Thursday, October 23, 2008

Memang Patut Dihalau!!!

Padan muka!!! Itulah ungkapan pertama yang keluar dari mulut saya setelah menonton Buletin 1.30 di TV3 tadi. Karpal Singh memang patut dihalau keluar dari Dewan Rakyat kerana keceluparan mulut yang akhirnya membinasakan badan sendiri. Ahli Parlimen OKU itu digantung daripada menghadiri persidangan selama 2 hari setelah beliau melafazkan kata-kata yang dianggap kurang ajar dan tidak menghormati Speaker. Beliau mendakwa bahawa Tan Sri Pandikar Amin Mulia tidak serius dan hanya main-main ketika mempengerusikan persidangan dan menguatkuasakan peraturan dewan.

Kita semua maklum bahawa Ahli Parlimen daripada Bukit Gelugor ini memang selalu mencetuskan kontroversi. Antara kenyataan kontroversi beliau ialah mempertikaikan kuasa Sultan Perak iaitu Sultan Azlan Shah yang menitahkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menarik balik arahan pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury pada awal Mei lepas. Karpal Singh menyifatkan bahawa arahan menarik balik pertukaran Jamry yang disifatkan sebagai campur tangan istana dalam pentadbiran kerajaan negeri itu. Kes karpal Singh ini dikatakan masih dalam proses siasatan lanjut. Namun kes ini kemabali panas dan mendapat perhatian serta menjadi tanda tanya masyarakat kerana didapati sudah terlalu lama tanpa sebarang tindakan diambil terhadap Karpal Singh.

Selain itu, Karpal Singh juga pernah mengeluarkan kenyataan mengusik perasaan ahli UMNO semasa Sidang Kongres DAP pada bulan Ogos yang lalu. Kenyataan beliau iaitu mahu menawan dan mengadakan kongres tahunan DAP di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) jelas menggambarkan sikap beliau yang langsung tidak menghormati sesuatu bangsa dan celupar dalam kenyataannya serta mahu mengusik sentimen orang Melayu. Dengan ungkapan itu, Karpal yang sentiasa mencari perkataan mencerca, perli dan mengias itu sebenarnya membawa sifat dalaman anti-Melayu.

Inilah sikap Ahli Parlimen Bukit Gelugor yang tidak pernah kesal dengan apa yang diucapkan oleh beliau. Beliau juga mengeluarkan kenyataan bahawa negara ini adalah sebuah negara sekular. Kenyataan beliau jelas bertentangan dengan kenyataan yang dibuat oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir yang jelas mengatakan bahawa Islam adalah agama rasmi negara Malaysia. Dengan fakta yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia jelas menunjukkan bahawa Malaysia juga adalah sebuah negara Islam dan hujah ini sering dikuatkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang sering memberi penjelasan bahawa Malaysia adalah negara Islam dan Islam adalah agama rasmi namun demikian agama lain masih boleh diamalkan dengan bebas tanpa sebarang sekatan.

Karpal Singh mengeluarkan kenyataan kepada media bahawa Tan Sri Pandikar Amin Mulia bersifat emosional ketika menjatuhkan hukuman kepada beliau. Tetapi, tidakkah beliau terfikir bahawa kenyataan beliau sendiri yang banyak menjadikan suasana politik di negara ini sentiasa panas dan menjadi kucar-kacir? Oleh itu, tindakan Speaker Dewan Rakyat dilihat adalah tepat bagi memastikan kejadian ini tidak berulang pada masa akan datang. Seharusnya Speaker bukan memberi hukuman penggantungan daripada menghadiri sidang dewan selama 2 hari, tetapi sehingga akhir tahun ini bagi memastikan si tua OKU ini insaf dan menjaga perasaan orang lain sebelum mengeluarkan sesuatu kenyataan.

Anak beliau juga pernah menerima hukuman yang sama pada bulan Jun lepas atas kesalahan melanggar peraturan mesyuarat 44 berikutan enggan mematuhi arahan pada sesi soal jawab diadakan. Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dilarang memasuki Dewan Rakyat dan menyertai persidangan selama 2 hari. Biasalah, bapak borek anak rintik dan kemana tumpah kuah kalau tidak ke nasi adalah ungkapan tepat yang boleh digambarkan kepada dua beranak di Dewan Rakyat ini. Semoga hukuman ini menjadi pengajaran buat Ahli Parlimen lain dan tidak berulang lagi. Sebagai Ahli Parlimen yang memegang amanah rakyat, berkhidmatlah dengan sepenuh hati demi agama, bangsa dan negara. Rakyat memilih anda semua sebagai wakil di Dewan Rakyat bukan untuk bercakap perkara yang remeh-temeh dan sia-sia sebaliknya berhujah untuk perkara yang dapat membela nasib rakyat jelata. Ingat, YB bukan Yang Berhormat tetapi lebih bagus dipanggil Yang Berkhidmat!!!

3 comments:

Admin said...

Dia ni anak beranak memang perangai macam itu..elok gantung samapi mampuih!

Salam Ziarah bro!

sumandak bayu said...

Salam,
Dia ni saja nak ambil perhatian la BRO.....dia tau setakat digantung tak boleh masuk Dewan Rakyat tak pe yang penting dia masih MP

Pemuda Malaysia said...

terima kasih atas komen desperado dan sumandak bayu..

kita harap pengundi sedar atas apa yang dipilih oleh mereka dalam PRU yang lalu..

Pilih wakil rakyat yang tak tahu berbudi bahasa macam Karpal Singh anak beranak memang sesuatu yang merugikan...