Tuesday, April 22, 2008

Najib Di Landasan Yang Betul


'Saya bukan penakut, tidak mahu pecah belahkan parti'
Oleh HATA WAHARI



KUALA LUMPUR 21 April - Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar) menegaskan, beliau bukan takut untuk bersuara dalam isu-isu politik, sebaliknya berpegang kepada prinsip penyerahan kuasa secara tersusun serta terhormat demi kepentingan UMNO dan Barisan Nasional (BN). Timbalan Perdana Menteri berkata, kepentingan UMNO tidak boleh terjejas dan sejarah membuktikan bahawa peralihan kuasa dalam parti itu berlaku dengan tersusun dan baik. "Ia bukan masalah Mr. Yes Man, tak berani atau takut sebab saya berpegang kepada prinsip bahawa cara yang terbaik ialah penyerahan kuasa secara tersusun dan terhormat. "Itulah yang akan memberi makna dan menentukan kepentingan parti tidak terjejas dan tidak berpecah-belah," kata Timbalan Presiden UMNO itu.



Najib berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa beliau tidak seharusnya dilantik sebagai Perdana Menteri kerana 'tidak berani' mendedahkan sebab sebenar kekalahan BN di beberapa negeri dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.



Bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Kontrak dan Surat Hasrat sempena Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA 2008) di sini hari ini, Najib berkata, UMNO mempunyai tradisi peralihan kuasa yang lancar. Menurut beliau, sejarah UMNO memperlihatkan penyerahan kuasa dilakukan dengan tersusun. "Sudah ada tradisi dan cara baik yang diamalkan dalam parti.



"Pada hemat saya itulah cara terbaik dan kaedah untuk kita melakukan perubahan kepada kepimpinan negara seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri dan Presiden parti," katanya.
Najib percaya peluang perlu diberikan agar peralihan kuasa tersebut berjalan dengan cara yang terhormat memandangkan segala keputusan politik dalam jangka masa terdekat akan memberikan kesan kepada UMNO.



"UMNO dan BN berada dalam keadaan yang lemah selepas pilihan raya umum, ia tidak sekuat dulu dan kita memerlukan masa untuk memulihkan kekuatan UMNO,'' katanya. Perbalahan dan pergeseran dalaman, ujar Najib, jika berlaku pasti akan membentuk dua atau tiga puak dalam parti yang akan melemahkan UMNO dan BN secara langsung.



Ketika ditanya sama ada UMNO kini dilanda keretakan, beliau menyangkal dakwaan tersebut tetapi tidak menolak kemungkinan ia akan terjadi jika wujud pergeseran kuasa dan kepimpinan.
"Saya tidak kata wujud perpecahan tapi jika ada krisis kepimpinan, ia akan mengulangi (krisis) tahun 1987 dan krisis (Datuk Seri) Anwar Ibrahim. Persoalannya, apakah BN dan UMNO mampu melalui senario seumpama itu lagi?" kata Najib.


(Utusan Malaysia, 22 April 2008)


Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak diharap dapat menjawab segala tohmahan dan sindiran yang dikeluarkan oleh Tun Dr. Mahathir. Datuk Seri Najib adalah seorang pemimpin yang patuh kepada ketuanya. Prinsip yang dipegang oleh Datuk Seri Najib adalah untuk memastikan keamanan dan perpaduan di dalam UMNO tidak terjejas. Ini menunjukkan proses peralihan kuasa dapat dilakukan secara tersusun dan teratur. UMNO adalah sebuah parti yang relevan dan diterima oleh rakyat Malaysia khususnya kaum Melayu. Sistem demokrasi dan konsep peralihan kuasa di dalam UMNO berjalan lancar. Jadi, memang tidak timbul langsung isu Datuk Seri Najib penakut atau tidak berani menyuarakan pendapat peribadi terutama isu politik. Rakyat seharusnya menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Abdullah bin Hj. Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak. Memang akan berlaku proses peralihan kuasa tetapi perkara ini harus dilaksanakan dengan teliti dan tidak terburu-buru. Saya juga bukan ingin menafikan hak Tun Dr. Mahathir untuk bersuara tetapi sebagai seorang negarawan yang ulung dan ternama, beliau seharusnya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menyebabkan kerajaan Malaysia berada dalam kerugian dan ketidakpercayaan negara luar terhadap barisan kabinet yang diterajui oleh Pak Lah. Secara tidak langsung Malaysia akan mengalami masalah hubungan diplomatik dengan negara luar dari segi ekonomi kerana pelabur dari negara luar akan berasa kurang yakin dengan Malaysia disebabkan perbalahan di antara pemimpin dan pergolakan politik Malaysia.



No comments: