Thursday, March 27, 2008

JANGAN TANGGUHKAN PEMILIHAN UMNO

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Taib berkata bahawa para pemimpin badan perhubungan UMNO negeri yang bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini mencadangkan supaya pemilihan parti itu ditunda ke Jun tahun depan bagi mengelakkan berlaku 'malapetaka' politik negara.

Pada pendapat saya, perhimpunan Majlis Tertinggi (MT) UMNO tidak perlu ditangguhkan kerana jika ditangguhkan lagi, saya bimbang masalah dalaman parti akan menjadi lebih serius kerana dibiarkan tanpa apa-apa rawatan. Ahli-ahli UMNO peringkat akar umbi akan memberontak secara halus. Kita akui kekalahan kita dalam PRU-12 dan berharap sangat agar tidak membiarkan masalah yang melanda UMNO menjadi lebih serius. Saya menyokong pentadbiran Pak Lah tetapi dalam masa yang sama saya meminta Pak Lah meneruskan pemilihan MT UMNO kerana melalui pemilihan sahaja kita dapat memulihkan kekuatan parti agar sentiasa relevan dan dapat diterima oleh semua kaum Melayu di Malaysia.

Melalui cakap-cakap yang saya dengar di sekitar Ampang, saya dapati golongan belia dan kaum muda melayu semakin menjauhi parti UMNO dan mula mendekati parti PAS, DAP dan PKR. Perlu kita ingat, antara punca kekalahan BN dalam PRU-12 adalah disebabkan pengabaian terhadap suara orang muda yang inginkan perubahan dalam negara Malaysia. Sebanyak 1.2 juta pengundi baru telah menunaikan kewajipan untuk turun mengundi dan mereka ini adalah pelapis muda yang sedang meningkat naik dan berani melakukan perubahan terhadap kerajaan BN. Saya sendiri pernah berbual dengan seorang peniaga muda di tepi jalan dan beliau berkata, tidak salah kalau kaum muda mencuba untuk sepenggal memangkah barisan pembangkang kerana kerajaan BN tidak mengendahkan suara muda dan mengabaikan masalah yang dibangkitkan oleh mereka.

Pak Lah mesti bersikap 'gentleman' dengan meneruskan pemilihan UMNO pada tahun ini kerana dengan cara itu sahaja parti UMNO akan dapat dirawat seterusnya kekuatan UMNO akan dapat dipulihkan semula. Untuk memastikan UMNO adalah sebuah parti yang demokrasi, pemilihan tertinggi UMNO untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden harus dibuka dan dipertandingkan. Ini bukan untuk menjatuhkan Pak Lah atau Najib tetapi lebih kepada usaha meguatkan lagi kepimpinan parti UMNO kerana hanya melalui sokongan daripada akar umbi sahaja akan dapat melahirkan kepimpinan yang kukuh dan lebih bermaruah.

Kita tidak boleh lari daripada masalah yang timbul kerana semakin kita lari, masalah itu akan menjadi lebih besar dan amat sukar untuk diatasi jika tidak diselesaikan dari awal. Masalah akan sentiasa ada, jadi langkah terbaik adalah hadapi setiap masalah yang timbul dan jangan biarkan setiap masalah itu menjadi kudis yang semakin hari semakin membesar dan akan mengakibatkan penyakit seluruh badan.

Kesan lain yang akan timbul jika Pak Lah menangguhkan pemilihan UMNO ialah pihak pembangkang akan menuduh Pak Lah mempunyai agenda peribadi yang mengatasi agenda nasional. Bagaimana dengan umur ahli Pemuda UMNO yang semakin hari semakin bertambah? Tidakkah parti UMNO akan kehilangan barisan Pemuda UMNO yang boleh menjadi pelapis kepimpinan masa akan datang? Adalah amat penting tumpuan memperkasakan UMNO diberi penekanan jitu kepada golongan muda terutamanya pelajar-pelajar IPTA yang telah menamatkan pengajian mereka kerana golongan ini selain terpelajar, mereka juga adalah harapan untuk memimpin negara Malaysia pada masa akan datang.

Justeru itu, Pak Lah mesti bersikap yakin untuk terus mengadakan pemilihan UMNO pada tahun ini juga berdasarkan suara akar umbi yang meminta ia diteruskan juga. Letakkan agenda nasional melebihi agenda peribadi, dengarlah suara majoriti bukan minoriti, nescaya UMNO akan perkasa kembali..


No comments: