Thursday, May 8, 2008

Peranan JAKIM

Pada sesi bahas usul titah diraja, seorang ahli Dewan Rakyat daripada parti pembangkang telah mendakwa kerajaan Malaysia gagal menangani isu murtad yang melanda negara. Saya selaku rakyat Malaysia berasa bertanggungjawab untuk menafikan dakwaan ahli Dewan Rakyat daripada parti pembangkang tersebut. Saya akan cuba memberikan pendapat yang terbaik untuk tatapan rakyat Malaysia agar rakyat dapat memahami isu sebenar yang dibangkitkan oleh wakil rakyat pembangkang.


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah satu badan kerajaan yang ditubuhkan sejak 1968 dan bermula sebagai urus setia kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI). Ia ditugaskan menyelaras dan menyeragam sistem perundangan Islam, pentadbiran hal ehwal Islam dan sistem pendidikan Islam. Tugas Jakim lebih kepada merancang dan menyelaras tetapi badan yang melaksanakan arahan dan kerja ialah agensi agama negeri-negeri.


Oleh sebab itu, sering kali masyarakat melihat kaitan antara Jakim dengan jabatan atau Majlis Agama Negeri. Pendek kata, kejayaan agensi agama negeri adalah kejayaan Jakim dan pencapaian Jakim dianggap pencapaian agensi agama negeri. Sebab itu, jika berlaku sesuatu isu atau hal yang kurang selesa, masyarakat meletakkan bebannya ke atas Jakim.


Sebab itu, Jakim kini merancang memajukan pelbagai bidang dengan keutamaan kepada aspek akidah. Sebagai pihak berkuasa agama yang ditubuhkan oleh kerajaan di peringkat pusat, Jakim tidak bertolak ansur dengan sebarang ajaran sesat atau pemikiran yang melencong. Ketegasan Jakim dalam hal ini menyebabkan ramai berpendapat seolah-olah Jakim hanya bertindak tegas terhadap isu akidah namun apa yang dapat saya katakan disini ialah isu murtad amat berkait rapat dengan aspek akidah. Ini kerana jika seseorang umat Islam itu mempunyai pegangan akidah yang kukuh, insya-Allah masalah murtad di Malaysia dapat dikurangkan seterusnya diatasi sebaik yang mungkin.


Murtad mempunyai kaitan yang rapat dengan keyakinan. Oleh itu, Jakim telah menggunakan kaedah dakwah yang betul dalam menangani orang yang goyah akidahnya. Lain-lain pendekatan, program kebajikan atau tindakan undang-undang hanyalah pelengkap. Kita mesti menunjukkan sikap ingin membantu dan menyelamat. Ingin saya mengingatkan kepada semua orang supaya tidak menjatuhkan kesalahan dengan memurtadkan orang yang belum murtad.


Contoh yang dapat saya huraikan ialah kisah Ayah Pin. Kalau dia mengaku tidak Islam kita tidak boleh kata kalau dia ada 1,000 pengikutnya juga murtad. Yang lain itu hanya pengikut yang menjadi mangsa. Ada ketikanya mereka tidak sedar apa yang berlaku sehinggalah apabila didekati baru mereka sedar masih Islam lagi tetapi sudah terlajak. Isu murtad memang diberi perhatian yang serius oleh Jakim. Pebagai program dan aktiviti dirangka untuk menjadikan fungsi Jakim semakin relevan di dalam suasana yang penuh mencabar ini. Harus di ingat, Jakim adalah sebuah badan pelaksana dan sokongan yang padu daripada masyarakat amat perlu bagi mengatasi gejala murtad di kalangan rakyat Malaysia.