Friday, September 14, 2007

Bajet 2008 Mesra Rakyat

Bajet 2008 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah bin Hj. Ahmad Badawi pada 7 September 2007 di Dewan Rakyat nyata menunjukkan betapa kerajaan amat prihatin terhadap semua golongan rakyat di Malaysia. Walaupun pemberian bonus untuk kakitangan kerajaan tidak diumumkan dalam bajet 2008, kakitangan kerajaan tidak perlu cepat melatah dan seharusnya bersyukur kerana kerajaan telah membelanjakan sejumlah peruntukan yang besar untuk memberikan kenaikan gaji kepada kira-kira 1.2 juta kakitangan kerajaan. Perlaksanaan kenaikan gaji yang berkuatkuasa pada bulan Julai yang lepas diharap dapat membantu meringankan beban perbelanjaan kakitangan kerajaan dan kakitangan kerajaan harus berbelanja secara berhemah apabila menjelang musim perayaan.

Bajet 2008 ternyata memberi sinar kepada semua golongan masyarakat di semua peringkat. Walaupun pihak pembangkang menyatakan Bajet 2008 adalah umpan untuk rakyat supaya rakyat terus menyokong Parti Barisan Nasional, ia hanya cakap-cakap kosong yang datang dari pihak pembangkang yang tidak mempunyai asas kukuh dan hanya sekadar ingin mempengaruhi rakyat. Ternyata pihak pembangkang tidak mempunyai modal untuk memainkan sebarang isu yang boleh melemahkan kepimpinan Datuk Seri Abdullah bin Hj. Ahmad Badawi. Pembentangan Bajet 2008 telah meresahkan pihak pembangkang kerana tinjauan umum yang dilakukan selepas pembentangan Bajet 2008 mendapati rata-rata rakyat Malaysia amat berpuas hati dengan bajet 2008 dan amat menyokong kepimpinan Pak Lah dalam meneruskan kecemerlangan dalam memacu ekonomi negara Malaysia.

Dalam Bajet 2008, perkara yang menjadi tumpuan ialah membina kapasiti untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih mapan melalui penyediaan infrastruktur, kemudahan awam, pendidikan dan perkhidmatan sosial, termasuk kesihatan serta kebajikan rakyat. Melalui Bajet 2008, Pak Lah telah melaksanakan tiga strategi utama yang dijangka akan dapat meningkatkan ekonomi negara di samping tidak lupa untuk terus melaksanakan pembangunan modal insan dan menjamin seluruh kesejahteraan rakyat tidak kira peringkat. Tiga strategi yang dilaksanakan ialah :
  • Mempertingkat daya saing negara,

  • Memperkasa pembangunan modal insan, dan

  • Menjamin kesejahteraan rakyat.

Untuk meningkatkan lagi daya saing negara, kerajaan telah mengurangkan cukai korporat sebanyak 26 peratus serta melaksanakan sistem cukai single-tier di mana di bawah sistem single-tier, keuntungan hanya dikenakan cukai di peringkat syarikat, manakala dividen yang diterima dikecualikan daripada cukai. Dengan kadar cukai korporat yang lebih rendah dan pengenalan sistem single-tier, lebih banyak dividen dapat diagihkan kepada pemegang saham.

Selain itu, di bawah strategi mempertingkat daya saing negara, kerajaan akan memberi perhatian kepada penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan awam, memudahkan kemasukan pekerja berkemahiran tinggi, meningkatkan daya saing pasaran modal, serta akan menjadikan Malaysia sebagai Pusat Kewangan Islam Antarabangsa.

Namun apa yang saya ingin beri penekanan di dalam artikel saya ialah mengenai strategi ke dua dan ketiga di dalam Bajet 2008 di mana rakyat akan memperolehi berbagai-bagai manfaat berdasarkan strategi kedua dan ketiga yang dilaksanakan oleh kerajaan di bawah pimpinan Pak Lah.

Dalam strategi kedua Bajet 2008 ialah memperkasa pembangunan modal insan. Rakyat perlu tahu jika kita ingin melihat kesinambungan kecemerlangan di Malaysia sentiasa berterusan, pembangunan modal insan mestilah diberi penekanan. Malaysia sungguh bertuah kerana mempunyai pemimpin yang berwawasan dan sentiasa prihatin kepada apa jua permasalahan rakyat. Pak Lah adalah seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan ini telah dibuktikan sepanjang beliau mentadbir negara, banyak jasa dan sumbangan yang telah dilakukan dalam memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa dan harmoni. Untuk itu dalam Bajet 2008, aspek kualiti pendidikan dan latihan akan terus diberi penekanan dan perhatian sewajarnya.

Sejumlah RM 30 bilion akan disediakan untuk Kementerian Pelajaran dan ini merangkumi pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, termasuk Program Sekolah Cemerlang, memartabat profesion keguruan dan merapatkan jurang pendidikan di antara bandar dan luar bandar. Untuk meningkatkan lagi kualiti dan prestasi sekolah, 60 buah sekolah kluster akan diwujudkan dalam tahun 2008 dan peruntukan berjumlah RM 500 ribu akan diberi bagi setiap sekolah kluster untuk tujuan aktiviti kokurikulum, latihan dan pembelian peralatan pembelajaran.

Bajet 2008 dikatakan bajet mesra rakyat kerana bermula pada tahun 2008 segala yuran sekolah menengah dan rendah akan dimansuhkan. Selain itu, kerajaan juga akan memberikan buku teks secara percuma kepada semua pelajar tanpa mengira pendapatan ibu bapa dan dengan ini, pendidikan di negara Malaysia adalah seratus peratus percuma. Pengumuman ini membuatkan golongan ibu bapa di Malaysia berasa amat lega dan secara tidak langsung dapat meringankan beban kewangan mereka.

Insentif untuk golongan guru juga tidak diabaikan di mana beberapa jenis elaun guru turut dinaikkan. Antaranya ialah, elaun bagi guru pendidikan khas dinaikkan daripada RM 100 ringgit kepada RM 250 ringgit sebulan. Kadar elaun guru ganti berkelulusan ijazah dinaikkan daripada RM 85 ringgit kepada RM 150 ringgit sebulan dan kerajaan turut menyediakan elaun sebanyak RM 60 ringgit sejam bagi guru lepasan ijazah dan RM 50 ringgit sejam bagi guru lepasan diploma yang mengajar bahasa Cina dan Tamil di sekolah kebangsaan.

Bagi sektor pengajian tinggi pula, sebanyak RM 12 bilion diperuntukkan dalam melaksanakan pelbagai projek dan program, antaranya ialah meningkatkan aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan di empat buah Universiti Penyelidikan; meningkatkan peruntukan kepada Universiti Teknologi MARA bagi mencapai sasaran 200,000 mahasiswa menjelang tahun 2010; menaik taraf serta memperluaskan Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Darul Iman dan Universiti Pertahanan; dan menjenamakan semula kolej komuniti melalui penyediaan kursus di peringkat diploma, menubuhkan kolej komuniti baru dan menggiatkan kolaborasi dengan syarikat swasta.

Bajet 2008 yang dibentangkan oleh Pak Lah juga telah memasukkan strategi ketiga iaitu menjamin kesejahteraan rakyat. Di bawah strategi ini, kerajaan telah melaksanakan program perumahan untuk rakyat di mana melalui program ini sejumlah RM 381 juta telah disediakan bagi melaksanakan perumahan rakyat kos rendah dan dari jumlah tersebut, RM 191 juta diperuntukkan bagi Program Perumahan Rakyat (PPR) Disewa dan RM 190 juta bagi PPR Bersepadu. Mulai tahun 2008 juga, pencarum KWSP dibenarkan mengeluarkan baki akaun kedua mereka setiap bulan untuk membolehkan mereka membuat pembayaran ansuran pinjaman perumahan.

Kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM 12 bilion bagi mempertingkatkan sistem pengangkutan awam yang cekap di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Bagi mengatasi kesesakan jalan raya di Pulau Pinang, Lebuh Raya Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR) akan mula dilaksanakan secara tender dalam tempoh terdekat dan bandar-bandar utama lain akan turut disediakan dengan sistem pengangkutan awam yang selesa.

Kerajaan juga tidak lupa kepada aspek keselamatan dalam negara kerana keselamatan awam adalah prasyarat untuk menjana pertumbuhan ekonomi dan memastikan kesejahteraan rakyat terjamin. Bagi aspek keselamatan awam, pengambilan seramai 60,000 anggota polis baru akan dilakukan dalam tempoh lima tahun. PDRM juga akan dibekalkan dengan tambahan 2,000 unit kereta nasional dan 1,600 komputer. Manakala 1,900 motosikal akan disediakan untuk meningkatkan aktiviti pengawasan dan rondaan polis serta kerajaan akan menubuhkan Unit Bergerak Forensik PDRM di setiap kontinjen polis.

Berdasarkan kepada beberapa fakta mengenai Bajet 2008 yang telah dibentangkan oleh Pak Lah, jelas menunjukkan bahawa kepentingan dan kesenangan rakyat adalah agenda utama bagi kerajaan. Tinjauan umum yang dibuat sehari selepas pembentangan Bajet 2008 menunjukkan rata-rata rakyat amat berpuas hati dengan bajet yang diusulkan.

Justeru itu, kita harus melahirkan rasa syukur kepada Yang Maha Esa kerana dapat menikmati hasil kekayaan negara bersama-sama. Setelah 50 tahun kita mengecapi kemerdekaan, pelbagai kemudahan telah dihasilkan dan Malaysia telah berjaya melangkah jauh serta mencapai pembangunan yang pesat dan holistik. Falsafah pembangunan kita yang menekankan pertumbuhan dengan pengagihan yang seimbang adalah resipi yang tepat dan perlu diteruskan untuk memastikan Malaysia lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

Wednesday, September 12, 2007

Ramadhan Kembali Lagi...



Alhamdulillah, kita dipanjangkan umur lagi oleh Allah s.w.t pada tahun ini dan dapatlah kita menjalankan kewajipan rukun Islam yang ketiga iaitu berpuasa di bulan Ramadhan. Sesungguhnya berpuasa itu dapat mengajar umat Islam untuk bukan hanya menahan lapar dan dahaga di siang hari tetapi menahan nafsu daripada segala macam perlakuan maksiat dan perkara yang sia-sia. Kita juga diseru merebut peluang dengan mencari pahala dan keredhaan Allah s.w.t sebanyak yang mungkin.

Bulan Ramadhan menjanjikan berbagai-bagai ganjaran pahala dan sebagai umat Islam, bulan Ramadhan adalah bulan yang amat ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam di seluruh dunia. Bulan Ramadhan adalah bulan perasaan dan ruhani, serta saat untuk menghadapkan diri kepada Allah s.w.t. Sejauh yang saya ingat, ketika bulan Ramadhan menjelang, sebagian Salafush Shalih mengucapkan selamat tinggal kepada sebagian lain sampai mereka berjumpa lagi dalam solat 'Id. yang mereka rasakan adalah ini bulan ibadah, bulan untuk melaksanakan shiyam (puasa) dan qiyam (solat malam) dan kami ingin menyendiri hanya dengan Tuhan kami.

Para pembaca sekalian, bulan Ramadhan adalah bulan Al-Quran. Rasullullah s.a.w pernah bersabda mengenainya ;

"Puasa dan Al-Quran itu akan memberikan syafaat kepada hamba di hari kiamat. Puasa akan bekata, 'Ya Rabbi, aku telah menghalanginya dari makan dan syahwat, maka perkenankanlah aku memberi syafaat untuknya.' Sedangkan Al-Quran akan berkata, 'Ya Rabbi, aku telah menghalanginya dan tidur di malam hari, maka perkenankan aku memberikan syafaat untuknya.' Maka Allah memperkenankan keduanya memberikan syafaat."

(HR. Imam Ahmad dan Ath Thabrani)

Kepada pembaca sekalian, perbanyakkanlah amal ibadat dan amalan bersedekah di bulan yang penuh keberkatan ini. Semoga amalan kita semua diterima oleh Allah s.w.t dan saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada muslimin dan muslimat si mana jua mereka berada dan lakukanlah segala kerja yang diamanahkan dengan seikhlas yang mungkin.

Wassalam..