Wednesday, April 23, 2008

Kesetiaan Kepada Parti

Sudah lebih sebulan PRU 12 berlalu. Namun, cerita tentang politik memang tidak akan tamat sampai bila-bila. Ini kerana saban hari kita akan dihidangkan dengan berbagai-bagai ceritera yang pi mai pi mai tang tu juga. Antara kisah politik yang menjadi ulasan saya hari ini adalah mengenai kesetiaan kepada parti.
Barisan Nasional (BN) adalah sebuah parti yang diwakili oleh parti-parti komponen seperti UMNO, MCA, MIC, Gerakan, PPP, dan juga parti-parti komponen di Sabah dan Sarawak iaitu SAPP, PBS, PBRS, LDP dan lain-lain. Selain daripada itu, parti pembangkang turut meniru langkah parti BN dengan menubuhkan Barisan Alternatif dan kini dikenali dengan nama Pakatan Rakyat di mana Pakatan Rakyat (PR) dinaungi oleh PKR, PAS, dan DAP.
Perubahan ketara dalam politik negara amat dirasakan apabila BN kalah di 4 buah negeri selain turut gagal mempertahankan majoriti 2/3 kerusi di Parlimen. Namun kita harus bersyukur kerana BN berjaya memperolehi majoriti mudah dan ini membolehkan BN membentuk kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdullah bin Ahmad Badawi. Apa yang diharapkan oleh rakyat hari ini supaya kerajaan dapat memahami dengan jelas mesej yang ingin disampaikan oleh mereka dan melakukan sesuatu perubahan yang drastik agar kerajaan BN terus dapat diterima untuk masa akan datang.
Namun, pasca PRU 12 ini kita mendengar kisah lompat-melompat parti di mana wakil rakyat BN terutamanya daripada Sabah dan Sarawak yang telah dipelawa oleh mantan Timbalan PM serta penasihat PKR, Anwar Ibrahim untuk menyertai Keadilan dan membentuk kerajaan yang baru dengan Anwar Ibrahim bakal menjadi Perdana Menteri. Alhamdulillah, sehingga ke hari ini pemimpin-pemimpin dari Sabah dan Sarawak telah berjanji untuk taat dan setia kepada kerajaan BN dan tidak akan terpengaruh dengan pujuk rayu yang dibuat oleh Anwar Ibrahim. Saya amat berharap agar apa yang dikatakan oleh pemimpin-pemimpin dari Sabah dan Sarawak adalah benar kerana rakyat menaruh harapan yang tinggi kepada wakil rakyat dari BN. Oleh itu, janganlah disia-siakan harapan rakyat yang telah memangkah calon-calon wakil rakyat dari parti BN.
Kesetiaan kepada parti amat penting dan merupakan satu prinsip yang harus dipegang oleh semua ahli di dalam parti BN. Dengan semangat pemuafakatan dan saling bekerjasama, BN berjaya mengharungi 50 tahun kemerdekaan dengan meletakkan negara Malaysia di mercu kejayaan sehingga dikenali oleh dunia sebagai sebuah negara yang maju dan makmur. Pemimpin datang silih berganti namun BN tetap gah mengharungi suka dan duka sepanjang 50 tahun kemerdekaan. Walaupun BN didaftarkan secara rasmi pada tahun 1974, namun sebelum itu BN telah bekerjasama dibawah nama Parti Perikatan sejak tahun 1955 lagi. Hasil kerjasama di antara UMNO, MCA, dan MIC telah membuahkan hasil iaitu memenangi 51 daripada 52 buah kerusi dalam pilihanraya yang pertama pada tahun 1955.
Apa pun, itu adalah cerita lama yang menjadi sejarah dan kenangan manis kepada Parti Perikatan yang kini dikenali dengan nama Barisan Nasional. BN pada tahun 2008 mengalami kenangan yang amat pahit apabila berlakunya tsunami politik yang membuatkan parti-parti komponen di dalam BN seperti MCA, MIC dan Gerakan kelemasan dan tewas mengejut kepada parti pembangkang. Gerakan di Pulau Pinang telah tersungkur di tangan DAP dan ini menandakan betapa pentingnya suara rakyat untuk didengari dan diberi perhatian. Tetapi, nasi sudah menjadi bubur. Parti-parti komponen di dalam BN harus bermuhasabah diri dan mencari kelemahan yang timbul lalu memperbaiki kelemahan yang ada dan kuatkanlah parti bermula daripada akar umbi untuk memastikan kebangkitan parti komponen BN dalam pilihanraya akan datang. Memang pilihanraya akan datang masih jauh tetapi segala kerja mengukuhkan parti sepatutnya bermula sekarang kerana ia akan memastikan kesinambungan kekuatan sesebuah parti dapat dipertahankan.
Salah satu cara menguatkan parti adalah dengan setia kepada parti walaupun ketika parti itu berada di dalam keadaan yang tidak menentu akibat kekalahan di dalam pilihanraya yang lalu. Kesetiaan kepada parti amat penting kerana selepas sesuatu pilihanraya dijalankan, dijangka akan ada anasir negatif yang cuba menangguk di air keruh dan ini terbukti dengan keadaan di Pulau Pinang. Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah mempelawa bekas Timbalan Setiausaha Agung Parti Gerakan, Datuk Lee Kah Choon memegang dua jawatan penting di dalam Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Invest Penang Berhad (iP). Apa rasional pelantikan Datuk Lee Kah Choon dalam kedua-dua jawatan ini? Apa yang perlu kita tahu di sini ialah Datuk Lee Kah Choon hanya berpengalaman sebagai seorang peguam dan bekas Setiausaha Parlimen. Jelas di sini bahawa Lim Guan Eng mempunyai motif politik di sebalik pelantikan Datuk Lee Kah Choon dalam dua jawatan utama di atas.
Datuk Lee Kah Choon seharusnya menyedari implikasi yang timbul di atas kesediaan beliau menerima pelantikan tersebut kerana arahan telah dikeluarkan oleh Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon iaitu melarang mana-mana ahli Gerakan menyertai barisan kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Dengan ini, Datuk Lee Kah Choon telah melanggar prinsip dan arahan yang dikeluarkan oleh parti Gerakan. Dalam situasi politik masa kini, Datuk Lee Kah Choon tidak boleh mengambil sebarang keputusan yang membelakangkan kepentingan parti. Jika Datuk Lee Kah Choon kemaruk sangat ingin membesarkan tembolok perut beliau dengan habuan yang bakal diberikan oleh DAP, keluar dari parti Gerakan dan sertai DAP atau pun berhenti daripada arena politik dan beri tumpuan sepenuhnya kepada bidang perniagaan. Adakah Datuk Lee Kah Choon tidak mempunyai perasaan malu kerana menerima pelantikan dari DAP setelah saban hari mengutuk dan mengkritik kepimpinan DAP? Ternyata agenda peribadi Datuk Lee Kah Choon telah mengatasi kepentingan parti Gerakan sendiri.
Gerakan harus menyelesaikan isu Datuk Lee Kah Choon ini secepat mungkin. Manusia seperti Datuk Lee Kah Choon tidak perlu berada di dalam parti Gerakan kerana hanya ingin bersama ketika senang dan lari apabila parti Gerakan berada di dalam kesusahan. Langkah terbaik adalah memecat sahaja keahlian Datuk Lee Kah Choon kerana beliau dengan jelas telah melanggar prinsip dan arahan yang dikeluarkan oleh kepimpinan parti.

No comments: