Wednesday, March 26, 2008

CAKAP-CAKAP PRU 12

Pilihanraya ke 12 (PRU 12) sudah berlalu. Keputusan yang diperolehi amat tidak disangka-sangka. Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak berjaya memperolehi kejayaan majoriti 2/3 dan hanya mendapat 'simple majority' untuk membentuk kerajaan pusat. Bukan hanya Kelantan gagal ditawan tetapi BN telah kehilangan empat negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Parti pembangkang telah berjaya membentuk kerajaan di empat buah negeri tersebut dan termasuk Kelantan yang terus ditadbir oleh PAS. Banyak kubu kuat BN telah roboh dan gagal dipertahankan. Parti-parti komponen di dalam BN seperti MCA, MIC dan GERAKAN telah tewas banyak kerusi kepada parti pembangkang. Mesej rakyat amat jelas dalam PRU 12 kali ini yang mahukan pembaharuan dalam pentadbiran Pak Lah.

Parti pembangkang telah berjaya memainkan beberapa isu yang dianggap dapat mempengaruhi para pengundi. Isu kenaikan harga minyak, harga barang, rasuah, dan berbagai-bagai isu nasional kerap kali didendangkan oleh parti pembangkang apabila mereka turun berkempen. Di Pulau Pinang, parti DAP telah memainkan isu pelantikan Ketua Menteri di kalangan orang Melayu serta sentimen perkauman telah berjaya membuatkan para pengundi menukar angin kepimpinan negeri. Boleh dikatakan pengaruh bekas TPM, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih kuat dan hasil kerja keras si Anwar berkempen di sana sini telah membuahkan hasil.

Antara negeri yang dianggap kebal untuk ditembusi oleh parti pembangkang ialah Perak dan Selangor. Namun akhirnya kedua-dua negeri ini berjaya dirampas oleh parti pembangkang dan sebuah kerajaan campuran telah dibentuk. Menteri Besar Selangor yang baru, Tan Sri Khalid Ibrahim hanya tersenyum lebar kerana dapat menjadi MB di negeri yang terkaya dan termaju di Malaysia. Di Perak pula, walaupun BN berjaya memperolehi 28 kerusi DUN, itu tidak cukup kuat untuk BN membentuk kerajaan negeri di Perak kerana majoriti mudah yang diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri di Perak ialah 31 kerusi DUN. Barisan Alternatif yang diwakili oleh DAP, PAS dan PKR masing-masing memperolehi 18+6+7=31 yang akhirnya berjaya membentuk sebuah kerajaan campuran di Perak. walaupun DAP memenangi sejumlah kerusi DUN yang agak banyak, perlembagaan yang termaktub di mana menyatakan hanya orang melayu sahaja boleh menjadi MB telah menyelamatkan negeri Perak daripada menerima MB dari kalangan orang cina. ADUN dari PAS, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin akhirnya dilantik sebagai MB Perak yang baru. barulah rakyat Perak dapat menarik nafas lega.

Kedah pula mendapat MB yang baru dari parti PAS. Pesuruhjaya PAS Kedah, Azizan Abdul Razak telah dilantik menjadi MB Kedah selepas parti itu berjaya memenangi banyak kerusi DUN di Kedah. Dalam PRU 12 dapat kita saksikan banyak nama-nama besar dalam politik tanahair yang tumbang dan ada di kalangan mereka adalah menteri kabinet. Samy Vellu, Dr. Awang Adek, Zainuddin Maidin serta Shahrizat Abdul Jalil. Antara faktor-faktor kekalahan BN boleh dikaitkan dengan trend pengundi baru yang ingin mencuba. Sebanyak 1.2 juta pengundi baru yang telah berdaftar dan mereka ini lebih terdedah dengan berbagai-bagai maklumat terkini mengenai politik negara. Internet adalah satu medium yang memainkan peranan amat besar dalam penyebaran apa jua maklumat dan propaganda dengan lebih cepat dan mudah diakses di mana-mana. Pak Lah sendiri mengakui bahawa kerajaan BN telah kalah kepada kempen siber yang digunakan sepenuhnya oleh parti pembangkang untuk merayu pengundi di seluruh negara. Kempen siber seperti penggunaan blog, web baru dan sms telah menyebabkan kekalahan BN di tangan Barisan Alternatif.

BN harus bermuhasabah diri dengan mencari kelemahan dan memperbaiki segala kelemahan yang ada. Suara akar umbi tidak harus diperlekehkan kerana faktor inilah yang menyumbang kepada kekuatan atau kelemahan sesebuah parti politik itu. Hanya sekadar pandangan, pemilihan parti UMNO yang dijadualkan pada tahun ini harus dilaksanakan seperti biasa dan jangan ditangguhkan kerana pendapat akar umbi patut didengar dan diambil tindakan segera. Pak Lah harus berfikir dan berbuat sesuatu demi kepentingan UMNO dan bukan atas kepentingan peribadi kerana UMNO semakin layu dan djauhi oleh kaum Melayu. Pastikan pemilihan UMNO diadakan dengan konsep terbuka dan bersih. Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden hanya akan kuat dan kukuh jika mendapat suara majoriti. Fikirkanlah...

No comments: