Friday, July 11, 2008

SECEBIS WARKAH DARI PENULIS

Salam sejahtera buat pengunjung blog Pemuda Malaysia sekalian..

Rasanya dah dua hari saya tak update blog saya kerana kesibukan tugas lain yang perlu diberi keutamaan. Namun saya cuba juga mencuri masa untuk menulis di dalam blog ini agar ia kelihatan menarik dan menggamit pengunjung untuk membaca isi hati blog Pemuda Malaysia ini.

Pergolakan politik tempatan, ekonomi yang kelihatan lembab, isu liwat yang melibatkan mantan TPM,isu tunjuk 'punggung' oleh artis underground dalam himpunan PROTES anjuran pihak pembangkang, dakwaan mantan TPM terhadap KPN dan Peguam Negara, masalah-masalah rakyat seperti pengangkutan awam, kenaikan harga minyak dan harga barang serta bermacam-macam masalah lain amat memberi cabaran kepada Perdana Menteri kita, Datuk Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi dan kabinetnya menuntut untuk diselesaikan sebaik yang mungkin.

Saya yang berada dalam pentadbiran kerajaan sentiasa menyokong kepimpinan Pak Lah selaku Ketua Pentadbiran Negara Malaysia dengan dibantu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. Walaupun terdapat suara-suara yang mendesak agar Pak Lah meletak jawatan kerana dikatakan gagal menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan, kita seharusnya tidak mengikut irama sumbang yang dialunkan oleh mereka yang berhaluan kiri. Pilihanraya ke-12 yang telah berlalu telah membuktikan Barisan Nasional yang diterajui oleh Pak Lah telah mendapat mandat daripada rakyat untuk meneruskan agenda pentadbiran yang telah digariskan. Walaupun BN gagal memperolehi mandat 2/3 di Parlimen, kemenangan "simple majority" sudah cukup menguatkan hujah akan kemenangan BN dalam pilihanraya yang lepas.

Bukan senang untuk memuaskan hati semua kaum di Malaysia. Sebagai sebuah negara majmuk dan berbilang kaum, Pak Lah sebagai PM menghadapi cabaran yang cukup berat untk memastikan semua golongan rakyat dapat menikmati segala kemajuan dan kemakmuran yang diperolehi. Di samping itu, Pak Lah juga bertanggungjawab memastikan kontrak sosial yang termaktub sejak zaman kemerdekaan lagi berjaya dipertahankan tanpa dipersoalkan oleh mana-mana kaum lain di negara ini. Status keistimewaan hak bumiputera juga mesti dipelihara kerana asal Malaysia adalah "Tanah Melayu" dan perkataan "Tanah Melayu" sudah cukup memberi gambaran yang jelas kepada kita semua tentang hak orang Melayu di Malaysia.

Cukuplah kita dijajah selama beratus-ratus tahun dan kini kita mesti mempertahankan kemerdekaan yang kita kecapi sejak 50 tahun yang lalu. Namun, dalam memastikan kemerdekaan di Malaysia adalah berterusan untuk manfaat generasi akan datang, kita dikejutkan dengan isu "Perjanjian Pangkor 2" yang dikatakan termeterai di antara Menteri Besar Perak dengan Parti DAP. Perkara ini tidak boleh dipandang remeh jika ia benar-benar terjadi. Ia boleh diklasifikasikan sebagai penjajahan bentuk baru yang tidak melibatkan sebarang tindakan kekerasan atau agresif. Penjajahan sebegini boleh ditakrifkan sebagai penjajahan secara lembut dan penuh terancang akibat daripada ketamakan kuasa yang menguasai diri seseorang.

Terbaru, Pak Lah telah mengumumkan bahawa beliau akan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada Jun 2010. Dengan pengumuman ini, tamatlah spekulasi dan andaian dari pelbagai sudut mengenai peralihan kuasa di antara Pak Lah dan Najib. Saya berharap tidak berlaku apa-apa insiden dan masalah disebalik pengumuman ini. Mungkin pihak pembangkang akan ketandusan isu selepas ini seterusnya mereka terpaksa melakukan berbagai-bagai tuduhan liar untuk memburukkan kepimpinan Pak Lah dan Barisan Nasional.

Apapun yang berlaku, kita sebagai rakyat Malaysia harus sedar mengenai tanggungjawab sebagai rakyat. Patuhilah segala undang-undang yanng digariskan dan jangan bertindak mengikut nafsu amarah akibat daripada ketidaktentuan ekonomi kerana bukan Malaysia juga yang menghadapi masalah ekonomi dan kenaikan harga barang malah ia melibatkan peringkat global.

Saya sentiasa berdoa supaya Malaysia terus aman, makmur dan selamat di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia, Sultan Mizan sebagai ketua negara dan kepimpinan Pak Lah yang menggerakkan kerajaan Malaysia.

Amin...

No comments: