Tuesday, September 16, 2008

Apa Itu ISA? (Episod 2)Akhir...

Tahanan ISA biasanya akan ditempatkan di Pusat Tahanan Kamunting, Taiping, Perak. Dalam masa 60 hari, mereka yang ditahan kebiasaannya tidak akan dibenarkan berkomunikasi dengan dunia luar, tambahan pula peguam dan ahli keluarga tidak dibenarkan melawat orang yang ditahan semasa tempoh awal ini.

Selepas 60 hari, jika perintah tahanan ditandatangani oleh Menteri terbabit dan diteruskan sehingga 2 tahun, barulah ahli keluarga boleh datang melawat orang yang ditahan. Jika tidak, orang yang ditahan akan dibebaskan.

Dalam tahanan ISA, proses soal siasat menjadi rutin kehidupan mereka yang ditahan. Ini adalah prosedur biasa yang dijalankan oleh pihak berkuasa bagi mencari punca sebenar dan merungkai segala cerita bagi menyelesaikan sesuatu kes yang ditahan di bawah akta ISA. Tahanan akan diletakkan secara individu di dalam sel penjara yang kecil yang dipercayai menjadi sel tahanan rahsia.

ISA dikritik hebat oleh beberapa parti politik pembangkang terutama Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Antara pemimpin dan ahli politik terkenal dari kalangan pembangkang yang pernah ditahan ISA ialah Lim Kit Siang, Karpal Singh, Lim Guan Eng, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan terbaru Teresa Kok.

ISA juga turut dikritik oleh beberapa ahli politik dalam komponen Barisan Nasional (BN), termasuk parti komponen terbesarnya, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang telah memerintah sejak merdeka. Datuk Zaid Ibrahim sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri adalah antara pemimpin UMNO yang mengkritik akta ISA.

Antara negara lain yang mengguna pakai ISA adalah negara Singapura dan juga India. Namun akta ini terpulang kepada acuan dan versi masing-masing.

Gerakan Mansuh ISA (GMI) adalah antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantah ISA. Presiden GMI ialah Syed Ibrahim Syed Noh. GMI dengan tegas menggesa kerajaan agar menghormati hak untuk dibicarakan dan menyeru pemansuhan ISA serta semua bentuk penahanan tanpa bicara.

Sebagai rakyat Malaysia yang berfikiran rasional dan terbuka, kita mesti tahu bahawa akta ISA adalah jalan terbaik bagi mewujudkan keamanan di negara berbilang kaum ini. Tujuan asas penahanan ISA di bawah kuasa Seksyen 8 ISA adalah bagi memulihkan individu itu dari terus bertindak atau berhujah menentang secara membahayakan ketenteraman awam atau keselamatan dalam negeri.

Tempoh 2 tahun penahanan samada dipanjangkan atau dikurangkan adalah mengikut budi bicara Menteri Keselamatan Dalam Negeri setelah beliau meneliti fakta dan faktor berkaitan nisbah keselamatan yang berkaitan. Banyak fakta sesuatu penahanan itu tidak boleh diketahui umum lantaran ianya diklasifikasikan sebagai butiran keselamatan negara. Hanya pihak berkuasa tertentu yang berhak menelitinya.

Jadi, dalam konteks inilah mahkamah dihalang daripada menimbangkan sesuatu kes mengenai penahanan seseorang kerana faktor keselamatan yang berkait rapat dengannya dan ia merupakan rahsia negara di mana jika diketahui umum akan mendatangkan kemudaratan kepada keamanan negara.

ISA bukan suatu akta yang bertentangan dengan Perlembagaan Negara. ISA hanya bertentangan dengan bab tertentu seperti hak asasi manusia seperti perenggan "seseorang yang ditangkap atau ditahan hendaklah dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh 24 jam". Peruntukan ini terdapat dalam Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan dalam bentuk yang bersyarat. Maka akta ISA ini sah diterima pakai mengikut Perlembagaan Negara terutama di bawah Perkara 149 dan 151.

Penggunaan ISA bukan dibuat sewenang-wenangnya tetapi ia dilakukan demi memastikan keselamatan dan ketenteraman rakyat dapat dipelihara. Kerajaan perlu bertindak tegas dalam menguatkuasakan undang-undang negara agar tidak terus dicabar oleh golongan atau puak pelampau.

No comments: