Tuesday, June 3, 2008

SEDIKIT MAKLUMAT MENGENAI ISLAM HADHARI

Saya akan cuba menerangkan serba sedikit mengenai Islam Hadhari kerana mungkin ramai rakyat Malaysia kurang mengetahui mengenai pendekatan Islam Hadhari. Keghairahan kerajaan Selangor yang baru menunjukkan kuasa dengan mengharamkan sebarang program yang berkaitan dengan konsep Islam Hadhari adalah sesuatu yang tidak patut terjadi.

Lebih mengelirukan lagi apabila pemimpin yang tampak bersemangat mengharamkan pendekatan Islam Hadhari tanpa segan silu mempertahankan pula projek pembinaan ladang babi terbesar yang mencecah RM 100 juta ketika polemik mengenainya tercetus tidak berapa lama dulu.

Islam Hadhari bermaksud pendekatan pembangunan manusia, masyarakat dan Negara Malaysia yang bersifat menyeluruh, berdasarkan kepada tamadun Islam. Matlamat Islam Hadhari adalah untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang mempunyai pemikiran yang matang, terbuka dan kreatif dalam membangunkan masyarakat dan negara.

Islam Hadhari ialah perjuangan Islam berdasarkan pendekatan ketamadunan. Ia berbeza dengan pendekatan yang lain yang pernah digunakan oleh umat Islam sebelum ini seperti Islam Siyasi yang hanya memperjuangkan Islam dari aspek kuasa dan politik semata-mata, begitu jga dengan Islam Rahani iaitu perjuangan Islam yang berdasarkan kekuatan akidah semata-mata dan mengabaikan tuntutan dunia.

Islam Hadhari ialah perjuangan yang menggunakan pendekatan yang menyeluruh mencakupi aspek keduniaan dan keagamaan dalam membina semula kecemerlangan tamadun Islam. Tiada lagi yang terpisah dan bergerak bersendirian di mana semuanya akan bergerak secara bersepadu dan komprehensif.

Saya rasa 10 prinsip dalam Islam Hadhari mungkin telah diketahui oleh pembaca-pembaca yang rajin mencari ilmu dengan membaca makalah-makalah yang diterbitkan di kedai buku seluruh Malaysia. Namun saya akan senaraikan juga 10 prinsip Islam Hadhari yang menjadi tunjang kepada pembentukan dan penghayatan dalam menelusuri konsep Islam Hadhari. 10 prinsip Islam Hadhari ialah :

1. Keimanan dan Ketakwaan kepada Allah
2. Kerajaan Adil dan Beramanah
3. Rakyat Berjiwa Merdeka
4. Penguasaan Ilmu Pengetahuan
5. Pembangunan Ekonomi Seimbang dan Komprehensif
6. Kehidupan Berkualiti
7. Pembelaan Hak Kumpulan Minoriti dan Wanita
8. Keutuhan Budaya dan Moral
9. Pemeliharaan Alam Semulajadi
10. Kekuatan Pertahanan

10 prinsip di atas yang terkandung dalam kita memahami pendekatan Islam Hadhari adalah lengkap bagi sesebuah kerajaan menjalankan pemerintahan yang adil dan melaksanakan berbagai-bagai agenda kemajuan untuk dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

Saya berharap agar semua pembaca yang musykil terhadap pendekatan Islam Hadhari dapat mencari bahan bacaan yang terperinci tanpa menjatuhkan sebarang hukum seperti yang dilakukan oleh pemimpin kerajaan negeri Selangor baru-baru ini dengan menjatuhkan hukum "HARAM" terhadap sebarang aktiviti atau program yang berkaitan dengan Islam Hadhari.

Jangan letakkan kepentingan politik kepartian melebihi agama Islam dengan membuat sebarang keputusan yang boleh menjejaskan minda rakyat Malaysia.

No comments: