Thursday, June 19, 2008

SABAH, SAPP, YTL..

Tindakan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee mengumumkan bahawa parti SAPP hilang kepercayaan kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah bin Hj. Ahmad Badawi adalah satu tindakan yang amat dikesali dan tidak seharusnya dilakukan oleh beliau.

Namun demikian, jika kita menyelusuri sejarah pembabitan Datuk Yong Teck Lee yang selepas ini akan saya gelar YTL, penuh dengan warna-warni. Tapi sayangnya warna- warni politik YTL bukanlah bercorak positif sebaliknya banyak dipenuhi kontroversi bersifat negatif. Akhbar-akhbar arus perdana hari ini memaparkan berita mengenai usul undi tidak percaya SAPP kepada PM sebagai tajuk utama. Di dalam akhbar Berita Harian misalnya, "YTL belot lagi" dan ini menunjukkan sebelum ini YTL pernah mengetuai tindakan untuk belot kepada Parti Bersatu Sabah (PBS) yang diketuai oleh Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan sehingga menyebabkan kerajaan PBS tumbang pada tahun 1994.

YTL adalah seorang ahli politik yang tidak tahu berterima kasih kepada PBS dan Barisan Nasional (BN). Presiden PBS, Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan bertanggungjawab membawa YTL masuk ke arena politik melalui PBS dan pada tahun 1994 YTL bertindak belot kepada Presiden PBS dengan mengemukakan alasan 'hilang kepercayaan' kepada Presiden PBS lalu membentuk SAPP. Hari ini, atas alasan yang sama, YTL mengemukakan alasan yang sama kepada PM dan tindakan ini tidak patut dihairankan kerana YTL pernah melakukan perkara yang sama satu ketika dahulu.

YTL memang wajar digelar pembelot kerana tindakan beliau yang sentiasa mengambil peluang di atas ketidaktentuan senario politik di Malaysia selepas pilihan raya umum lalu yang menyaksikan kegagalan BN mempertahankan majoriti 2/3 di Parlimen. Namun ini bukanlah alasan untuk melakukan tindakan sedemikian kerana kerajaan BN tetap menang dan mampu mentadbir negara Malaysia sebaik yang mungkin. Perumpamaan 'kacang lupakan kulit', 'gunting dalam lipatan' serta 'musuh dalam selimut' adalah bertepatan dengan wajah sebenar YTL.

Namun, tindakan YTL ini dilihat tidak mencerminkan keputusan keseluruhan parti kerana Timbalan Presiden SAPP, Datuk Raymond Tan Shu Kiah mengatakan keputusan ini tidak pernah dibincang di peringkat Majlis Tertinggi parti itu. Jelas di sini keputusan yang diambil oleh YTL lebih bersifat individu dan mempunyai agenda peribadi lebih-lebih lagi apabila beliau sendiri mengaku pernah berjumpa Penasihat Parti Keadilan Rakyat namun tidak diberitahu isi perbincangan pertemuan tersebut.

Saya berpendapat keputusan ini tidak akan menggoyahkan pentadbiran Pak Lah namun sedikit sebanyak akan mencalarkan kredibiliti beliau sebagai Presiden BN dan Perdana Menteri. Isu ini harus ditangani dengan bijak dan tidak perlu diambil tindakan terburu-buru yang boleh menjejaskan kuasa BN. Sokongan padu dan tidak berbelah-bahagi yang ditonjolkan oleh parti komponen lain dalam BN menunjukkan bahawa BN masih mendapat kepercayaan dan menjadi payung kepada semua parti dibawah naungannya.

Saya ingin menyarankan kepada kepimpinan parti SAPP dan ahli-ahlinya. Jika ada kepimpinan parti SAPP dan ahli-ahli yang tidak menyebelahi YTL, apa kata anda semua mengemukakan usul undi tidak percaya pula kepada YTL dan meminta YTL melepaskan jawatan Presiden SAPP. Ini bagi memberi 'signal' kepada YTL bahawa tindakan yang diambil beliau tidak jujur dan dianggap belot kepada SAPP dan juga BN. Seharusnya semua parti komponen di dalam BN tidak mengambil kesempatan di atas situasi politik masa kini, sebaliknya berganding bahu dan taat setia kepada BN demi mengembalikan kekuatan BN dalam menghadapi Parti Pakatan Rakyat.

4 comments:

Anonymous said...

Berani kerana benar
takut kerana salah

Pemuda Malaysia said...

terima kasih atas komen saudara 'anonymous'. cuma saya kurang faham, saudara tujukan kepada siapa bidalan tersebut?

Anonymous said...

Pemuda Malaysia, tertinggal satu perkataan di tengah 'Ampu'. Yang sebenarnya Pemuda Ampu Malaysia. Biasa la 'cari makan'.

Pemuda Malaysia said...

saudara anonymous,

apa kata saudara guna nama lain selain daripada nama anonymous? nama samaran pun saya tak kisah. baru lah lebih berani kan...

actually, terima kasih atas komen saudara. namun ingin saya ingatkan, saya tak pernah cari makan guna blog.

saya lakukan semua ini kerana saya mengetahui cerita yang sebenar tentang kerajaan pusat.

terpulang pada saudara untuk menilai. saya tiada niat untuk mengampu kerajaan pusat.