Friday, November 21, 2008

Bukti Demokrasi Masih Wujud Dalam UMNO

Demokrasi terus subur dalam UMNO. Itu adalah satu kenyataan setelah pengumuman yang dibuat oleh Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bahawa beliau akan bertanding merebut jawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia manakala kenyataan balas yang diberi oleh Ketua Wanita UMNO Malaysia, Tan Sri Rafidah Aziz untuk mempertahankan jawatan yang disandang menamatkan teka-teki yang ditunggu-tunggu selama ini oleh perwakilan akar umbi dan rakyat jelata.

Saya memuji tindakan tegas Datuk Kamilia Ibrahim yang berani melawan arus apabila tidak menyokong pelan peralihan yang dicadangkan oleh Rafidah. Strategi beliau ternyata membuahkan hasil apabila menang tanpa bertanding untuk jawatan Naib Ketua UMNO setelah Shahrizat mengumumkan pendirian beliau. Saya bukan hendak menyokong sesiapa dalam hal ini, namun saya mempunyai pendapat peribadi yang wajar dikongsi bersama pembaca.

Suara akar umbi adalah suara yang wajib didengari oleh mana-mana pemimpin atasan. Bagi saya, 73 pencalonan yang diterima adalah pencalonan yang 'solid' tanpa melibatkan mana-mana desakan pihak tertentu manakala pencalonan sebanyak 117 undi yang diterima oleh Rafidah harus diakui ia berlaku atas desakan atau arahan daripada sesetengah pihak yang 'pro' kepada Rafidah.

Bukanlah niat akar umbi untuk melupakan jasa yang banyak ditabur oleh Rafidah, namun apabila sampai masanya, Rafidah harus meninggalkan kerusi empuk yang beliau duduki dengan cara terhormat. Pelan peralihan kuasa yang dicadangkan oleh Rafidah jelas membawa maksud yang samar-samar. Tempoh 3 bulan untuk Rafidah memegang jawatan sebelum memberikan kepada Shahrizat mengundang seribu satu persoalan. Ada yang mengatakan bahawa beliau mengharapkan sesuatu keajaiban akan berlaku apabila Najib menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO Malaysia. Namun, kita sebagai manusia biasa tidak digalakkan membuat spekulasi yang boleh menjejaskan maruah seseorang pemimpin.

Ada rasionalnya Shahrizat bertanding melawan Rafidah. Ini kerana perwakilan daripada akar umbi mahukan seorang ketua yang boleh memimpin dengan sepenuh kuasa dan bukan setakat memangku sesuatu jawatan itu. Rata-rata rakyat hari ini melihat politik UMNO dengan penuh minat setelah dilanda tsunami pada pilihanraya ke-12 yang lalu. Jangan biarkan pihak pembangkang memainkan isu kepimpinan dan perebutan jawatan dalam UMNO kerana jika perkara ini dimanipulasikan oleh pihak pembangkang, saya yakin bahawa pada pilihanraya akan datang, peluang UMNO untuk terus mentadbir negara akan hilang.

Saya berharap agar Wanita UMNO bijak memilih calon yang bakal memimpin Wanita selepas pemilihan bulan Mac nanti. Jangan kerana terjadinya pertandingan antara 2 pemimpin atasan akan menyebabkan perpecahan yang serius berlaku dalam Wanita. Pertandingan adalah adat resam dunia. Ada yang menang dan akan ada pihak yang kecundang. Terima dengan hati terbuka apa juga keputusan yang bakal menjelma. Namun, yang penting sekali ialah suara akar umbi semakin dihormati dan demokrasi di dalam UMNO terus kekal subur mewangi...

8 comments:

sumandak bayu said...

Salam Bro,

Sumandak jemput Bro ikut serta Team Bloggers Pembela Negara banyak benda kita boleh ceta demi bangsa, agama dan negara

Anonymous said...

Salam. Saya sekadar ingin menyebutkan : BERUNDURLAH RAFIDAH KERANA RAFIDAH BAKAL MALU BESAR DENGAN KEEGOAN DAN KEDEGILANNYA.

Anonymous said...

Semekom...
UMNO sedang dalam pengubahsuaian besar-besaran, perwakilan melihat tentang itu, malangnya ada sesetengah pemimpin lama yang tidak mahu menerima keadaan tersebut.
Oleh yang demikian,jika sudah begitulah kehendak mereka..kita berharap agar semua perwakilan (tidak kiralah perwakilan wanitakah,Puterikah,PEmudakah atau bahagian)berani meneruskan rentak pengubahsuaian itu tanpa rasa sangsi atau kesian (tengok calon2 menangis merayu minta dikasihani). Kita yang menentukan siapa yang kita mahu duduk diatas sana..dan kita juga mahu agar jawatan tersebut janganlah dipajak seumur hidup oleh seseorang ketua itu.

Sebenarnya, saya teringin hendak melihat Datuk Noraini ikut bertanding jawatan ketua wanita UMNO ni...barulah perwakilan akan dapat banyak pilihan. Namun, oleh kerana `pengumuman awal' tentang peralihan kuasa ini yang telah menyebabkan ramai calon-calon yang ingin bertanding terpaksa menelan air liur. Sekarang sudah terlambat untuk mencadangkan pencalonan... tetapi, adalah diharapkan pada masa akan datang, ungkapan atau idea-idea `PERALIHAN KUASA' ini tidak digunapakai, KERANA demi untuk menyuburkan lagi demokrasi dalam parti warisan kita ini.
AMIN>

bungaraya said...

Salam,
Saudara menggunakan PEMUDA MALAYSIA
sebagai nama dalam blog ini. Selaku Pemuda Malaysia saya juga merasakan terkandung didalamnya. Saya berpendapat penulisan saudara harus berani dan lantang menyuarakan kebenaran. Dan harus berani menyanggah kebathilan. Barulah Pemuda namanya. Jangan bertindak ala kadar dan selalu takut untuk mengusik hati lawan. Katakan dengan tegas dan berani. SEBAGAI SEORANG PEMUDA PERKASA BANGSA.

Pemuda Malaysia said...

salam sumandak bayu..

Insya-Allah saya akan cuba meluangkan masa bersama Team Bloggers Pembela Negara..

Pemuda Malaysia said...

terima kasih atas komen anonymous..

setiap pemimpin dikurniakan akal dan fikiran. mungkin rafidah ada perancangan beliau sendiri.

pendirian rafidah adalah hak peribadi beliau.

kalah dan menang adat pertandingan..

kita tunggu dan lihat...

Pemuda Malaysia said...

w'salam jomo tuaran..

terima kasih atas komen anda. ungkapan 'peralihan kuasa' ada pro dan kontranya..

yang baik adalah ia dapat mencegah daripada perebutan kuasa dalam parti yang hanya akan memecahbelahkan parti.

namun keburukannya pula ia akan menghalang akar umbi untuk memilih mana2 calon yang dirasakan lebih layak untuk bertanding di peringkat lebih tinggi lagi kerana proses peralihan kuasa yang diumumkan lebih awal.

dalam UMNO hari ini kita telah melihat 'reform' yang berlaku di mana pertama kali jawatan Timbalan Presiden dipertandingkan dalam 3 penjuru.

ini membawa kebaikan dalam suasana politik hari ini. namun, saya berpendapat bahawa biarlah peralihan kuasa berlaku berdasarkan atas undian akar umbi.

jika akar umbi tidak bersetuju, maka kita sebagai pemimpin harus akur dengan kehendak akar umbi dan adakan pemilihan. saya berpegang pada kata-kata bahawa 'pemimpin tidak akan wujud jika tiada pengikut'...

renungkan...

Pemuda Malaysia said...

terima kasih atas komen bungaraya..

saya sentiasa cuba menulis dengan berani dan lantang.

Insya-Allah saya akan sentiasa menambahbaik penulisan saya, kerana saya sedar bahawa nama pena yang saya gunakan iaitu 'pemuda malaysia' boleh dikatakan satu nama yang unik dan mempamerkan keberanian seorang pemuda dari Malaysia.

terima kasih sekali lagi atas pendapat saudara bungaraya..