Monday, November 26, 2007

HINDRAF : MENGGUGAT KESELAMATAN NEGARA

HINDRAF : MENGGUGAT KESELAMATAN NEGARA

Hindu Rights Action Force atau dipanggil HINDRAF adalah satu pertubuhan yang tidak berdaftar dan tidak sah. HINDRAF diterajui oleh lima orang peguam di kalangan kaum India iaitu M. Manoharan, P. Uthaya Kumar, K. Ganghadaran, P. Wathyamoorthy dan S. Ganapathy Rao. Tujuan penubuhan HINDRAF di antaranya adalah untuk menyerahkan petisyen kepada Suruhanjaya Tinggi British bagi mengemukakan saman sebanyak AS$ 4 trilllion (RM 14 Trillion) di samping beberapa tuntutan yang dilihat tidak masuk akal dan hanya akan mengakibatkan pergeseran kaum di Malaysia.

Perhimpunan HINDRAF yang dijangka berlangsung pada 25 November 2007, jam 9.00 pagi rupanya telah berlangsung lebih awal di mana seramai hampir seribu peserta perhimpunan HINDRAF telah berkumpul di Batu Caves seawal jam 12.00 tengah malam. Perhimpunan haram ini ternyata menimbulkan kekacauan yang ganas kerana telah mengakibatkan kerosakan kenderaan dan harta benda serta membabitkan kecederaan 4 orang anggota polis yang ditugaskan mengawasi perhimpunan haram tersebut. Tindakan penganjur dan peserta HINDRAF benar-benar telah mencabar undang-undang dan kedaulatan negara. Berita palsu yang disebarkan melalui SMS dan internet bagi menyeru semangat kaum India supaya menyertai perhimpunan haram ini adalah satu tindakan yang boleh menjejaskan semangat perpaduan antara kaum di negara ini.

Tidakkah penganjur atau kaum India yang menyertai perhimpunan haram ini sedar akan implikasi yang timbul akibat perbuatan mereka? Implikasi yang timbul kesan perhimpunan haram ini bukan sahaja dilihat dari sudut keselamatan malahan boleh dilihat dari sudut ekonomi serta sosial. Sebagai rakyat Malaysia mereka seharusnya sedar bahawa bukan kaum India sahaja yang miskin serta mundur tetapi melibatkan semua kaum di Malaysia. Bagaimana dengan perasaan kaum-kaum lain di Malaysia? Bagaimana pula dengan masyarakat kampung dan orang asli yang lebih miskin daripada kaum India? Penganjur atau dalang di sebalik perhimpunan HINDRAF ini seharusnya berfikir dengan lebih terbuka dan positif sebelum bertindak untuk berhimpun beramai-ramai yang akhirnya mengakibatkan pertumpahan darah dan kerosakan harta benda. Kaum India seharusnya bersyukur kerana mereka dapat berteduh dan mencari rezeki di bumi Malaysia ini. Pernahkah mereka ini memikirkan nasib mereka di India jika moyang-moyang mereka tidak dibawa masuk oleh kerajaan British pada satu masa dahulu? Saya percaya nasib kaum India di Malaysia lebih terjamin dan senang jika dibandingkan dengan kaum India di negara India. Moyang-moyang mereka yang dibawa masuk ke Malaysia bukanlah dikerah sebagai hamba abdi sebaliknya mereka ini diberi peluang pekerjaan yang sewajarnya oleh kerajaan British. Jika moyang-moyang kaum India ini masih hidup nescaya mereka tidak bersetuju untuk diadakan perhimpunan HINDRAF ini dan berasa sedih serta kecewa terhadap generasi kaum India masa kini yang tidak mengenang budi kerajaan Malaysia dan masyarakat Melayu yang banyak bertolak ansur terhadap kaum India serta kaum minoriti yang lain.

Jika penganjur atau dalang perhimpunan ini mengatakan bahawa kerajaan Malaysia bertindak kejam dan tidak adil kerana tidak membenarkan mereka berhimpun dan berdemonstrasi secara aman, ingin saya maklumkan bahawa tindakan kerajaan Malaysia dan pihak berkuasa adalah berasas dan bersebab. Kerajaan Malaysia harus mengambil kira dari aspek keselamatan dan ketenteraman awam. Semua bangsa di dunia mempunyai hak masing-masing. Jika kaum India membangkitkan hak mereka untuk berhimpun secara aman, bagaimana pula dengan hak-hak masyarakat lain yang ingin kebebasan dengan keluar bersiar-siar tanpa merasa ketakutan? Bagaimana pula dengan hak peniaga yang ingin membuka perniagaan mereka tanpa merasa bimbang? Perhimpunan HINDRAF yang dijanjikan secara aman oleh penganjur sebaliknya bertukar menjadi liar dan ganas. Mereka yang menyertai perhimpunan ini benar-benar bersikap biadap dan kurang ajar kerana tidak mempedulikan amaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa supaya bersurai sebaliknya telah melemparkan kata-kata kesat dan membaling objek keras dan menyebabkan empat orang anggota polis cedera serta beberapa buah kenderaan awam dan kerajaan turut dirosakkan.

Perhimpunan haram ini turut mengundang perspektif negatif kepada pelancong asing dan media asing. Mereka akan membawa cerita buruk apabila pulang ke negara masing-masing. Ini akan menyebabkan sektor pelancongan negara mengalami kerugian akibat daripada kurangnya pelancong asing memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan kerana gambaran negatif mengenai negara Malaysia. Para pelabur asing juga turut berfikir dua kali untuk melabur di negara Malaysia jika keadaan huru-hara yang dicetuskan oleh pihak tidak bertanggungjawab berterusan. Semakin jelas kecetekan pemikiran penganjur atau dalang HINDRAF walaupun berlatar belakang pendidikan tinggi. Ternyata dalang perhimpunan haram ini mempunyai agenda tersembunyi lebih-lebih lagi menjelangnya pilihan raya umum yang bakal berlangsung dalam masa terdekat ini.

Kaum India yang menyertai perhimpunan haram HINDRAF disarankan menukar kerakyatan dan membeli tiket kapal terbang balik semula ke negara Tamil Naidu jika mereka merasakan diri mereka dianiaya oleh kerajaan Malaysia. Sikap biadap dan tidak tahu erti bersyukur kaum India ini tidak boleh diterima oleh masyarakat Malaysia yang cintakan keamanan dan kedamaian. Jangan sampai masyarakat Malaysia hilang sabar dan mengusir kaum India yang biadap ini pulang ke negara asal mereka!!!

(JASA,PEMUDA MALAYSIA)


Friday, September 14, 2007

Bajet 2008 Mesra Rakyat

Bajet 2008 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah bin Hj. Ahmad Badawi pada 7 September 2007 di Dewan Rakyat nyata menunjukkan betapa kerajaan amat prihatin terhadap semua golongan rakyat di Malaysia. Walaupun pemberian bonus untuk kakitangan kerajaan tidak diumumkan dalam bajet 2008, kakitangan kerajaan tidak perlu cepat melatah dan seharusnya bersyukur kerana kerajaan telah membelanjakan sejumlah peruntukan yang besar untuk memberikan kenaikan gaji kepada kira-kira 1.2 juta kakitangan kerajaan. Perlaksanaan kenaikan gaji yang berkuatkuasa pada bulan Julai yang lepas diharap dapat membantu meringankan beban perbelanjaan kakitangan kerajaan dan kakitangan kerajaan harus berbelanja secara berhemah apabila menjelang musim perayaan.

Bajet 2008 ternyata memberi sinar kepada semua golongan masyarakat di semua peringkat. Walaupun pihak pembangkang menyatakan Bajet 2008 adalah umpan untuk rakyat supaya rakyat terus menyokong Parti Barisan Nasional, ia hanya cakap-cakap kosong yang datang dari pihak pembangkang yang tidak mempunyai asas kukuh dan hanya sekadar ingin mempengaruhi rakyat. Ternyata pihak pembangkang tidak mempunyai modal untuk memainkan sebarang isu yang boleh melemahkan kepimpinan Datuk Seri Abdullah bin Hj. Ahmad Badawi. Pembentangan Bajet 2008 telah meresahkan pihak pembangkang kerana tinjauan umum yang dilakukan selepas pembentangan Bajet 2008 mendapati rata-rata rakyat Malaysia amat berpuas hati dengan bajet 2008 dan amat menyokong kepimpinan Pak Lah dalam meneruskan kecemerlangan dalam memacu ekonomi negara Malaysia.

Dalam Bajet 2008, perkara yang menjadi tumpuan ialah membina kapasiti untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih mapan melalui penyediaan infrastruktur, kemudahan awam, pendidikan dan perkhidmatan sosial, termasuk kesihatan serta kebajikan rakyat. Melalui Bajet 2008, Pak Lah telah melaksanakan tiga strategi utama yang dijangka akan dapat meningkatkan ekonomi negara di samping tidak lupa untuk terus melaksanakan pembangunan modal insan dan menjamin seluruh kesejahteraan rakyat tidak kira peringkat. Tiga strategi yang dilaksanakan ialah :
  • Mempertingkat daya saing negara,

  • Memperkasa pembangunan modal insan, dan

  • Menjamin kesejahteraan rakyat.

Untuk meningkatkan lagi daya saing negara, kerajaan telah mengurangkan cukai korporat sebanyak 26 peratus serta melaksanakan sistem cukai single-tier di mana di bawah sistem single-tier, keuntungan hanya dikenakan cukai di peringkat syarikat, manakala dividen yang diterima dikecualikan daripada cukai. Dengan kadar cukai korporat yang lebih rendah dan pengenalan sistem single-tier, lebih banyak dividen dapat diagihkan kepada pemegang saham.

Selain itu, di bawah strategi mempertingkat daya saing negara, kerajaan akan memberi perhatian kepada penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan awam, memudahkan kemasukan pekerja berkemahiran tinggi, meningkatkan daya saing pasaran modal, serta akan menjadikan Malaysia sebagai Pusat Kewangan Islam Antarabangsa.

Namun apa yang saya ingin beri penekanan di dalam artikel saya ialah mengenai strategi ke dua dan ketiga di dalam Bajet 2008 di mana rakyat akan memperolehi berbagai-bagai manfaat berdasarkan strategi kedua dan ketiga yang dilaksanakan oleh kerajaan di bawah pimpinan Pak Lah.

Dalam strategi kedua Bajet 2008 ialah memperkasa pembangunan modal insan. Rakyat perlu tahu jika kita ingin melihat kesinambungan kecemerlangan di Malaysia sentiasa berterusan, pembangunan modal insan mestilah diberi penekanan. Malaysia sungguh bertuah kerana mempunyai pemimpin yang berwawasan dan sentiasa prihatin kepada apa jua permasalahan rakyat. Pak Lah adalah seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan ini telah dibuktikan sepanjang beliau mentadbir negara, banyak jasa dan sumbangan yang telah dilakukan dalam memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa dan harmoni. Untuk itu dalam Bajet 2008, aspek kualiti pendidikan dan latihan akan terus diberi penekanan dan perhatian sewajarnya.

Sejumlah RM 30 bilion akan disediakan untuk Kementerian Pelajaran dan ini merangkumi pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, termasuk Program Sekolah Cemerlang, memartabat profesion keguruan dan merapatkan jurang pendidikan di antara bandar dan luar bandar. Untuk meningkatkan lagi kualiti dan prestasi sekolah, 60 buah sekolah kluster akan diwujudkan dalam tahun 2008 dan peruntukan berjumlah RM 500 ribu akan diberi bagi setiap sekolah kluster untuk tujuan aktiviti kokurikulum, latihan dan pembelian peralatan pembelajaran.

Bajet 2008 dikatakan bajet mesra rakyat kerana bermula pada tahun 2008 segala yuran sekolah menengah dan rendah akan dimansuhkan. Selain itu, kerajaan juga akan memberikan buku teks secara percuma kepada semua pelajar tanpa mengira pendapatan ibu bapa dan dengan ini, pendidikan di negara Malaysia adalah seratus peratus percuma. Pengumuman ini membuatkan golongan ibu bapa di Malaysia berasa amat lega dan secara tidak langsung dapat meringankan beban kewangan mereka.

Insentif untuk golongan guru juga tidak diabaikan di mana beberapa jenis elaun guru turut dinaikkan. Antaranya ialah, elaun bagi guru pendidikan khas dinaikkan daripada RM 100 ringgit kepada RM 250 ringgit sebulan. Kadar elaun guru ganti berkelulusan ijazah dinaikkan daripada RM 85 ringgit kepada RM 150 ringgit sebulan dan kerajaan turut menyediakan elaun sebanyak RM 60 ringgit sejam bagi guru lepasan ijazah dan RM 50 ringgit sejam bagi guru lepasan diploma yang mengajar bahasa Cina dan Tamil di sekolah kebangsaan.

Bagi sektor pengajian tinggi pula, sebanyak RM 12 bilion diperuntukkan dalam melaksanakan pelbagai projek dan program, antaranya ialah meningkatkan aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan di empat buah Universiti Penyelidikan; meningkatkan peruntukan kepada Universiti Teknologi MARA bagi mencapai sasaran 200,000 mahasiswa menjelang tahun 2010; menaik taraf serta memperluaskan Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Darul Iman dan Universiti Pertahanan; dan menjenamakan semula kolej komuniti melalui penyediaan kursus di peringkat diploma, menubuhkan kolej komuniti baru dan menggiatkan kolaborasi dengan syarikat swasta.

Bajet 2008 yang dibentangkan oleh Pak Lah juga telah memasukkan strategi ketiga iaitu menjamin kesejahteraan rakyat. Di bawah strategi ini, kerajaan telah melaksanakan program perumahan untuk rakyat di mana melalui program ini sejumlah RM 381 juta telah disediakan bagi melaksanakan perumahan rakyat kos rendah dan dari jumlah tersebut, RM 191 juta diperuntukkan bagi Program Perumahan Rakyat (PPR) Disewa dan RM 190 juta bagi PPR Bersepadu. Mulai tahun 2008 juga, pencarum KWSP dibenarkan mengeluarkan baki akaun kedua mereka setiap bulan untuk membolehkan mereka membuat pembayaran ansuran pinjaman perumahan.

Kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM 12 bilion bagi mempertingkatkan sistem pengangkutan awam yang cekap di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Bagi mengatasi kesesakan jalan raya di Pulau Pinang, Lebuh Raya Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR) akan mula dilaksanakan secara tender dalam tempoh terdekat dan bandar-bandar utama lain akan turut disediakan dengan sistem pengangkutan awam yang selesa.

Kerajaan juga tidak lupa kepada aspek keselamatan dalam negara kerana keselamatan awam adalah prasyarat untuk menjana pertumbuhan ekonomi dan memastikan kesejahteraan rakyat terjamin. Bagi aspek keselamatan awam, pengambilan seramai 60,000 anggota polis baru akan dilakukan dalam tempoh lima tahun. PDRM juga akan dibekalkan dengan tambahan 2,000 unit kereta nasional dan 1,600 komputer. Manakala 1,900 motosikal akan disediakan untuk meningkatkan aktiviti pengawasan dan rondaan polis serta kerajaan akan menubuhkan Unit Bergerak Forensik PDRM di setiap kontinjen polis.

Berdasarkan kepada beberapa fakta mengenai Bajet 2008 yang telah dibentangkan oleh Pak Lah, jelas menunjukkan bahawa kepentingan dan kesenangan rakyat adalah agenda utama bagi kerajaan. Tinjauan umum yang dibuat sehari selepas pembentangan Bajet 2008 menunjukkan rata-rata rakyat amat berpuas hati dengan bajet yang diusulkan.

Justeru itu, kita harus melahirkan rasa syukur kepada Yang Maha Esa kerana dapat menikmati hasil kekayaan negara bersama-sama. Setelah 50 tahun kita mengecapi kemerdekaan, pelbagai kemudahan telah dihasilkan dan Malaysia telah berjaya melangkah jauh serta mencapai pembangunan yang pesat dan holistik. Falsafah pembangunan kita yang menekankan pertumbuhan dengan pengagihan yang seimbang adalah resipi yang tepat dan perlu diteruskan untuk memastikan Malaysia lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

Wednesday, September 12, 2007

Ramadhan Kembali Lagi...



Alhamdulillah, kita dipanjangkan umur lagi oleh Allah s.w.t pada tahun ini dan dapatlah kita menjalankan kewajipan rukun Islam yang ketiga iaitu berpuasa di bulan Ramadhan. Sesungguhnya berpuasa itu dapat mengajar umat Islam untuk bukan hanya menahan lapar dan dahaga di siang hari tetapi menahan nafsu daripada segala macam perlakuan maksiat dan perkara yang sia-sia. Kita juga diseru merebut peluang dengan mencari pahala dan keredhaan Allah s.w.t sebanyak yang mungkin.

Bulan Ramadhan menjanjikan berbagai-bagai ganjaran pahala dan sebagai umat Islam, bulan Ramadhan adalah bulan yang amat ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam di seluruh dunia. Bulan Ramadhan adalah bulan perasaan dan ruhani, serta saat untuk menghadapkan diri kepada Allah s.w.t. Sejauh yang saya ingat, ketika bulan Ramadhan menjelang, sebagian Salafush Shalih mengucapkan selamat tinggal kepada sebagian lain sampai mereka berjumpa lagi dalam solat 'Id. yang mereka rasakan adalah ini bulan ibadah, bulan untuk melaksanakan shiyam (puasa) dan qiyam (solat malam) dan kami ingin menyendiri hanya dengan Tuhan kami.

Para pembaca sekalian, bulan Ramadhan adalah bulan Al-Quran. Rasullullah s.a.w pernah bersabda mengenainya ;

"Puasa dan Al-Quran itu akan memberikan syafaat kepada hamba di hari kiamat. Puasa akan bekata, 'Ya Rabbi, aku telah menghalanginya dari makan dan syahwat, maka perkenankanlah aku memberi syafaat untuknya.' Sedangkan Al-Quran akan berkata, 'Ya Rabbi, aku telah menghalanginya dan tidur di malam hari, maka perkenankan aku memberikan syafaat untuknya.' Maka Allah memperkenankan keduanya memberikan syafaat."

(HR. Imam Ahmad dan Ath Thabrani)

Kepada pembaca sekalian, perbanyakkanlah amal ibadat dan amalan bersedekah di bulan yang penuh keberkatan ini. Semoga amalan kita semua diterima oleh Allah s.w.t dan saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada muslimin dan muslimat si mana jua mereka berada dan lakukanlah segala kerja yang diamanahkan dengan seikhlas yang mungkin.

Wassalam..

Wednesday, August 29, 2007

UMNO dan Kemerdekaan

Merdeka!!! Merdeka!!! Merdeka!!!

Itulah laungan keramat yang amat bermakna untuk kita sebagai rakyat Malaysia mengecap kehidupan yang penuh harmoni dan tenteram. Untuk kali ke 50 kita akan menyambut 'Hari Kemerdekaan' pada 31 Ogos 2007 yang jatuh pada hari Jumaat ini. Umno, sebagai sebuah parti politik yang mendukung perjuangan memartabatkan bangsa Melayu untuk menjadikan bangsa Melayu bangsa yang bermaruah tinggi serta dihormati oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia.

Perjuangan Umno dalam politik tanah air telah diketahui umum di mana penubuhan United Malayan National Organisation (UMNO) atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu adalah sebuah parti politik yang berpengaruh besar di Malaysia. Parti ini ditubuhkan dengan niat untuk memprotes dan membangkang penubuhan Malayan Union yang dicadangkan oleh penjajah Inggeris pada 1 April 1946. Satu perhimpunan besar-besaran yang dikenali sebagai Kongres Melayu Se-Malaya pertama telah diatur oleh Persatuan Melayu Selangor di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baharu, Kuala Lumpur pada 1 Mac hingga 4 Mac 1946 dan sebanyak 41 Pertubuhan-pertubuhan Melayu telah menghantar wakil masing-masing. Dato Onn bin Jaafar daripada Persatuan Melayu Johor telah dipilih sebagai Pengerusi Kongres. Hampir semua wakil pertubuhan telah berucap termasuk dua orang wakil kanak-kanak. Tiga usul telah dululuskan oleh Kongres seperti berikut iaitu :
  • Menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu,
  • Membantah pertubuhan Malayan Union,
  • Mengadakan Derma Pelajaran Kebangsaan Melayu sahaja.

Satu jawatankuasa yang terdiri dari Dato Onn Jaafar, Dato Panglima Bukit Gantang, Dato Nik Ahmad Kamil, Dato Hamzah Abdullah dan Encik Zainal Abidin Ahmad (Zaaba) telah dipilih untuk menyediakan draf piagam atau Perlembagaan Umno untuk dibentangkan dan diterima oleh Kongres Melayu Se-Malaya kelak.

Walaupun ada bantahan yang hebat daripada kaum Melayu, Kerajaan British tetap meneruskan rancangan mereka dan pada 1 April 1946 menubuhkan Malayan Union. Orang-orang Melayu dan pertubuhan-pertubuhan Melayu terus membangkang dan tidak memberi sebarang sokongan terhadap Malayan Union. Pada 11 Mei 1946, Kongres Melayu Se-Malaya ketiga dan perhimpunan agung pertama Pertubuhan Melayu Kebangsaan Melayu Bersatu atau PEKEMBAR (UMNO) berlangsung di Istana Besar Johor Bahru dan Perlembagaan Umno telah diterima dan diluluskan oleh para peserta. Umno pun lahirlah secara rasmi.

Adalah nyata kejayaan Umno memerdekakan tanahair dan mendirikan pemerintahan merupakan satu pencapaian dakwah yang sangat besar bagi kehidupan umat, kerana kemerdekaan bererti terlepasnya dosa tidak terlaksana fardhu kifayah yang tertanggung ke atas umat Islam sejak lebih empat ratus tahun disebabkan tidak wujud pemerintahan yang didirikan umat Islam. Menubuhkan dan menjalankan urusan pemerintahan itulah sebenarnya yang dimaksudkan dengan 'politik Islam' yang dalam istilah fekah dengan siasah syariah. Siasah syariah seperti yang ditakrifkan oleh Ibnu Nujaim bermaksud, "sebarang tindakan yang diambil oleh pemerintah (dalam menjalankan urusan pemerintahan), yang pada pandangannya boleh menjaga kepentingan umum, sekalipun tindakan yang diambil itu tidak terdapat dalil yang khusus mengenainya".

Umno telah berjaya mewujudkan perpaduan orang Melayu yang sebelummya berpecah dengan menganggotai berbagai-bagai parti atau persatuan yang berselerak di seluruh negara, sama ada yang bersifat kenegerian, kedaerahan mahupun yang bersifat kesukuan. Umno berjaya meyakinkan keseluruhan pertubuhan yang berpegang kepada identiti sempit masing-masing untuk bernaung di bawah satu payung iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau dikenali UMNO. Maka hasil daripada perpaduan bangsa Melayu sebagai teras kepada perpaduan seluruh umat dan bangsa yang diperjuangkan oleh Umno ini. Umat Islam di Malaysia berjaya memerdekakan tanahair, menubuhkan kerajaan yang bertanggungjawab fardhu kifayah ke atas umat serta membangun negara yang membawa kebajikan kepada seluruh rakyat jelata. Makna perpaduan ini telah dilambangkan dalam cogankata "BERSATU".

Dengan tercapainya kemerdekaan, Umno telah berjaya menunaikan satu daripada tanggungjawab fardhu kifayah yang paling utama iaitu menubuhkan kerajaan. Melalui kerajaan yang ditubuhkan, Umno berjaya melaksanakan berbagai-bagai tuntutan dakwah Islamiyah lain melalui program-program yang bersifat kebajikan dan ihsan dengan menyediakan berbagai-bagai kemudahan, perkhidmatan dan bantuan untuk memberi kesenangan dan kemakmuran hidup kepada rakyat. Antara beberapa bidang fardhu kifayah serta yang bersifat kebajikan dan ihsan yang telah dilaksanakan melalui kerajaan yang ditubuhkan hasil daripada perjuangan Umno ialah :

  • Pertahanan dan keamanan dalam negeri.
  • Pembangunan pendidikan dan ilmu pengetahuan.
  • Pembangunan ekonomi dalam berbagai sektor.
  • Bidang perkhidmatan dan kemudahan untuk rakyat.
  • Bidang kebajikan dan khidmat sosial.

Melalui pertahanan dan keamanan dalam negeri,kerajaan telah mewujudkan pasukan polis dan tentera yang diamanahkan menjaga keamanan dan menguatkuasakan undang-undang. Memang menjadi kewajipan setiap kerajaan yang ada di seluruh dunia agar menjadikan keselamatan rakyat jelata perkara yang paling utama kerana melalui keselamatan dan keharmonian rakyat jelata yang hidup dengan aman dan tenteram akan menjana ekonomi sesebuah negara ke paras yang lebih tinggi lagi.

Kerajaan juga memberi keutamaan kepada pembangunan pendidikan dan ilmu pengetahuan kerana dengan memberi pendidikan yang sempurna dan berterusan kepada rakyat jelata, kerajaan akan dapat melahirkan generasi pelapis yang dapat mengambil alih peranan untuk mengemudi negara Malaysia ke satu tahap yang boleh dibanggakan. Umno telah melahirkan ramai tokoh-tokoh berpendidikan tinggi yang menjadi pemimpin seantero dunia seperti Allahyarham Tun Dr. Ismail yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri di bawah pentadbiran Perdana Menteri ke-2 iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak.

Dalam pembangunan ekonomi pula kerajaan yang ditunjangi Umno telah melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan meningkatkan penguasaan bangsa Melayu dalam bidang ekonomi. Secara keseluruhanya DEB telah berjaya membawa perubahan dalam tempoh 20 tahun pelaksanaannya, khususnya dalam mencapai matlamat membasmi kemiskinan. Namun begitu, usaha untuk menyusun semula guna tenaga perlu diperhebatkan lagi kerana matlamat yang ditetapkan tidak tercapai sepenuhnya. Bagi memastikan matlamat ini tercapai, kerajaan telah membentuk Dasar Pembangunan Nasional yang merupakan kesinambungan pelaksanaan DEB.

Bagi memberi keselesaan kepada rakyat, kerajaan cuba memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dengan membina lebih banyak jalan raya dan lebuh raya yang bermutu, membina rumah-rumah berkos rendah dan sederhana yang mampu dimiliki oleh golongan berpendapatan rendah serta mewujudkan pusat-pusat rekreasi untuk membolehkan rakyat jelata beriadah.

Dalam bidang kebajikan dan khidmat sosial pula, kerajaan telah membela nasib golongan orang kurang upaya (OKU) dengan memastikan kebajikan mereka terjamin serta melaksanakan dasar bagi memastikan golongan OKU dipertimbangkan untuk berkhidmat di sektor kerajaan dan swasta. Di samping itu, bagi golongan emas yang kurang bernasib baik pula mereka telah diberi dibela hak mereka dengan menyediakan tempat tinggal yang selesa untuk mereka melalui hari-hari tua mereka bersama rakan-rakan senasib dengan mereka.

Oleh itu, dalam kita menyambut hari kemerdekaan yang bakal menjelang, seharusnya kita membulatkan tekad untuk mewarisi dan meneruskan perjuangan tokoh-tokoh terdahulu di dalam Umno yang berusaha keras menuntut kemerdekaan daripada penjajah British.


Monday, August 27, 2007

Politik Islam

Hubungan Islam dengan demokrasi merupakan satu persoalan yang menarik untuk dikaji, sama ada dari segi prinsip mahupun dari segi praktikal. Jika dilihat dari segi prinsip, meskipun rata-rata umat Islam menerima demokrasi, namun masih ada segelintir daripada mereka yang bergelut dengan dilema adakah demokrasi secocok dan selari dengan Islam. Malah ada golongan yang menolak mentah-mentah demokrasi kerana dianggap asing dengan Islam. Demokrasi meletakkan manusia menentukan undang-undang dan sumber perlembagaan negara.

Dalam membicarakan konflik hubungan antara Islam dengan demokrasi, Malaysia dianggap negara Islam yang masih terselamat atau mampu menguruskan hubungan tersebut dengan baik. Ini dapat dibuktikan melalui kerajaan Pusat yang kuat kerana memiliki majoriti dua pertiga dalam pilihanraya yang lalu dan parti pembangkang iaitu PAS telah diberikan peluang yang sebaiknya melalui proses pilihan raya yang bersih dan adil malahan PAS telah berjaya memerintah Kelantan dan Terengganu pada tahun 1999. Dalam konteks kerajaan, demokrasi dan pilihan raya sentiasa menjadi amalan bagi memilih kepimpinan negara. Malah, kerajaan BN masih terbuka menerima kemenangan parti pembangkang. Kita seharusnya bersyukur kerana kerajaan BN tidak menjadi seperti kerajaan di negara Turki dan Algeria yang menghalang kemenangan pembangkang dalam pilihan raya. Kesimpulannya, hubungan Islam dengan demokrasi dalam konteks penyertaan gerakan Islam dalam proses demokrasi melalui pilihan raya amat penting bagi memastikan politik dunia Islam khususnya berjalan dengan baik. Jika tidak, keganasan dan kekerasan politik akan berterusan kerana demokrasi tidak dijadikan saluran untuk mencapai kuasa politik. Malaysia telah menunjukkan jalan dan negara-negara Islam yang lain harus mengambil pengajaran.

Selamat Datang ke Blog Saya..




Assalammualaikum dan salam sejahtera..


Buat pembaca sekalian, selamat datang ke blog saya. Apa yang saya ingin coretkan di sini adalah mengenai situasi politik, ekonomi, sosial dan apa jua cerita berkaitan negara Malaysia yang tercinta. Segala isi kandungan yang tersurat dan tersirat dalam penceritaan saya adalah berdasarkan fakta serta diselitkan dengan pendapat peribadi saya. Saya berharap dengan munculnya blog 'Pemuda Malaysia' ini akan dapat memberi manfaat dan sedikit ilmu untuk kita kongsi bersama. Jika ada yang tersalah tafsir dari saya, diharap pembaca-pembaca yang budiman dapat membetulkan kekhilafan saya. Selamat membaca..