Friday, May 2, 2008

PADAN MUKA PEMBANGKANG

Saya diminta terus terajui MAIPP – Shabudin
Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN


TASEK GELUGOR 1 Mei - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menolak peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan, Shabudin Yahaya sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).

Sehubungan itu, Shabudin yang telah mengumumkan peletakan jawatannya pada 8 April lalu selaras dengan kehendak kerajaan negeri yang baru telah diminta meneruskan tugasnya sehingga tempoh watikah pelantikan berakhir pada 31 Disember tahun depan. Menurut Shabudin, beliau bersama ahli majlis MAIPP telah diminta menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Terengganu, Kuala Lumpur pada 28 April lalu untuk memberi penjelasan berhubung peletakan jawatan tersebut.

‘‘Tuanku Mizan berpendapat semua ahli majlis (MAIPP) yang lain perlu meneruskan tugas dan tanggungjawab sehingga berakhir tempoh watikah pelantikan. ‘‘Baginda juga meminta segala perancangan dan usaha yang dirancang untuk kepentingan umat Islam sebelum ini diteruskan bagi mencapai kejayaan yang diharapkan,” katanya. Shabudin ditemui pada majlis lawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Ara Kuda di sini hari ini.

Pada 8 April lalu, Shabudin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Yang Dipertua MAIPP selepas menerima desakan daripada kerajaan negeri pimpinan DAP-Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mahu jawatan itu diberi kepada calon baru. Perkembangan itu sekali gus memberi tamparan hebat kepada kerajaan negeri pimpinan DAP dan PKR yang sebelum ini mendesak Shabudin meletakkan jawatan selepas pakatan pembangkang menguasai Pulau Pinang pada pilihan raya umum lalu.

Shabudin dilantik sebagai Yang Dipertua MAIPP berkuat kuasa 1 Januari 2008 hingga Disember 2009. Menurut Shabudin, pihaknya yakin perkara tersebut sudah sampai kepada pengetahuan pimpinan kerajaan negeri.
-Utusan Malaysia-
Nampaknya kerajaan negeri Pulau Pinang yang dikuasai DAP terpaksa menutup muka kerana malu apabila Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menolak peletakan jawatan ADUN Permatang Berangan, Shabudin Yahaya sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang. Ini kerana, apabila kerajaan pimpinan DAP berjaya memenangi PRU 12, mereka telah mendesak beberapa individu yang memegang jawatan di dalam pentadbiran negeri supaya melepaskan jawatan masing-masing dan memberi laluan kepada muka baru yang lebih berpihak kepada DAP dan PKR.
Tindakan ini dilakukan atas faktor politik, namun atas kebijaksanaan Tuanku Mizan, baginda telah menolak peletakan jawatan Shabudin kerana merasakan tiada keperluan untuk Shabudin melepaskan jawatan tersebut. Agenda DAP dan PKR untuk melakukan segala perubahan atas dasar politik tidak berjaya sekaligus memberi tamparan hebat kepada kerajaan pimpinan DAP dan PKR.
Pada pendapat saya, tidak perlu kita menamatkan perkhidmatan seseorang jika orang itu berkhidmat dengan cemerlang dan telus semata-mata ingin mencapai agenda politik kerana tiada kesudahan akibat tindakan tersebut malahan akan menjerumuskan pentadbiran sesebuah negeri ke arah kelemahan dan kehancuran akibat jawatan tersebut diberi kepada individu yang kurang berkelayakan dan dilantik atas agenda politik.

No comments: