Monday, May 12, 2008

Sidang Media oleh MB Perak di Parlimen

MB Perak bersama-sama Speaker dan barisan exconya telah datang dengan sebuah bas membuat lawatan di Parlimen hari ini. Lawatan beliau dan rombongannya adalah untuk melihat sejauh mana keberkesanan Pakatan Rakyat di Parlimen. Kemudian beliau telah mengadakan sidang media dan sudah tentunya para wartawan terkejar-kejar berebut tempat untuk mendengar apa-apa kenyataan berkaitan isu Karpal Singh. Tetapi sebelum sempat para wartawan mengutarakan soalan, beliau dengan segera menyampaikan tazkirah ringkas kepada para wartawan diselang-selikan dengan beberapa ayat al-Quran supaya melaporkan perkara yang benar.
Setelah selesai beliau terus bangun untuk beredar seolah-olah tidak mahu mendengar apa-apa soalan daripada para wartawan. Namun terdapat juga soalan-soalan yang diutarakan menyebabkan beliau kembali duduk. Kemudian beliau memberi ulasan yang sangat ringkas apabila ditanya berhubung isu Karpal Singh. Beliau menegaskan apa yang diperkatakan oleh Karpal Singh merupakan "personal view" dan "biarkan AG (Attorney General) yang menentukan apa-apa keputusan". Selain itu, terdapat soalan yang bertanyakan hubungan beliau dengan Pengarah JAIP, jawapan beliau "sangat baik". Kemudian beliau terus beredar dan bergambar bersama-sama rombongannya dan beberapa ahli Parlimen Pakatan Rakyat antaranya Karpal Singh.

Beliau secara sengaja tidak mahu mengulas atau menyatakan pendiriannya terhadap Karpal Singh. Yang anehnya, beliau kemudian bertemu dengan Karpal Singh dalam keadaan tenang. Dan yang paling ketara, beliau dan rombongannya bergambar bersama-sama Karpal Singh di lobi Parlimen seolah-olah tiada apa yang berlaku dan terus beredar.

Inilah sikap yang ditunjukkan oleh seorang Menteri Besar daripada pembangkang (PAS). Beliau tidak mampu untuk menegur sekutunya dari DAP. Bukankah ini menunjukkan bahawa MB Perak hanya mengikut telunjuk DAP? Diam, dan hanya membiarkan AG yang menguruskannya?