Friday, May 30, 2008

PENGAKUAN BEKAS SETIAUSAHA SULIT ANWAR IBRAHIM

KUALA LUMPUR 29 Mei - Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari menegaskan tindakannya menyertai UMNO bukan kerana hanya setakat hilang kepercayaan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi juga terhadap penasihat parti itu sendiri.

Beliau yang berkhidmat dengan Anwar ketika Penasihat PKR itu menjadi Menteri Kewangan, berkata, sebab itu apabila bekas Timbalan Perdana Menteri tersebut kembali aktif dalam politik, beliau bertindak keluar daripada parti yang telah disertainya sejak dari awal penubuhannya lagi.

Bagaimanapun Anuar enggan mendedahkan sebab beliau hilang kepercayaan terhadap Anwar.

"Saya akan cuba mencari kepercayaan tersebut di dalam UMNO. Saya yakin dengan kepimpinan sekarang sebab itu saya masuk UMNO.

"Saya hanya mohon sebagai ahli biasa untuk berkhidmat kepada parti dan negara,'' katanya pada sidang akhbar selepas menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabat Timbalan Perdana Menteri di sini hari ini.

Anuar juga pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua PKR Bahagian Permatang Pauh sebelum mengisytiharkan keluar PKR lebih setahun lalu.

Turut menyerahkan borang keahlian kepada Timbalan Presiden UMNO ialah bekas Ketua Angkatan Muda PKR Kedah, Khairul Anuar Ramli.

Ketika ditanya mengenai persepsi bahawa pola kemasukan bekas pemimpin PKR ke dalam UMNO adalah kerana adanya ganjaran tertentu, Anuar berkata: ''Itu hanya persepsi. Sama sekali tidak ada (ganjaran). Kita masuk atas dasar kesedaran dan keinsafan.''

Sementara itu, Khairul Anuar berkata, keyakinannya terhadap Anwar hilang selepas berpeluang melihat sendiri tindak-tanduk Penasihat PKR itu.

"Sikap Anwar bercakap dengan DAP lain, dengan Pas lain, itu yang membuatkan saya hilang kepercayaan pada parti ini.

"Saya ingat PKR ini satu wadah bagi rakyat tetapi apabila saya mengalami sendiri dalam situasi tersebut, itu membuatkan saya hilang keyakinan ke atas pemimpin yang sebegitu rupa,'' jelasnya.

Sementara itu, kedua-dua bekas pemimpin PKR tersebut melahirkan keyakinan lebih ramai lagi ahli dan bekas ahli parti berkenaan akan menyertai UMNO.

Menurut Anuar, kemasukan itu akan berlaku sedikit demi sedikit sebelum ia bertukar sebagai gelombang tidak lama lagi.

''Saya lebih suka mereka masuk kerana kesedaran dan insaf, bukan kerana mengikut saya,'' ujarnya.

-Utusan Malaysia Online, 30 Mei 2008

6 comments:

mohad said...

mereka berpaling tadah ke..

Pemuda Malaysia said...

saudara ijad,ini bukan soal berpaling tadah. tetapi lebih kepada soal memartabatkan perjuangan UMNO untuk membela org melayu berbanding dengan perjuang PKR yang nampak semakin sia-sia dan tiada arah tujuan.

ramai ahli PKR sudah sedar tentang betapa ruginya mengundi PKR kerana PKR hanya parti berlandaskan agenda pemimpin tertentu untuk mencapai objektif peribadi..

fikir-fikirkanlah...

Mohd. Alias bin Demyati said...

Eloklah kalau macam tu..bukannya perjuangan kearah kekayaan serta untuk kepentingan diri sendiri...pemerintah yang elok memerlukan pembangkang yang elok juga...

Pemuda Malaysia said...

saudara cintalaila..masalah di sini ialah pembangkang langsung tidak elok dan tiada kredibiliti..
cintalaila boleh buat rombongan murid sekolah ke parlimen dan lihat sendiri gelagat pembangkang yang memualkan...

Anonymous said...

Di peringkat pusat, BN jadi kerajaan manakala Pakatan Rakyat jadi pembangkang. Di peringkat negeri, BN jadi pembangkang, Pakatan Rakyat jadi kerajaan, kira okey la tu.Ada check and balance. Tahniah kepada pengundi di Negeri Selangor kerana bertindak bijak. Walaupun harga minyak naik sbb dinaikkan oleh BN tapi penduduk di Selangor merasa juga air percuma. Terima kasih Kerajaan Pakatan Rakyat. Terima kasih juga kepada Kerajaan BN sebab beri rebat kenderaan.Negeri2 lain bila plak nak dapat air free?

Pemuda Malaysia said...

terima kasih kepada saudara anak tanjung di atas komen saudara.

saya bersetuju dengan pendapat saudara. namun saya berpendapat adalah lebih baik pemerintahan kerajaan negeri harus selari dengan hasrat dan visi kerajaan pusat. ini membolehkan segala apa yang dirancangkan oleh kerajaan pusat untuk kebaikan rakyat akan dapat dijalankan secara kerjasama dengan kerajaan negeri.

jadi, untuk memastikan kerajaan pusat dan kerajaan negeri sealiran, saya rasa adalah lebih baik kerajaan negeri ditadbir oleh Barisan Nasional.

saya ambil contoh, negeri terengganu, melaka, dan johor serta perlis. ketiga-tiga negeri ini diperintah oleh kerajaan BN. Segala visi dan misi yang dijalankan oleh kerajaan negeri menepati segala aspek yang dikehendaki oleh kerajaan pusat. tidak akan timbul masalah yang menjejaskan hubungan antara negeri BN dan kerajaan pusat.

ini berbeza dengan kerajaan Pakatan Rakyat yang sentiasa mencari masalah dengan kerajaan pusat. seperti negeri selangor dan pulau pinang yang mengharamkan segala aktiviti yang berlandaskan kepada Islam Hadhari. seolah-olah kerajaan pakatan rakyat ini hanya ingin membalas dendam kepada kerajaan pusat. sedangkan semua rakyat Malaysia tahu bahawa Islam Hadhari bukanlah agama baru tetapi adalah satu pendekatan untuk memajukan umat Islam di seluruh Malaysia.

Apapun, terima kasih sekali lagi atas komen saudara anak tanjung.