Wednesday, March 18, 2009

Pas persenda kalimah syahadah

Si Keldai turut berada di Masjid Negara pada 7 Mac 2009, hari kumpulan Gerakan Mansuhkan PPSMI berhimpun untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong. Si Keldai lihat kebanyakan yang datang untuk menyertai perhimpunan itu adalah orang-orang Pas. Memakai kopiah, berjanggut dan ramai juga yang berbaju merah, uniform pasukan Amal Pas.
Perhimpunan itu mendapat kebenaran Polis dengan syarat mereka hanya berhimpun di kawasan Masjid Negara. Salah seorang orang kuat gerakan tersebut, Sasterawan Negara A. Samad Said cuba berucap kepada himpunan di pekarangan masjid yang semakin ramai menjelang jam 2 petang.
Namun suaranya yang perlahan dan tidak bermikrofon akhirnya ditenggelami ratib `Lailahaillallah' dan laungan `Allahuakhbar' yang bertalu-talu daripada ribuan orang Pas. Bagaikan orang-orang yang hilang akal, kumpulan Pas yang beratib itu mengasak ke pintu keluar menuju ke jalan raya di sebelah masjid. Sekumpulan anggota polis yang bersiap sedia di pintu pagar cuba menahan mereka, tapi bilangan yang tidak cukup ramai gagal menyekat arus orang-orang Pas.
Akhirnya himpunan yang sepatutnya berlangsung secara aman (mengikut dakwaan Hassan Ahmad, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka yang mengepalai Gerakan Mansuhkan PPSMI), bertukar menjadi demonstrasi jalanan. Wajah Samad Said hilang dalam arus penunjuk perasaan, sebaliknya muncul Hadi Awang, Presiden Pas mengepalai demonstrasi kira-kira 15,000 orang. Si Keldai yakin lebih tiga suku penunjuk perasaan itu adalah orang Pas.
Sebilangan mereka datang dari Kelantan, Terengganu dan Kedah.Dalam sidang akhbar dua hari selepas insiden, Hassan memberitahu bahawa mereka tidak merancang demonstrasi jalanan itu. Hassan juga menegaskan bahawa beliau dan rakan-rakannya termasuk Samad Said tidak menjadi boneka kepada orang-orang politik. Mereka hanya menentang PPSMI, bukannya menentang kerajaan.Hassan memiliki ijazah PhD, tapi nampaknya tidaklah bijak sangat. Budak-budak sekolah rendah bolehlah menelan bulat-bulat cakapnya itu.
Bagi orang yang sudah beruban macam Si Keldai, cakapnya itu tidak masuk akal. Yang pasti, Hassan dan kumpulannya memang telah menjadi boneka politik Pas. Suka atau tidak, itulah hakikatnya.Alang kepalang, eloklah Hassan dan Samad Said turut beratib bersama orang Pas.
Popularkan satu amalan baru, iaitu beratib di jalan raya sambil berjalan dan memekik antikerajaan.
Apa perlunya melaungkan kalimat yang bermaksud ``Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah'' dengan gerakan menentang PPSMI? Adakah bahasa Inggeris haram di sisi Islam dan perlu ditentang dengan jihad melaungkan kalimah Allah? Tidak cukup dengan pekikan ``Allahuakhbar'', Pas kini menjaja ``Lailahaillallah'' pula di atas jalan. Murahnya puji-pujian bagi Allah Yang Maha Suci. Selepas ini apa pula yang Pas akan jaja di jalan raya?
-dipetik daripada Malaysia Aktif, 10 Mac 2009-

1 comment:

Anonymous said...

Hassan memiliki ijazah PhD, tapi nampaknya tidaklah bijak sangat.

untuk melihat isu dgn lbih terbuka , kita hrus mndgr pndgn orng profesional.terutama En.Hassan yg mrupakn bkas pengarah DBP

usaha beliau baik dri segi kpentingn rakyat yang sbenar bkn menntg kerajaan.


malah SN Samad Said mengatakan beliau bkn diperalat tapi DIMANFAAT.