Thursday, May 29, 2008

KERAJAAN ATASI MASALAH PETROL DAN DIESEL

Dua Harga Jual Petrol, Diesel

Sistem berperingkat pastikan rakyat nikmati subsidi, warga asing beli ikut pasaran


KUALA LUMPUR: Kerajaan mungkin melaksanakan sistem harga berperingkat bagi petrol dan diesel untuk kenderaan yang didaftarkan di negara ini serta negara asing, dalam usaha memastikan subsidi yang diberikan hanya dinikmati rakyat tempatan.

Melalui sistem harga berperingkat itu, semua pemilik kenderaan yang didaftarkan di luar negara perlu membeli petrol atau diesel mengikut harga pasaran dunia jika memasuki negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata pelaksanaan langkah itu dapat membantu memastikan hanya rakyat tempatan menikmati subsidi minyak yang diberikan kerajaan, manakala kenderaan asing dikehendaki membayar harga penuh (mengikut pasaran semasa).

"Mesyuarat Kabinet pada Jumaat ini (esok) akan membincangkan cadangan supaya kenderaan asing yang mengisi minyak dan petrol dikenakan bayaran mengikut harga pasaran," katanya selepas menerima borang keahlian Umno bekas Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd Noor, di pejabatnya di bangunan Parlimen, semalam.

Isnin lalu, kerajaan memutuskan supaya semua stesen minyak yang terletak dalam lingkungan 50 kilometer (km) dari sempadan negara tidak lagi dibenarkan menjual petrol atau diesel kepada kenderaan yang didaftarkan di luar negara, mulai esok.

Larangan itu membabitkan semua stesen minyak dalam lingkungan jarak 30 hingga 50km dari sempadan Malaysia-Thailand di Perlis, Kedah, utara Perak dan Kelantan serta Malaysia-Singapura iaitu di beberapa daerah di Johor termasuk Kulai dan Johor Bahru.

Arahan bertulis mengenai larangan itu, yang dibuat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 akan dikeluarkan kepada kira-kira 200 hingga 300 pemilik stesen minyak di kawasan berkenaan, dalam masa terdekat.

Abdullah berkata, jika cadangan untuk melaksanakan sistem harga berperingkat itu dipersetujui mesyuarat Kabinet, maka kenderaan asing yang mengisi minyak di negara ini perlu membayar mengikut harga penuh.

"Tunggulah Jumaat (esok) ini (untuk pengumuman)... jika penguatkuasaannya diumumkan, semua pihak perlu ikut peraturan baru itu," katanya yang enggan mengulas lanjut.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga mungkin mempertimbangkan supaya harga jualan petrol dan diesel untuk rakyat tempatan ditentukan berdasarkan kemampuan seseorang atau mengikut kapasiti enjin kenderaan mereka.

Difahamkan, cadangan berkenaan ialah antara perkara yang dibincang oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Inflasi yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam beberapa mesyuaratnya sebelum ini.

Abdullah berkata, semua cadangan itu adalah sebahagian usaha untuk membendung pengaliran keluar subsidi minyak yang diberikan kerajaan bagi meringankan beban rakyat negara ini serta mencegah penyeludupan.

"Minyak kita murah, jadi biarlah ia digunakan oleh rakyat kita dan bukan digunakan oleh orang tertentu untuk buat keuntungan. Minyak kita pun bukan banyak sangat, ada pula orang nak bawa keluar untuk buat untung... ini tak boleh.

"Minyak itu pula dibeli oleh orang yang bukan dari negara kita, sama ada dari Singapura atau Thailand. Jadi dia kena bayar harga penuh bila beli minyak dan cara yang baik ialah jika tak jual kepada mereka," katanya.

Semalam, Najib dilaporkan sebagai berkata, kerajaan dijangka mengumumkan beberapa langkah bagi mengurangkan kesan kenaikan harga minyak terhadap rakyat dan ekonomi negara selepas mesyuarat Kabinet pada Jumaat ini
.

dipetik daripada Akhbar Berita Harian, 29 Mei 2008

Cadangan kerajaan untuk melaksanakan harga petrol dan diesel yang berlainan mengikut harga pasaran kepada kenderaan milik warga asing adalah satu cadangan yang bernas dan saya amat bersetuju dengan langkah kerajaan. Ini kerana, negara kita kerap dikunjungi oleh kenderaan asing daripada Thailand dan Singapura yang membeli petrol dan diesel lalu membawa masuk ke negara mereka kerana harga petrol dan diesel di Malaysia jauh lebih murah berbanding di negara mereka.

Sepatutnya langkah ini perlu dilaksanakan sejak dahulu lagi agar dapat memastikan hanya kenderaan milik warga Malaysia sahaja yang menikmati subsidi petrol dan diesel yang diberikan oleh kerajaan. Warga asing terutama daripada Singapura amat biadap dan tidak berhemah apabila memasuki Malaysia dan memandu dengan agak laju serta berbahaya di jalan raya negara kita. Kita harus mengajar warga asing yang biadap ini dengan mengenakan harga petrol mengikut harga pasaran dan memastikan hanya rakyat Malaysia sahaja yang benar-benar layak menikmati harga petrol dan diesel yang telah di subsidi.

Saya juga ingin mencadangkan kepada kerajaan, jika ingin membeli petrol ataupun diesel pengguna perlu menunjukkan MYKAD masing-masing, melihat kapasiti enjin sesebuah kereta serta memastikan no. plat kenderaan didaftarkan di Malaysia. Jika cadangan ini dipersetujui, dijangka semua rakyat Malaysia dapat menikmati harga petrol dan diesel pada kadar yang berpatutan.

No comments: