Tuesday, June 3, 2008

JPA PENUHI KEHENDAK RAKYAT

KUALA LUMPUR 2 Jun - Keputusan kerajaan menaikkan kuota biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk pelajar bukan bumiputera dari 10 peratus kepada 45 peratus bertujuan memenuhi kehendak rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, ia cukup jelas pada pilihan raya umum lalu apabila rakyat segenap lapisan dengan lantang mahu kerajaan melakukan perubahan dan berlaku adil terhadap semua kaum.

"Apabila kerajaan cuba menaikkan kuota untuk biasiswa JPA bagi bukan bumiputera mengapa pula ada pihak yang hendak bising,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan beliau berhubung keputusan kerajaan menaikkan kuota biasiswa JPA untuk program ijazah di luar negara kepada pelajar bukan bumiputera dari 10 peratus kepada 45 peratus mulai tahun ini.

Secara keseluruhan sebanyak 2,000 biasiswa disediakan oleh JPA iaitu 1,100 untuk bumiputera dan 900 untuk bukan bumiputera.

Menurut Mohamed Nazri, pada pilihan raya umum lalu, rakyat telah membuat keputusan dengan memberikan sokongan kepada parti pembangkang kerana beranggapan UMNO tidak lagi relevan serta tidak berfungsi membela penduduk miskin.

''Jadi kali ini, kita cuba dengar cakap rakyat melalui keputusan yang kita buat dengan menaikkan kuota bukan bumiputera.

''Tetapi kenapa pula mereka hendak marah apabila kita cuba bantu penduduk miskin, bukankah ini yang mereka mahu,'' ujarnya.

Jelas beliau, orang Melayu telah memilih Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga Pas yang cukup jelas tidak menekankan perjuangan Melayu.

''Inilah padahnya dan orang Melayu perlu terima keputusan ini,'' tegasnya.

Ketika ditanya mengenai pertemuannya dengan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mohamed Nazri berkata, beliau dijangka bertemu dengan GPMS pada pertengahan bulan ini bagi menjelaskan keputusan kerajaan itu kepada pertubuhan tersebut.

Utusan Malaysia Online - 3 Jun 2008

No comments: