Wednesday, April 23, 2008

Al-Fatihah..

Rustam Sani meninggal dunia
23/04/2008 11:54am


KUALA LUMPUR 23 April — Penulis politik terkenal Rustam A.Sani meninggal dunia pada pukul 2.30 pagi ini dipercayai akibat sakit jantung.
Rustam, 63, anak kelahiran Ipoh, merupakan seorang ahli akademik, pengendali blog Suara Rakyat, penulis kolum dan penyair.
Seorang anggota keluarganya, Aliya Anuar, 19, ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu.
Jenazah Allahyarham kini berada di kediamannya di Jalan Bukit Lela, Gombak, dan dijadual dikebumikan selepas solat Zohor hari ini.
Rustam meninggalkan seorang isteri Rohani Zainal Abidin, seorang anak lelaki, Azrani, dan seorang anak perempuan, Ariani, serta seorang cucu, Arissa Azrani.
Beliau dianggap antara “cendekiawan awam” yang penting di Malaysia dan pernah bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya serta Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia.
Allahyarham merupakan seorang penulis yang prolifik, baik dalam Bahasa Malaysia mahupun Inggeris dan tulisannya meliputi pelbagai bidang seperti politik, isu-isu sosial, sejarah, budaya, statistik serta sastera.
Selain itu, beliau juga telah menghasilkan terjemahan karya-karya sastera dan bukan sastera.
Antologi puisinya, Riak-Riak Kecil (1977) diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, dan beliau pernah dianugerahkan “Hadiah Sastera Negara” dalam kategori esei dan kritik sastera bagi tahun 1988/89.
Antara buku-buku karya beliau termasuk Melayu Baru:Beberapa Persoalan Sosio-Budaya (1992), Politik dan Polemik Bahasa Melayu (1993), Melayu Baru dan Bangsa Malaysia:Tradisi Cendekia dan Krisis Budaya (1993), Menjelang Reformasi (2004), Ke Mana Nasionalisme Melayu? (2004) dan Bercanda dengan Mahathir (2006).

- BERNAMA -

Al-Fatihah untuk Allahyarham Rustam A. Sani...

No comments: