Tuesday, June 3, 2008

MOHAMAD SABU KALAH

KUALA TERENGGANU 2 Jun - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak dengan kos petisyen yang difailkan oleh Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu supaya 1,089 undi pos bagi Parlimen Kuala Terengganu dikeluarkan daripada kiraan keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 bagi kawasan itu.

Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Datuk Ramly Ali dalam penghakimannya berkata, dakwaan yang dibuat oleh pempetisyen untuk mencabar kesahihan satu undang-undang bertulis mengenai perjalanan pilihan raya tidak termasuk di bawah Seksyen 32(b) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.

Oleh itu, kata beliau, hujah pempetisyen yang menyatakan bahawa Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 yang dibuat di bawah Seksyen 16 Akta Pilihanraya 1958 (Akta 19) adalah ultra vires (melampaui batas undang-undang) Sekysen 13(2) dan 16(2) Akta Pilihanraya 1958 dan di luar bidang kuasa mahkamah untuk menentukan.

Hujah tersebut dikemukakan oleh pempetisyen atas alasan pengundian pos yang dibuat menurut Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 tidak menjamin kerahsian undi yang menjadi satu asas dalam pilihan raya yang adil dan bersih.

''Berdasarkan isu ini, saya menerima bantahan awal oleh responden-responden dan petisyen ini ditolak dengan kos," katanya.

Mohamad memfailkan petisyen berkenaan pada 28 April lepas dengan menamakan pegawai pengurusan pilihan raya bagi Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim; Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Razali Ismail sebagai responden pertama, kedua dan ketiga.

Sebelum itu, responden pertama dan kedua melalui Peguam Kanan Persekutuan, Azizan Md. Arshad mengemukakan bantahan awal kepada mahkamah menyatakan bahawa mencabar kesahan sesuatu undang-undang pilihan raya tidak termasuk dalam bidang kuasa Mahkamah Pilihan Raya dan tiada deklarasi sedemikian boleh dibenarkan.

Menurutnya, sama ada undang-undang itu sah atau tidak, ia hendaklah dicabar di Mahkamah Persekutuan.

Jelasnya, sekiranya Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundia Pos) 2003 yang dibuat di bawah Seksyen 16 Akta Pilihan Raya 1958 hendak dicabar, ia tidak boleh melalui petisyen pilihan raya.

Responden ketiga dalam bantahan awal yang dibuat oleh peguamnya, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin menyatakan bahawa mahkamah ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar petisyen berkenaan kerana ia tidak mematuhi Peraturan 15(1) Petisyen Pilihan Raya 1954.

Selain itu katanya, fakta yang dikemukakan oleh pempetisyen tidak termasuk di bawah Seksyen 32(b) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 selain pempetisyen juga gagal membuktikan bahawa perkara itu boleh memberi kesan kepada keputusan pilihan raya.

Peguam pempetisyen, Mohd. Arif Yusof dalam jawapan balasnya pula berkata, jika undi pos itu ditolak, sudah tentu ia memberi kesan kepada keputusan pilihan raya kerana jumlahnya lebih banyak daripada undi majoriti yang dimenangi oleh responden ketiga.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12, 8 Mac lalu, Parlimen Kuala Terengganu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad, Razali dan calon bebas warga emas, Maimun Yusuf berusia 89 tahun.

Razali yang kini merupakan Timbalan Menteri Pelajaran menang dengan majoriti 628 undi apabila memperoleh 32,562 undi berbanding Mohamad sebanyak 31,934 undi manakala Maimun memperoleh 685 undi.

Utusan Malaysia Online - 3 Jun 2008

No comments: