Umno tidak boleh sama sekali memberi ruang kepada PAS dalam isu hudud ini. Jika Perlembagaan menjadi penghalang sepertimana yang dikatakan oleh Zahid Hamidi mengapa selama ini Umno tidak bersedia memindanya bagi membolehkan PAS melaksanakan hudud di Kelantan.

Paling minima yang Umno lakukan adalah jangan terus mengeluarkan kata-kata bodoh dalam isu hudud ini. Ini kerana kamu bercakap tentang hukum Islam. Dalam perkara yang bukan agama jika kamu salah bercakap, kamu hanya membuat kesilapan dan kesilapan tersebut tidak akan menjejaskan aqidah kamu. Sebaliknya isu agama lain. Jika salah bercakap sila-silap akan tergelincir aqidah. Atas dasar itu dalam isu hudud diamnya para pemimpin Umno lebih baik daripada mereka bercakap. Ini kerana jika mereka diam kita mungkin rasa mereka jahil dalam isu hudud ini sebaliknya jika mereka bercakap barulah kita sedar memang confirmlah mereka ini memang jahil.

Anonymous said...

Mudah sahaja jawapan kepada anda -

"Apakah kamu beriman kepada sebahagian daripada Kitab dan engkar kepada sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu melainkan kenistaan dalam kehidupan di dunia dan pada hari Qiamat mereka dikembalikan kepada seksa yang sangat berat. Allah tidak lengah dari apa yang kamu perlakukan"
(Mafhum al-Quran, al-Baqrah:85)

Rukun islam 5 perkara, Rukun Iman 6 Perkara jangan pula dilupa.
(1) Beriman kepada ALLAH SWT
(2) Beriman kepada Malaikat-malaikat
(3) Beriman kepada Kitab-kitab
(4) Beriman kepada Rasul-rasul
(5) Beriman kepada Hari Kiamat
(6) Beriman kepada Qada dan Qadar

Yang ketiga Beriman kepada kitab-kitab.
Islam tiada iman tiada gunanya.

Anonymous said...

itu yg dikatakan bgs? ish3. hukum hudud wajib jika pemerintah 2 islam syg. org bkn islam tak da kene mengena dgn hudud mcm smyg dgn puasa jgk tp kenapa tak blh laksanakn hudud sbb ada org bkn islam?( tp laksanakn smyg blh plk) tak ke peliknya. mmg betul rukun Islam ada 5 tp jgm lupa Rukun islam ada 6 antaranya ialah percaya kpd kitab iaitu Al-Quran. tak guna Islam tp tak ada Iman...ye ta bro

Anonymous said...

BGS BETUL LA UMNO BG ALSAN X NAK BT HUKUM HUDU SBB MASYARAKAT MAJMUK. WOI KO SEDAR X HUKUM HUDUD UTK ORG ISLAM LA ORG BKN ISLAM TAK YAH IKUT PUN. ALASAN DI TOLAK. LAGI SATU AWK CKP HUKUM HUDUD X DA DLM HUKUM ISLAM TP AWK JGN LUPA HUKUMISLAM PERCAYA PADA KITAB. DLM KITA CKP WAJIB BT SO WAJIB LA X KAN X PHM2 KOT. KLU ISLAM X DA IMAN X GUNA JGK...STKT BLAJAR AGAM KAT SEK JGN MEMANDAI CKP HAL NI TKT NANTI BWK AJARAN SESAT PLAK

Anonymous said...

Antara Sunah yang diharap dapa menyelesaikan perkaa ini,

"Akan berlaku selepas peninggalanku nanti para pemimpin yang tidak mengikut petunjukku, tidak mengikut sunnahku dengan panduan sunnahku. Akan muncul pula di kalangan kamu orang-orang yang hatinya adalah hati syaitan (manusia berhati syaitan). Aku (Huzaifah) bertanya: Apakah harus aku lakukan jika aku menemuinya? Baginda bersabda: Hendaklah kamu mendengar dan taat kepada pemimpin walaupun dia memukul punggungmu dan merampas harta-bendamu." [HR al Bukhari dan Muslim]

"Dari Wail r.a. berkata: Kami bertanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana pendapatmu jika kami mempunyai pemimpin yang menahan hak kami dan mereka meminta hak mereka dari kami? Baginda menjawab: (Sewajarnya kamu) sentiasa mendengar dan mentaati mereka kerana hanyalah atas mereka apa yang mereka kerjakan dan atas kamu apa yang kamu kerjakan." [HR Muslim]

Dari Abdullah bin Masud r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya akan berlaku selepas peninggalanku sikap pemerintah yang merampas harta kamu dan berbagai-bagai perkara yang kamu ingkari. Para sahabat bertanya: Apakah yang engkau perintahkan pada kami wahai Rasulullah!? Baginda bersabda: Tunaikanlah kewajipan kamu dan berdoalah kepada Allah untuk mendapatkan hakmu. [HR al Bukhari dan Muslim]

Selesai tugas saya.