Thursday, May 22, 2008

PENJELASAN BERNAS DARIPADA MENTERI PENERANGAN

Menteri Penerangan telah menyampaikan ucapan penggulungan yang cukup bernas dan menepati segala aspek jawapan yang telah dibangkitkan oleh MP-MP di dalam Dewan.

Penjelasan pertama yang dijawab oleh Menteri Penerangan adalah mengenai blog dan beliau mengatakan bahawa blog adalah satu medium kewartawanan rakyat. Namun adalah
tidak wajar untuk kerajaan membuat satu kursus kepada penulis-penulis blog kerana sebagai kerajaan yang bebas daripada aspek media, penulis blog bebas menyampaikan apa jua maklumat selagi ia tidak menjurus kepada tujuan yang salah di mana boleh dikenakan tindakan undang-undang oleh kerajaan berdasarkan kepada peruntukan perundangan yang sedia ada.

Untuk menjadi sebuah kerajaan yang adil dan bebas terhadap media, kerajaan telah membelanjakan berbilion-bilion ringgit sebagai tujuan penyampaian maklumat kepada rakyat dengan lebih cepat dan luas. Ini dapat dilihat melalui kepesatan teknologi internet seperti penggunaan broadband atau jalur lebar yang sentiasa dipertingkatkan tahap kecekapannya. Selain itu, sebagai sebuah Kementerian yang terlibat secara langsung dalam penyampaian maklumat dan dasar-dasar kerajaan, jabatan serta agensi yang bernaung di bawah Kementerian Penerangan akan sentiasa memastikan rakyat dapat mengetahui dasar-dasar, maklumat, serta berita penting yang melibatkan kepentingan awam sepantas dan setepat yang mungkin melalui RTM.

Namun, MP Wangsa Maju masih tidak percaya kepada jawapan yang diberikan oleh Menteri Penerangan dengan menuduh kerajaan tidak berlaku adil kepada golongan media dan tiada kebebasan media di Malaysia. MP Wangsa Maju menyifatkan akibat ketidakadilan kerajaan terhadap media telah meyebabkan terhasilnya media alternatif seperti blog. Tuduhan ini disangkal oleh Menteri Penerangan dengan penuh bernas dan meyakinkan Dewan. Menteri Penerangan mengatakan bahawa Malaysia adalah di antara negara di dunia yang mempunyai kebebasan media yang tinggi berdasarkan kepada keputusan kajian yang dikeluarkan oleh salah sebuah badan bebas antarabangsa. Mengenai pertumbuhan pesat blog-blog di Malaysia, ia sudah menjadi satu 'trend' bukan sahaja di Malaysia malahan di seluruh pelusuk dunia. Jadi, tidak timbul isu kebebasan media disekat oleh kerajaan.

MP Subang cuba mencelah di dalam penggulungan perbahasan Menteri Penerangan. MP Subang masih memberikan pendapat yang menyokong MP Wangsa Maju di mana beliau mengatakan bahawa kelahiran blog-blog baru di Malaysia terlalu tinggi akibat daripada sekatan kerajaan kepada pihak media. MP Subang memberi contoh Malaysia adalah sama dengan negara Iran dan China yang mengamalkan pendekatan menyekat kebebasan media. MP Subang juga menuduh kerajaan terlewat dalam usaha menyediakan kemudahan broadband namun usaha ini amat dialu-alukan. MP Subang juga meminta kerajaan menimbangkan jika dapat mengadakan liputan sidang Parlimen melalui internet kerana kerajaan negeri Selangor sudah melaksanakan pendekatan ke arah itu.

Ternyata Menteri Penerangan tidak mudah menggelabah dan putus idea terhadap tuduhan MP Subang kerana jawapan yang diberikan oleh menteri telah dapat merungkai tuduhan tidak berasas MP Subang dan MP Wangsa Maju. Namun, menteri tetap melayan dan menjawab tuduhan tidak berfakta daripada MP Subang. Menteri telah menjawab dengan penuh fakta di mana kerajaan tidak pernah menyekat sebarang maklumat daripada internet. Ini tidak seperti China yang menyekat kebebasan internet. Jadi Malaysia tidak boleh disamakan dengan negara China. Malaysia juga tiada undang-undang ketat mengenai internet dan Malaysia amat bebas daripada segi pengawalan sebarang maklumat daripada internet. Untuk membuktikan kerajaan bebas terhadap media dan internet adalah melalui penambahbaikan teknologi broadband dan ini dapat memastikan setiap rakyat boleh mengakses kepada internet pada bila-bila masa. Mengenai liputan sidang Parlimen di internet, beliau memaklumkan bahawa kerajaan negeri Terengganu sudah lama mengadakan sidang Dun melalui internet dan perkara ini telah lama dilaksanakan. Namun, beliau menjelaskan jika ingin mengadakan sidang Parlimen melalui internet perlu mendapat persetujuan Parlimen.

MP Wangsa Maju masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Menteri Penerangan dan bangun lalu menuduh media cetak terutamanya akhbar nasional dimiliki dan dikawal sepenuhnya oleh kerajaan Barisan Nasional. Beliau mempersoalkan bagaimana kebebasan media yang dimaksudkan oleh Menteri Penerangan. MP Batu Kawan turut mencelah dengan mengatakan undang-undang mengenai media yang telah digubal menyebabkan pertumbuhan banyak blog-blog baru di Malaysia dan ini akan menjadikan cabaran baru kepada undang-undang apabila banyak blog baru muncul akhir-akhir ini.

Menteri Penerangan menjawab dua persoalan yang dibangkitkan oleh MP Wangsa Maju dan MP Batu Kawan. Beliau memberi penjelasan mengenai 'maklumat' yang boleh diberi persamaan seperti 'makanan'. Makanan diberi kepada pertumbuhan fizikal manakala maklumat pula diberi sebagai pertumbuhan kepada minda. Jika makanan yang dimakan mengandungi racun, bagaimana dengan pertumbuhan fizikal seseorang? Tidakkah ini akan menyebabkan badan atau fizikal seseorang yang memakan makanan beracun menjadi lemah, sakit dan akhirnya akan menemui ajal. Begitu juga yang dimaksudkan dengan maklumat. Jika maklumat tidak ditapis dengan baik dan teliti, beliau khuatir rakyat akan mengalami pertumbuhan minda yang lemah kerana penyaluran maklumat yang tidak tepat dan terpesong. Jadi, kerajaan beranggapan bahawa maklumat perlu juga diuruskan dengan sempurna untuk memastikan hanya maklumat yang berkualiti dan tepat disampaikan kepada rakyat untuk pertumbuhan minda yang cemerlang. Menteri Penerangan juga memberitahu kepada Dewan, MP Rembau telah membangkitkan cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Media dan cadangan ini akan dibincangkan serta diperhalusi di dalam mesyuarat kabinet.

Menteri Penerangan turut disoal oleh MP Kubang Kerian mengenai paparan berita untuk pembangkang amat sedikit peratusan yang disiarkan. Selain itu, MP Kubang Kerian turut meminta penjelasan kepada menteri kenapa tidak diambil contoh kebebasan media daripada Barat yang diakui amat bebas seperti Findland, Sweeden dan Amerika Syarikat. MP Kubang Kerian berpendapat untuk membangunkan modal insan melalui media yang bebas, Malaysia perlu mencontohi negara-negara yang disebutkan oleh MP Kubang Kerian.

Menteri menyelar pendapat yang diberikan oleh MP Kubang Kerian dengan mengucapkan syabas kepada MP Kubang Kerian kerana sanggup menjadikan negara Barat seperti Findland dan Sweeden sebagai 'role model' untuk kebebasan media. Tidakkah MP Kubang Kerian lupa mengenai kontroversi filem 'Fitna' yang menghina agama Islam datangnya daripada negara Barat? Hari ini pula MP Kubang Kerian telah meminta Malaysia mencontohi negara Barat dalam melahirkan modal insan melaui kebebasan media.

MP Batu Pahat menyokong hujah dan pendapat yang diberikan oleh Menteri Penerangan. Beliau berpendapat jika media itu sendiri tidak jujur dan 'transparent' dalam penyampaian maklumat atau sesuatu berita ia tidak akan jadi bermakna juga. Banyak berlaku kes saman malu disebabkan media menyalahgunakan kebebasan yang diberikan oleh kerajaan. MP Batu Pahat turut memberikan contoh kepada Dewan mengenai sikap akhbar Harakah yang langsung tidak mengkritik kerajaan negeri Kelantan walhal kerajaan negeri Kelantan dilihat gagal dalam membela nasib rakyat dan membina infrastruktur serta prasarana untuk rakyat Kelantan. Sebaliknya, akhbar Harakah hanya tahu mencari kesalahan kerajaan pusat dan menimbulkan cerita serta berita yang kurang bertanggungjawab dan langsung tidak bermutu.

Menteri Penerangan menyentuh pula mengenai rancangan siaran langsung selama setengah jam sidang Dewan Rakyat. Beliau berpuas hati dengan sambutan yang diterima oleh seluruh rakyat di mana rating penonton menunjukkan satu pencapaian yang baik. Boleh dikatakan semenjak hari pertama sidang Dewan Rakyat disiarkan secara langsung, rating yang diperolehi adalah di antara 240 ribu sehingga 300 ribu penonton setiap hari. Ini adalah satu pencapaian yang boleh dibanggakan oleh RTM kerana program tersebut telah disiarkan pada waktu pagi. Menteri juga ingin mengucapkan tahniah serta penghargaan kepada Tuan Yang Di Pertua kerana bijaksana dan berlaku adil serta telah berjaya melaksanakan tanggungjawab dalam mengawal dan memastikan sidang Dewan berjalan dengan lancar.

MP Bukit Bendera mengusulkan kepada Dewan mengenai jangka masa siaran langsung sidang Dewan selama setengah jam dilanjutkan kepada satu jam setengah. MP Bukit Bendera juga menyokong penubuhan satu jawatankuasa mengkaji keberkesanan siaran langsung sidang Parlimen.

Menteri menjawab usul yang dikemukakan oleh MP Bukit Bendera di mana jangka masa siaran langsung sidang Dewan akan dikaji secara mendalam untuk memastikan rakyat benar-benar suka atau tidak kepada tempoh masa siaran langsung sidang Dewan. Untuk makluman Dewan, Menteri Penerangan menjelaskan bahawa tempoh masa setengah jam adalah tempoh percubaan dan jika ia mendapat sambutan yang baik daripada lapisan masyarakat, kemungkinan tempoh masa rancangan ini akan dipanjangkan. Menteri tidak mahu mengambil
keputusan drastik dalam melaksanakan pemanjangan tempoh masa sidang Parlimen kerana ada negara-negara lain yang meyesal apabila menyiarkan siaran langsung Sidang Dewan. Ini kerana, dikhuatiri akan ada MP-MP yang sengaja ingin bercakap dan menunjukkan diri kepada orang kampung walhal isu yang diutarakan remeh-temeh dan tidak membantu kepada pembelaan masalah rakyat dan negara. Menteri menjadikan hari pertama sebagai contoh dan tauladan di mana pandangan rakyat terhadap siaran langsung sidang Dewan adalah negatif kerana sikap atau gelagat segelintir MP terutama pembangkang yang membangkitkan perkara remeh-temeh dan tidak berkaitan.

MP Batu Gajah memberikan pendapat dengan mengatakan biarlah rakyat atau pengundi sendiri menilai setiap gelagat yang ditunjukkan oleh MP-MP di Dewan Rakyat. Pendapat MP Batu Gajah disokong oleh MP Shah Alam dengan mengatakan biarlah rakyat sendiri menilai dan mengkritik kepimpinan negara melalui siaran langsung sidang Dewan.

Namun pendapat ini dibidas oleh Menteri Penerangan dengan menjelaskan bahawa sebagai rangkaian televisyen nasional, RTM mempunyai jumlah penonton yang ramai dan daripada pelbagai peringkat umur. Beliau berpendapat adalah menjadi tanggungjawab RTM untuk melindungi kedaulatan dan maruah Parlimen. Beliau amat berharap supaya insiden hari pertama sidang Dewan tidak akan berlaku lagi di hari-hari yang lain kerana ia akan merendahkan martabat Parlimen dan melalui pemerhatian peribadi, beliau melahirkan rasa puas hati dengan perjalanan mesyuarat Parlimen yang dilihat lebih sopan berbanding hari pertama.

Mengenai rancangan Bicara Mufti dan Khutbah Jumaat yang dibangkitkan oleh MP Baling kerana disiarkan RTM pada lewat malam, beliau menjelaskan bahawa ia adalah siaran ulangan. Program Bicara Mufti telah bersiaran seawal 6.30 pagi dan siaran ulangan pada pukul 1.45 pagi. Walaupun disiarkan pada awal pagi, rating penonton menunjukkan hasil yang membanggakan di mana sebanyak 109 ribu penonton dan angka ini tidak dapat dicapai dalam mana-mana ceramah yang dianjurkan oleh parti Pas. Siaran ulangan tengah malam ditujukan kepada golongan yang tidur lewat dan rating penonton siaran ulangan Bicara Mufti juga menunjukkan jumlah yang membanggakan. Di samping itu beliau turut memastikan agar RTM menyiarkan rancangan yang berkualiti serta memberi jaminan lebih 70% program yang disiarkan adalah siaran tempatan.

Berkenaan saranan MP Kota Belud yang meminta slot berita dari Sabah dan Sarawak dipertingkatkan tempoh siarannya, beliau telah menjelaskan kepada Dewan bahawa bermula 18 April 2008 tempoh masa berita dari Sabah dan Sarawak adalah selama 15 minit. Untuk makluman MP-MP dan Dewan, rating penonton yang menonton slot berita dari Sabah dan Sarawak adalah di antara 244 ribu hingga 250 ribu penonton dan jumlah ini hanya daripada Semenanjung sahaja. Menteri menjangkakan jumlah sebenar adalah lebih banyak lagi. Ini menunjukkan masa untuk slot berita dari Sabah dan Sarawak adalah sesuai dan bertepatan jika dinilai melalui rating yang diberikan. Menteri Penerangan juga menjelaskan bahawa slot berita Warta Perdana juga ada memaparkan berita daripada Sabah dan Sarawak. Nilai sesebuah berita bukan lagi diambil untuk kepentingan individu tertentu tetapi melalui kualiti dan nilai berita tersebut.

MP Kota Belud turut meminta Menteri Penerangan mempertimbangkan cadangan membina sebuah stesen tv di Sabah kerana beliau berpendapat kerajaan di Sabah yang mempunyai 11 kabinet dan banyak dasar-dasar kerajaan negeri Sabah ingin disampaikan kepada rakyat. Apa yang menjadi masalah ialah masih ada rakyat Sabah yang tidak begitu fasih berbahasa Melayu dan untuk itu MP Kota Belud mencadangkan supaya program berita disampaikan dalam bahasa ibunda.

Cadangan membina sebuah stesen tv di Sabah sedia dibincangkan oleh Menteri Penerangan. Namun, corak berita dan kualiti berita perlu ditingkatkan. Menteri turut menjelaskan bahawa tempoh masa selama 15 minit untuk berita di Sabah dan Sarawak adalah tempoh masa yang berpatutan kerana setiap berita mungkin mengambil masa dalam seminit. Jadi, sebanyak 15 berita dapat disampaikan selama 15 minit. Cadangan pembinaan stesen tv di Sabah juga akan melibatkan pertambahan kakitangan yang ramai demi memastikan peningkatan mutu sesuatu kerja dapat dihasilkan untuk kepuasan hati para penonton.

Di akhir ucapan penggulungan, Menteri Penerangan turut mengingatkan sidang Dewan supaya menonton siaran langsung keputusan perbicaraan kes Pulau Batu Puteh di antara Malaysia dan Singapura pada 23 Mei 2008. Beliau berharap Malaysia akan memenangi perbicaraan tersebut dan mengajak semua rakyat Malaysia berdoa kepada Tuhan agar keputusan kes Pulau Batu Puteh menyebelahi negara Malaysia.

No comments: