Thursday, March 27, 2008

Berita Baik..

Jawatan Presiden, Timbalan Presiden UMNO boleh dicabar.

27/03/2008 7:50pm

KUALA LUMPUR 27 Mac - Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini memutuskan semua jawatan termasuk Presiden dan Timbalan Presiden boleh dicabar dalam pemilihan parti yang akan datang jika ada pencalonan. Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi malah berkata, beliau sendiri sedia untuk dicabar. - Utusan.

Berdasarkan berita terkini yang baru diterima di atas, dijangka akan berlaku perebutan kerusi Presiden UMNO yang kini disandang oleh Pak Lah. Semoga calon-calon yang ingin mencabar Pak Lah dapat bersaing secara sihat dan berintegriti. Dengan pengumuman yang dibuat oleh Pak Lah ini diharap dapat memberi jawapan kepada semua ahli UMNO di seluruh Malaysia.

MT UMNO terima Ahmad Said.

27/03/2008 7:36pm

KUALA LUMPUR 27 Mac – Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini memutuskan menerima pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal, Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru. - Utusan.

Sebagai umat Islam, kita kena percaya kepada qada dan qadar kerana segala yang terjadi ada hikmahnya. Buat Datuk Seri Idris Jusoh, sabar serta redha adalah perkara terbaik dan buat Datuk Ahmad Said terimalah jawatan MB dengan penuh rasa syukur dan tanggungjawab untuk menyambung kesinambungan kemakmuran serta kemajuan yang dibawa oleh Datuk Seri Idris. Saya juga ingin berpesan kepada Hadi Awang, jangan cuba menangguk ikan di air yang keruh dan cuba bermuka-muka dengan rakyat Terengganu. Saya pasti disebalik keputusan pucuk pimpinan UMNO terhadap isu MB, Hadi Awang akan meradang kerana melihat UMNO Pusat dan UMNO Terengganu kembali bersatu.

JANGAN TANGGUHKAN PEMILIHAN UMNO

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Taib berkata bahawa para pemimpin badan perhubungan UMNO negeri yang bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini mencadangkan supaya pemilihan parti itu ditunda ke Jun tahun depan bagi mengelakkan berlaku 'malapetaka' politik negara.

Pada pendapat saya, perhimpunan Majlis Tertinggi (MT) UMNO tidak perlu ditangguhkan kerana jika ditangguhkan lagi, saya bimbang masalah dalaman parti akan menjadi lebih serius kerana dibiarkan tanpa apa-apa rawatan. Ahli-ahli UMNO peringkat akar umbi akan memberontak secara halus. Kita akui kekalahan kita dalam PRU-12 dan berharap sangat agar tidak membiarkan masalah yang melanda UMNO menjadi lebih serius. Saya menyokong pentadbiran Pak Lah tetapi dalam masa yang sama saya meminta Pak Lah meneruskan pemilihan MT UMNO kerana melalui pemilihan sahaja kita dapat memulihkan kekuatan parti agar sentiasa relevan dan dapat diterima oleh semua kaum Melayu di Malaysia.

Melalui cakap-cakap yang saya dengar di sekitar Ampang, saya dapati golongan belia dan kaum muda melayu semakin menjauhi parti UMNO dan mula mendekati parti PAS, DAP dan PKR. Perlu kita ingat, antara punca kekalahan BN dalam PRU-12 adalah disebabkan pengabaian terhadap suara orang muda yang inginkan perubahan dalam negara Malaysia. Sebanyak 1.2 juta pengundi baru telah menunaikan kewajipan untuk turun mengundi dan mereka ini adalah pelapis muda yang sedang meningkat naik dan berani melakukan perubahan terhadap kerajaan BN. Saya sendiri pernah berbual dengan seorang peniaga muda di tepi jalan dan beliau berkata, tidak salah kalau kaum muda mencuba untuk sepenggal memangkah barisan pembangkang kerana kerajaan BN tidak mengendahkan suara muda dan mengabaikan masalah yang dibangkitkan oleh mereka.

Pak Lah mesti bersikap 'gentleman' dengan meneruskan pemilihan UMNO pada tahun ini kerana dengan cara itu sahaja parti UMNO akan dapat dirawat seterusnya kekuatan UMNO akan dapat dipulihkan semula. Untuk memastikan UMNO adalah sebuah parti yang demokrasi, pemilihan tertinggi UMNO untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden harus dibuka dan dipertandingkan. Ini bukan untuk menjatuhkan Pak Lah atau Najib tetapi lebih kepada usaha meguatkan lagi kepimpinan parti UMNO kerana hanya melalui sokongan daripada akar umbi sahaja akan dapat melahirkan kepimpinan yang kukuh dan lebih bermaruah.

Kita tidak boleh lari daripada masalah yang timbul kerana semakin kita lari, masalah itu akan menjadi lebih besar dan amat sukar untuk diatasi jika tidak diselesaikan dari awal. Masalah akan sentiasa ada, jadi langkah terbaik adalah hadapi setiap masalah yang timbul dan jangan biarkan setiap masalah itu menjadi kudis yang semakin hari semakin membesar dan akan mengakibatkan penyakit seluruh badan.

Kesan lain yang akan timbul jika Pak Lah menangguhkan pemilihan UMNO ialah pihak pembangkang akan menuduh Pak Lah mempunyai agenda peribadi yang mengatasi agenda nasional. Bagaimana dengan umur ahli Pemuda UMNO yang semakin hari semakin bertambah? Tidakkah parti UMNO akan kehilangan barisan Pemuda UMNO yang boleh menjadi pelapis kepimpinan masa akan datang? Adalah amat penting tumpuan memperkasakan UMNO diberi penekanan jitu kepada golongan muda terutamanya pelajar-pelajar IPTA yang telah menamatkan pengajian mereka kerana golongan ini selain terpelajar, mereka juga adalah harapan untuk memimpin negara Malaysia pada masa akan datang.

Justeru itu, Pak Lah mesti bersikap yakin untuk terus mengadakan pemilihan UMNO pada tahun ini juga berdasarkan suara akar umbi yang meminta ia diteruskan juga. Letakkan agenda nasional melebihi agenda peribadi, dengarlah suara majoriti bukan minoriti, nescaya UMNO akan perkasa kembali..


Wednesday, March 26, 2008

CAKAP-CAKAP PRU 12

Pilihanraya ke 12 (PRU 12) sudah berlalu. Keputusan yang diperolehi amat tidak disangka-sangka. Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak berjaya memperolehi kejayaan majoriti 2/3 dan hanya mendapat 'simple majority' untuk membentuk kerajaan pusat. Bukan hanya Kelantan gagal ditawan tetapi BN telah kehilangan empat negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Parti pembangkang telah berjaya membentuk kerajaan di empat buah negeri tersebut dan termasuk Kelantan yang terus ditadbir oleh PAS. Banyak kubu kuat BN telah roboh dan gagal dipertahankan. Parti-parti komponen di dalam BN seperti MCA, MIC dan GERAKAN telah tewas banyak kerusi kepada parti pembangkang. Mesej rakyat amat jelas dalam PRU 12 kali ini yang mahukan pembaharuan dalam pentadbiran Pak Lah.

Parti pembangkang telah berjaya memainkan beberapa isu yang dianggap dapat mempengaruhi para pengundi. Isu kenaikan harga minyak, harga barang, rasuah, dan berbagai-bagai isu nasional kerap kali didendangkan oleh parti pembangkang apabila mereka turun berkempen. Di Pulau Pinang, parti DAP telah memainkan isu pelantikan Ketua Menteri di kalangan orang Melayu serta sentimen perkauman telah berjaya membuatkan para pengundi menukar angin kepimpinan negeri. Boleh dikatakan pengaruh bekas TPM, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih kuat dan hasil kerja keras si Anwar berkempen di sana sini telah membuahkan hasil.

Antara negeri yang dianggap kebal untuk ditembusi oleh parti pembangkang ialah Perak dan Selangor. Namun akhirnya kedua-dua negeri ini berjaya dirampas oleh parti pembangkang dan sebuah kerajaan campuran telah dibentuk. Menteri Besar Selangor yang baru, Tan Sri Khalid Ibrahim hanya tersenyum lebar kerana dapat menjadi MB di negeri yang terkaya dan termaju di Malaysia. Di Perak pula, walaupun BN berjaya memperolehi 28 kerusi DUN, itu tidak cukup kuat untuk BN membentuk kerajaan negeri di Perak kerana majoriti mudah yang diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri di Perak ialah 31 kerusi DUN. Barisan Alternatif yang diwakili oleh DAP, PAS dan PKR masing-masing memperolehi 18+6+7=31 yang akhirnya berjaya membentuk sebuah kerajaan campuran di Perak. walaupun DAP memenangi sejumlah kerusi DUN yang agak banyak, perlembagaan yang termaktub di mana menyatakan hanya orang melayu sahaja boleh menjadi MB telah menyelamatkan negeri Perak daripada menerima MB dari kalangan orang cina. ADUN dari PAS, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin akhirnya dilantik sebagai MB Perak yang baru. barulah rakyat Perak dapat menarik nafas lega.

Kedah pula mendapat MB yang baru dari parti PAS. Pesuruhjaya PAS Kedah, Azizan Abdul Razak telah dilantik menjadi MB Kedah selepas parti itu berjaya memenangi banyak kerusi DUN di Kedah. Dalam PRU 12 dapat kita saksikan banyak nama-nama besar dalam politik tanahair yang tumbang dan ada di kalangan mereka adalah menteri kabinet. Samy Vellu, Dr. Awang Adek, Zainuddin Maidin serta Shahrizat Abdul Jalil. Antara faktor-faktor kekalahan BN boleh dikaitkan dengan trend pengundi baru yang ingin mencuba. Sebanyak 1.2 juta pengundi baru yang telah berdaftar dan mereka ini lebih terdedah dengan berbagai-bagai maklumat terkini mengenai politik negara. Internet adalah satu medium yang memainkan peranan amat besar dalam penyebaran apa jua maklumat dan propaganda dengan lebih cepat dan mudah diakses di mana-mana. Pak Lah sendiri mengakui bahawa kerajaan BN telah kalah kepada kempen siber yang digunakan sepenuhnya oleh parti pembangkang untuk merayu pengundi di seluruh negara. Kempen siber seperti penggunaan blog, web baru dan sms telah menyebabkan kekalahan BN di tangan Barisan Alternatif.

BN harus bermuhasabah diri dengan mencari kelemahan dan memperbaiki segala kelemahan yang ada. Suara akar umbi tidak harus diperlekehkan kerana faktor inilah yang menyumbang kepada kekuatan atau kelemahan sesebuah parti politik itu. Hanya sekadar pandangan, pemilihan parti UMNO yang dijadualkan pada tahun ini harus dilaksanakan seperti biasa dan jangan ditangguhkan kerana pendapat akar umbi patut didengar dan diambil tindakan segera. Pak Lah harus berfikir dan berbuat sesuatu demi kepentingan UMNO dan bukan atas kepentingan peribadi kerana UMNO semakin layu dan djauhi oleh kaum Melayu. Pastikan pemilihan UMNO diadakan dengan konsep terbuka dan bersih. Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden hanya akan kuat dan kukuh jika mendapat suara majoriti. Fikirkanlah...