Tuesday, July 8, 2008

PENDIDIKAN KEPADA MASYARAKAT JUGA PERLU

Ketika sesi penggulungan jawapan RMK-9 oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Dato' Chor Chee Heung, MP Shah Alam membangkitkan mengenai penglibatan anggota polis dalam isu rasuah.

Dato' Chor Chee Heung menjawab persoalan mengenai gejala rasuah yang dikemukakan kepada agensi penguatkuasaan seperti PDRM bahawa memang ada segelintir anggota polis yang terlibat dalam gejala rasuah namun jumlah angka yang menunjukkan penglibatan anggota polis amat kecil. Kerajaan Malaysia tidak pernah berkompromi dan tindakan tegas telah diambil kepada mana-mana anggota polis yang terbabit dalam gejala rasuah.

Namun, Dato' Chor Chee Heung turut memberi penyelesaian kepada gejala rasuah yang melibatkan anggota polis dengan mengatakan bahawa rakyat juga harus memainkan peranan dalam mengurangkan kes rasuah seterusnya menjadikan negara Malaysia sifar rasuah. Rakyat harus diberi pendidikan moral mengenai bahayanya rasuah kepada pembangunan negara. Timbalan Menteri Dalam Negeri itu berkata, jika tepuk sebelah tangan, tidak akan berbunyi. Ini merujuk kepada perangai sesetengah rakyat Malaysia yang memberi rasuah kepada anggota polis dan untuk mengelakkan perkara sebegini berlaku, rakyat mesti bekerjasama dengan melaporkan kepada pihak atasan jika berlaku kes rasuah yang melibatkan anggota polis atau agensi penguatkuasaan yang lain supaya tindakan segera dapat diambil.

No comments: