Friday, June 6, 2008

Minyak Oh Minyak...

Kenaikan harga minyak dua hari lepas telah menimbulkan pelbagai reaksi lapisan masyarakat. Nyata, keseluruhan rakyat Malaysia amat terperanjat dengan peningkatan harga minyak petrol dan diesel secara mendadak. Harga petrol telah mengalami kenaikan sebanyak RM 0.78 sen menjadi RM 2.70 dan harga diesel pula menjadi RM 2.58 setelah mengalami kenaikan sebanyak RM 1.00.

Saya sebagai rakyat Malaysia juga tidak menafikan turut rasa terbeban dengan peningkatan harga minyak yang dikatakan meningkat sebanyak 40%. Namun kita tidak boleh menyalahkan kerajaan 100% mengenai isu minyak kerana walaupun Malaysia dikenali sebagai negara pengeluar minyak, tetapi hasil minyak kita bukanlah berada dalam skala yang besar seperti Kuwait, Venezuela, Arab Saudi dan negara Arab yang lain. Pengeluaran minyak di Malaysia adalah lebih kurang 650,000 tong minyak sehari. 400,000 tong digunakan untuk rakyat Malaysia manakala baki sebanyak 250,000 tong telah dieksport.

Petronas sebagai syarikat pengeluar petroleum negara mengalami masalah peningkatan kos carigali minyak yang kini semakin meningkat lebih 200%. Tetapi rakyat langsung tidak ambil kisah mengenai masalah yang dialami oleh Petronas. Kita kena bersikap rasional dalam hal sebegini. Elakkan mencari kesalahan kerajaan kerana harga minyak ditentukan oleh pasaran antarabangsa.

Sebenarnya, selepas 2 hari kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak, harga minyak antarabangsa telah meningkat lagi menghampiri USD 140 setong (RM 448). Ini bermakna kerajaan bukan lagi menanggung subsidi sebanyak 30 sen yang diberikan kepada rakyat tetapi telah meningkat sebanyak 45 sen menjadikan jumlah subsidi yang diberikan kepada rakyat berjumlah 75 sen. Adakah masyarakat terutama di luar bandar menyedari peningkatan harga minyak di peringkat global ini?

Tindakan menangguk di air yang keruh di kalangan parti pembangkang adalah sesuatu yang amat dikesali. Pihak pembangkang mungkin boleh mempengaruhi masyarakat kampung kerana kita sedar maklumat yang cuba disampaikan oleh kerajaan kepada mereka amat terhad berbanding dengan pihak pembangkang yang saban hari mengadakan ceramah di sana sini untuk meracuni minda rakyat. Kerajaan melalui Kementerian Penerangan disarankan segera menjelajah dari kampung ke kampung untuk menjelaskan isu sebenar kenaikan harga minyak supaya rakyat tidak mendapat maklumat yang salah daripada pihak pembangkang yang akan sentiasa mencari kesalahan kerajaan.

Oleh itu, langkah berjimat perlu diambil oleh semua pihak tidak kira sama ada di sebelah rakyat ataupun kerajaan. Rakyat harus menyokong setiap tindakan yang diambil oleh kerajaan kerana tiada satu kerajaan pun ingin menyusahkan rakyat sendiri. Mungkin tindakan menaikkan harga minyak oleh kerajaan adalah tindakan kurang popular tetapi ia adalah pendekatan yang baik untuk jangka masa panjang kerana kerajaan sendiri berjanji akan mengkaji kenaikan harga minyak setiap bulan daripada pelbagai aspek.

No comments: