Thursday, July 3, 2008

JANGAN SERTAI DEMONSTRASI JALANAN

Perhimpunan haram di Malaysia sudah seakan fenomena biasa. Ia akan berlangsung ketika terjadinya sesuatu perkara yang dikatakan membabitkan kepentingan awam. Sesuatu perhimpunan yang dibuat biasanya memang tidak akan mendapat kebenaran ataupun permit daripada pihak polis. Oleh itu, wajarlah ia dipanggil perhimpunan haram.

Perhimpunan haram mula bertapak di Malaysia ketika mantan TPM, DSAI dipecat daripada kabinet dan kerajaan. Kini, ia menjadi trend kepada golongan tertentu yang taksub dan mempunyai matlamat berhaluan kiri untuk mendesak kerajaan Malaysia tunduk kepada demonstrasi-demonstrasi yang berlangsung. Namun, terfikirkah di benak pemikiran mereka yang menyertai demonstrasi dan perhimpunan haram bahawa ia tidak membawa sebarang manfaat malahan hanya akan mengundang gejala-gejala negatif? Betapa bodohnya mereka yang sanggup berpanas dan berhujan berarak untuk membantah sesuatu perkara yang dilakukan oleh kerajaan.

Dalam Berita Harian Online hari ini pihak polis telah memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menghadiri perhimpunan anjuran Pakatan Rakyat di padang berdekatan Amcorp Mall, di Petaling Jaya, Ahad ini. Perhimpunan haram ini diadakan di antaranya untuk membantah dan memprotes kenaikan harga minyak yang berlaku bulan Jun yang lalu.

Parti "Pakatan Rapuh" mengatakan bahawa perhimpunan yang akan mereka anjurkan dijamin tidak akan membawa kepada apa-apa masalah yang melibatkan undang-undang. Namun saya ingin memberi satu contoh di sini, anda memandu kereta di malam hari di sebatang jalan raya yang lengang. Ketika memandu, anda akan melalui sebuah lampu isyarat yang ketika itu berwarna merah. Anda dapati memang tiada langsung kenderaan lain dan anda memutuskan untuk meneruskan perjalanan dengan melanggar lampu isyarat yang ketika itu sedang merah. Tiba-tiba, selepas anda melanggar lampu isyarat ada sebuah kereta polis yang sedang meronda dan melihat anda melakukan kesalahan tersebut. Anda ditahan oleh kereta peronda dan anda akan disaman kerana melakukan kesalahan tersebut. Anda merayu dengan memberikan alasan bahawa tiada sebuah kenderaan yang melalui persimpangan tersebut. Apa pun alasan anda, anda akan tetap disaman kerana melanggar lampu isyarat merah yang sepatutnya anda berhenti ketika itu. Cerita yang saya paparkan di atas adalah sama dengan orang yang ingin berdemonstrasi tetapi tidak mendapat permit daripada pihak polis. Walaupun mereka yang ingin mengadakan perhimpunan ini mengatakan ia adalah perhimpunan aman dan tidak akan mencetuskan huru-hara, tetapi ia tetap salah di sisi undang-undang kerana tiada permit.

Jadi, saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar tidak terlalu mengikut perasaan marah dengan menganjurkan atau menyertai demonstrasi jalanan yang hanya akan menjadikan Malaysia negara bermasalah. Biarlah "Pakatan Rapuh" nak buat apa sekalipun, kerana ia tidak lebih daripada agenda peribadi untuk menguasai negara Malaysia. Sebagai masyarakat yang rasional, demonstrasi bukan penyelesaian kepada masalah yang menimpa, sebaliknya bantulah kerajaan mencipta persekitaran yang aman, makmur dan selamat supaya pelabur dan pelancong dari luar tidak takut datang ke Malaysia.

No comments: