Sebelum ini jika calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding, pastinya soal keselamatan menjadi keutamaan polis dan Suruhjaya Pilihanraya (SPR) Malaysia.
Ini kerana dalam pilihan raya kecil di Lunas, Ijok dan Permatang Pauh beberapa insiden buruk tercetus gara-gara penyokong PKR yang bertindak liar dan ganas malah ada antara mereka ditahan polis.
Namun, suasana pilihan raya nyata berubah jika calon PAS yang bertanding menentang calon BN kerana jarang ada insiden buruk seperti pergaduhan antara penyokong mahupun petugas kedua-dua parti.
Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu sekali lagi membuktikan teori ini betul apabila proses penamaan calon membabitkan persaingan antara BN dan PAS serta calon Bebas berjalan lancar dan terkawal.
Malah Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz angkat topi pada polis yang menjalankan tugas dengan baik serta kepada penyokong kedua-dua parti yang tidak mencetuskan sebarang huru hara ketika proses penamaan calon pagi Selasa.
Bagi Ketua Polis Terengganu, Datuk Shukri Dahlan, proses penamaan calon yang selesai dengan keadaan selamat serta lancar secara tidak langsung memenuhi keutamaannya sebelum ini yang mahu proses itu lancar.
“Ini semua seperti dirancang. Itu yang penting kerana semua ikut perancangan serta penugasan kira-kira 1,500 pegawai serta anggota polis,” katanya kepada Agendadaily.
Katanya, keadaan ini amat baik dan sangat terkawal berbanding suasana pilihan raya kecil Permatang Pauh.
Menurut Shukri, suasana aman ini juga kerana kerjasama kedua-dua penyokong parti yang mematuhi arahan dan peraturan ditetapkan polis dan SPR.
“Kita berharap keadaan ini kekal sehingga habis pilihan raya kecil ini,” ujarnya.
Mengenai tempoh berkempen, Shukri meminta parti yang bertanding mengemukakan permit ceramah lebih awal bagi mendapat kelulusan dalam masa 24 jam.
Bagaimanapun katanya, setakat ini polis belum menerima permohonan permit ceramah atau berkempen.
“Polis akan panggil calon-calon untuk meminta mereka mematuhi peraturan serta permit ceramah yang ditetapkan,” katanya.
Shukri menegaskan, lokasi ceramah mestilah di kawasan yang tidak menimbulkan gangguan kepada orang awam atau menjejaskan aktiviti penduduk setempat.
Sementara itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya telah membuat persediaan rapi untuk memastikan kelancaran proses penamaan calon, pagi Selasa.
Kata beliau, berdasarkan aturan urusan proses penamaan calon, rombongan penyokong BN akan bergerak dari kediaman rasmi Menteri Besar Terengganu, sementara rombongan penyokong PAS pula akan bergerak dari Bulatan Batu Bersurat.
Kediaman Rasmi Menteri Besar terletak satu kilometer dari sebelah kanan Stadium Negeri manakala Bulatan Batu Bersurat pula dari sebelah kiri.
Abdul Aziz berkata, pihaknya hanya membenarkan kira-kira 150 orang pemimpin dan penyokong bagi setiap parti dan calon yang bertanding memasuki kawasan dalam Stadium Negeri.
Katanya, cuaca pagi ini amat baik berbanding tiga hari lalu yang mengalami cuaca hujan yang berterusan sekaligus membantu kelancaran proses penamaan calon.
Kira-kira 25,000 penyokong parti membanjiri sekitar Stadium Negeri mengiringi serta memberi sokongan kepada calon masing-masing.Selain BN yang mencalonkan Datuk Wan Farid Wan Salleh dan calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut, seorang lagi calon Bebas, Asharudin Mamat turut bertanding .
2 comments:
Betul lah tu saudara. Sy baru perasan.Kan bagus kalo semuanya berjalan lancar. Alhamdulillah. Ni tidak,kecoh je lebih PKR tu. tengok sekarang,senyap je..
SEMOGA ALLAH MEMBERIKAN KEMENANGAN BERLIPAT GANDA KEPADA BARISAN NASIONAL
Post a Comment