Thursday, June 18, 2009

Nyanyuk, Pura-Pura, Jujur???

Kata orang, makin tua makin nyanyuk. Bila dah nyanyuk mulalah cakap merapu. Namun apa yang saya maksudkan di sini hanya perumpamaan sahaja tanpa merujuk kepada sesiapa. Tetapi siapa yang makan cili akan terasa pedasnya.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini membidas orang nombor dua dalam parti PAS iaitu Nasharudin Mat Isa kerana menyatakan sokongan kepada idea pembentukan Kerajaan Perpaduan yang diwar-warkan oleh Presiden PAS sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Malahan Nik Aziz turut mengarahkan agar Nasharudin meletak jawatan di dalam parti dan Ahli Parlimen Bachok serta meminta beliau keluar dari PAS dan menyertai UMNO jika hasrat menubuhkan Kerajaan Perpaduan diteruskan juga oleh Nasharudin.

Inilah yang dikatakan sudah tua tetapi perangai seolah-olah seperti budak-budak sekolah tadika. Nik Aziz merasakan bahawa beliau yang sentiasa betul dalam setiap tindakan dan nasihat yang diberikan. Beliau harus ingat bahawa sebagai umat Islam 'perpaduan' adalah satu elemen wajib yang diterapkan dalam ajaran Islam. Hanya dengan melalui perpaduan sahaja umat Islam akan menjadi maju dan tidak akan ditindas oleh agama lain.

Saya tidak berniat langsung untuk berceramah kerana saya sedar jika hendak dibandingkan ilmu agama yang saya pelajari dengan Nik Aziz seperti langit dan bumi. Namun ada satu perkara yang tidak boleh dinafikan oleh mana-mana insan di dunia ini iaitu pendapat kita sendiri dalam menilai sesuatu isu atau permasalahan yang timbul. Saya ada pendapat saya sendiri dan begitu juga dengan Nik Aziz. Nik Aziz hanya mengatakan bahawa sesiapa yang menyokong atau bersetuju dengan kerajaan perpaduan layak digelar "boneka UMNO" tanpa disertai dengan fakta kenapa beliau berkata begitu. Amat buruk sekali tafsiran beliau kepada idea yang dilihat mampu mengembalikan kekuatan dan keharmonian umat Islam serta kaum agama lain di Malaysia. Sanggup pula beliau menghalau Timbalan Presiden PAS dengan menyuruh meletak jawatan dan menyertai UMNO.

Sepatutnya sebagai seorang yang boleh dikatakan lama dalam politik dan kehidupan seharian, Nik Aziz tidak harus cepat melatah dengan idea tersebut. Namun apa nak dikata, mungkin Nik Aziz melihat idea penubuhan kerajaan perpaduan yang dibangkitkan oleh orang PAS sendiri akan menjejaskan populariti serta kemasyuran beliau dalam parti PAS sendiri. Saya pun tidak tahu apa yang UMNO telah lakukan kepada beliau sehingga menyimpan dendam sebegitu rupa dengan menuduh yang bukan-bukan kepada UMNO padahal idea kerajaan perpaduan lahir daripada Presiden PAS sendiri dan langsung tiada kaitan dengan UMNO.

Apapun, kita tunggu dan lihat sandiwara yang bermain dalam parti PAS ini kerana bagi saya Konsep 1 Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak lebih kemas dan amat difahami berbanding dengan idea Haji Hadi untuk membentuk kerajaan perpaduan. Ini kerana konsep 1 Malaysia telah dilihat lebih telus perancangannya dan apa yang cuba dibawa oleh Datuk Seri Najib dilihat lebih ikhlas dan jujur dalam melihat semua rakyat Malaysia bersatu di bawah konsep 1 Malaysia. Idea penubuhan kerajaan perpaduan masih samar-samar dan saya berpendapat Haji Hadi sebenarnya cuba menenggelamkan idea yang dibawa oleh Datuk Seri Najib mengenai konsep 1 Malaysia. Ini kerana konsep 1 Malaysia dilihat semakin diterima oleh masyarakat Malaysia dan kerajaan Pusat telah bergerak dengan aktif dan tersusun untuk menerangkan kepada rakyat Malaysia mengenai konsep 1 Malaysia. Dengan slogan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" dijangka dapat menambat hati rakyat Malaysia untuk menerima konsep 1 Malaysia ini.

Itulah perbezaan ketara antara pemimpin UMNO dan PAS. Pemimpin UMNO bukan sekadar hanya bercakap malahan disertai 'blue print' dalam menjelaskan idea yang dizahirkan. Tetapi tidak bagi pemimpin PAS yang hanya tahu bercakap tetapi malangnya mereka gagal membuktikan dengan tindakan dan ini dapat dilihat sejarahnya ketika PAS mentadbir Terengganu pada tahun 1999 di mana hukum Hudud yang dilaungkan sewaktu berkempen dalam pilihan raya gagal direalisasikan apabila mereka menang dan memerintah Terengganu kerana 'blue print' pun tiada sebaliknya ia hanya sekadar laungan kosong.

Kini, perkara yang sama juga terjadi dalam idea kerajaan perpaduan, hanya sekadar keluar dari mulut tetapi tidak ada perbincangan lanjut atau kerangka serta kertas kerja yang dapat menyokong idea Haji Hadi. Oleh itu, kita sebagai manusia yang dikurniakan akal seharusnya dapat menilai antara konsep 1 Malaysia dan idea kerajaan perpaduan yang mana lebih jelas dan nyata.

No comments: