Wednesday, August 29, 2007

UMNO dan Kemerdekaan

Merdeka!!! Merdeka!!! Merdeka!!!

Itulah laungan keramat yang amat bermakna untuk kita sebagai rakyat Malaysia mengecap kehidupan yang penuh harmoni dan tenteram. Untuk kali ke 50 kita akan menyambut 'Hari Kemerdekaan' pada 31 Ogos 2007 yang jatuh pada hari Jumaat ini. Umno, sebagai sebuah parti politik yang mendukung perjuangan memartabatkan bangsa Melayu untuk menjadikan bangsa Melayu bangsa yang bermaruah tinggi serta dihormati oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia.

Perjuangan Umno dalam politik tanah air telah diketahui umum di mana penubuhan United Malayan National Organisation (UMNO) atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu adalah sebuah parti politik yang berpengaruh besar di Malaysia. Parti ini ditubuhkan dengan niat untuk memprotes dan membangkang penubuhan Malayan Union yang dicadangkan oleh penjajah Inggeris pada 1 April 1946. Satu perhimpunan besar-besaran yang dikenali sebagai Kongres Melayu Se-Malaya pertama telah diatur oleh Persatuan Melayu Selangor di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baharu, Kuala Lumpur pada 1 Mac hingga 4 Mac 1946 dan sebanyak 41 Pertubuhan-pertubuhan Melayu telah menghantar wakil masing-masing. Dato Onn bin Jaafar daripada Persatuan Melayu Johor telah dipilih sebagai Pengerusi Kongres. Hampir semua wakil pertubuhan telah berucap termasuk dua orang wakil kanak-kanak. Tiga usul telah dululuskan oleh Kongres seperti berikut iaitu :
  • Menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu,
  • Membantah pertubuhan Malayan Union,
  • Mengadakan Derma Pelajaran Kebangsaan Melayu sahaja.

Satu jawatankuasa yang terdiri dari Dato Onn Jaafar, Dato Panglima Bukit Gantang, Dato Nik Ahmad Kamil, Dato Hamzah Abdullah dan Encik Zainal Abidin Ahmad (Zaaba) telah dipilih untuk menyediakan draf piagam atau Perlembagaan Umno untuk dibentangkan dan diterima oleh Kongres Melayu Se-Malaya kelak.

Walaupun ada bantahan yang hebat daripada kaum Melayu, Kerajaan British tetap meneruskan rancangan mereka dan pada 1 April 1946 menubuhkan Malayan Union. Orang-orang Melayu dan pertubuhan-pertubuhan Melayu terus membangkang dan tidak memberi sebarang sokongan terhadap Malayan Union. Pada 11 Mei 1946, Kongres Melayu Se-Malaya ketiga dan perhimpunan agung pertama Pertubuhan Melayu Kebangsaan Melayu Bersatu atau PEKEMBAR (UMNO) berlangsung di Istana Besar Johor Bahru dan Perlembagaan Umno telah diterima dan diluluskan oleh para peserta. Umno pun lahirlah secara rasmi.

Adalah nyata kejayaan Umno memerdekakan tanahair dan mendirikan pemerintahan merupakan satu pencapaian dakwah yang sangat besar bagi kehidupan umat, kerana kemerdekaan bererti terlepasnya dosa tidak terlaksana fardhu kifayah yang tertanggung ke atas umat Islam sejak lebih empat ratus tahun disebabkan tidak wujud pemerintahan yang didirikan umat Islam. Menubuhkan dan menjalankan urusan pemerintahan itulah sebenarnya yang dimaksudkan dengan 'politik Islam' yang dalam istilah fekah dengan siasah syariah. Siasah syariah seperti yang ditakrifkan oleh Ibnu Nujaim bermaksud, "sebarang tindakan yang diambil oleh pemerintah (dalam menjalankan urusan pemerintahan), yang pada pandangannya boleh menjaga kepentingan umum, sekalipun tindakan yang diambil itu tidak terdapat dalil yang khusus mengenainya".

Umno telah berjaya mewujudkan perpaduan orang Melayu yang sebelummya berpecah dengan menganggotai berbagai-bagai parti atau persatuan yang berselerak di seluruh negara, sama ada yang bersifat kenegerian, kedaerahan mahupun yang bersifat kesukuan. Umno berjaya meyakinkan keseluruhan pertubuhan yang berpegang kepada identiti sempit masing-masing untuk bernaung di bawah satu payung iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau dikenali UMNO. Maka hasil daripada perpaduan bangsa Melayu sebagai teras kepada perpaduan seluruh umat dan bangsa yang diperjuangkan oleh Umno ini. Umat Islam di Malaysia berjaya memerdekakan tanahair, menubuhkan kerajaan yang bertanggungjawab fardhu kifayah ke atas umat serta membangun negara yang membawa kebajikan kepada seluruh rakyat jelata. Makna perpaduan ini telah dilambangkan dalam cogankata "BERSATU".

Dengan tercapainya kemerdekaan, Umno telah berjaya menunaikan satu daripada tanggungjawab fardhu kifayah yang paling utama iaitu menubuhkan kerajaan. Melalui kerajaan yang ditubuhkan, Umno berjaya melaksanakan berbagai-bagai tuntutan dakwah Islamiyah lain melalui program-program yang bersifat kebajikan dan ihsan dengan menyediakan berbagai-bagai kemudahan, perkhidmatan dan bantuan untuk memberi kesenangan dan kemakmuran hidup kepada rakyat. Antara beberapa bidang fardhu kifayah serta yang bersifat kebajikan dan ihsan yang telah dilaksanakan melalui kerajaan yang ditubuhkan hasil daripada perjuangan Umno ialah :

  • Pertahanan dan keamanan dalam negeri.
  • Pembangunan pendidikan dan ilmu pengetahuan.
  • Pembangunan ekonomi dalam berbagai sektor.
  • Bidang perkhidmatan dan kemudahan untuk rakyat.
  • Bidang kebajikan dan khidmat sosial.

Melalui pertahanan dan keamanan dalam negeri,kerajaan telah mewujudkan pasukan polis dan tentera yang diamanahkan menjaga keamanan dan menguatkuasakan undang-undang. Memang menjadi kewajipan setiap kerajaan yang ada di seluruh dunia agar menjadikan keselamatan rakyat jelata perkara yang paling utama kerana melalui keselamatan dan keharmonian rakyat jelata yang hidup dengan aman dan tenteram akan menjana ekonomi sesebuah negara ke paras yang lebih tinggi lagi.

Kerajaan juga memberi keutamaan kepada pembangunan pendidikan dan ilmu pengetahuan kerana dengan memberi pendidikan yang sempurna dan berterusan kepada rakyat jelata, kerajaan akan dapat melahirkan generasi pelapis yang dapat mengambil alih peranan untuk mengemudi negara Malaysia ke satu tahap yang boleh dibanggakan. Umno telah melahirkan ramai tokoh-tokoh berpendidikan tinggi yang menjadi pemimpin seantero dunia seperti Allahyarham Tun Dr. Ismail yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri di bawah pentadbiran Perdana Menteri ke-2 iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak.

Dalam pembangunan ekonomi pula kerajaan yang ditunjangi Umno telah melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan meningkatkan penguasaan bangsa Melayu dalam bidang ekonomi. Secara keseluruhanya DEB telah berjaya membawa perubahan dalam tempoh 20 tahun pelaksanaannya, khususnya dalam mencapai matlamat membasmi kemiskinan. Namun begitu, usaha untuk menyusun semula guna tenaga perlu diperhebatkan lagi kerana matlamat yang ditetapkan tidak tercapai sepenuhnya. Bagi memastikan matlamat ini tercapai, kerajaan telah membentuk Dasar Pembangunan Nasional yang merupakan kesinambungan pelaksanaan DEB.

Bagi memberi keselesaan kepada rakyat, kerajaan cuba memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dengan membina lebih banyak jalan raya dan lebuh raya yang bermutu, membina rumah-rumah berkos rendah dan sederhana yang mampu dimiliki oleh golongan berpendapatan rendah serta mewujudkan pusat-pusat rekreasi untuk membolehkan rakyat jelata beriadah.

Dalam bidang kebajikan dan khidmat sosial pula, kerajaan telah membela nasib golongan orang kurang upaya (OKU) dengan memastikan kebajikan mereka terjamin serta melaksanakan dasar bagi memastikan golongan OKU dipertimbangkan untuk berkhidmat di sektor kerajaan dan swasta. Di samping itu, bagi golongan emas yang kurang bernasib baik pula mereka telah diberi dibela hak mereka dengan menyediakan tempat tinggal yang selesa untuk mereka melalui hari-hari tua mereka bersama rakan-rakan senasib dengan mereka.

Oleh itu, dalam kita menyambut hari kemerdekaan yang bakal menjelang, seharusnya kita membulatkan tekad untuk mewarisi dan meneruskan perjuangan tokoh-tokoh terdahulu di dalam Umno yang berusaha keras menuntut kemerdekaan daripada penjajah British.


Monday, August 27, 2007

Politik Islam

Hubungan Islam dengan demokrasi merupakan satu persoalan yang menarik untuk dikaji, sama ada dari segi prinsip mahupun dari segi praktikal. Jika dilihat dari segi prinsip, meskipun rata-rata umat Islam menerima demokrasi, namun masih ada segelintir daripada mereka yang bergelut dengan dilema adakah demokrasi secocok dan selari dengan Islam. Malah ada golongan yang menolak mentah-mentah demokrasi kerana dianggap asing dengan Islam. Demokrasi meletakkan manusia menentukan undang-undang dan sumber perlembagaan negara.

Dalam membicarakan konflik hubungan antara Islam dengan demokrasi, Malaysia dianggap negara Islam yang masih terselamat atau mampu menguruskan hubungan tersebut dengan baik. Ini dapat dibuktikan melalui kerajaan Pusat yang kuat kerana memiliki majoriti dua pertiga dalam pilihanraya yang lalu dan parti pembangkang iaitu PAS telah diberikan peluang yang sebaiknya melalui proses pilihan raya yang bersih dan adil malahan PAS telah berjaya memerintah Kelantan dan Terengganu pada tahun 1999. Dalam konteks kerajaan, demokrasi dan pilihan raya sentiasa menjadi amalan bagi memilih kepimpinan negara. Malah, kerajaan BN masih terbuka menerima kemenangan parti pembangkang. Kita seharusnya bersyukur kerana kerajaan BN tidak menjadi seperti kerajaan di negara Turki dan Algeria yang menghalang kemenangan pembangkang dalam pilihan raya. Kesimpulannya, hubungan Islam dengan demokrasi dalam konteks penyertaan gerakan Islam dalam proses demokrasi melalui pilihan raya amat penting bagi memastikan politik dunia Islam khususnya berjalan dengan baik. Jika tidak, keganasan dan kekerasan politik akan berterusan kerana demokrasi tidak dijadikan saluran untuk mencapai kuasa politik. Malaysia telah menunjukkan jalan dan negara-negara Islam yang lain harus mengambil pengajaran.

Selamat Datang ke Blog Saya..




Assalammualaikum dan salam sejahtera..


Buat pembaca sekalian, selamat datang ke blog saya. Apa yang saya ingin coretkan di sini adalah mengenai situasi politik, ekonomi, sosial dan apa jua cerita berkaitan negara Malaysia yang tercinta. Segala isi kandungan yang tersurat dan tersirat dalam penceritaan saya adalah berdasarkan fakta serta diselitkan dengan pendapat peribadi saya. Saya berharap dengan munculnya blog 'Pemuda Malaysia' ini akan dapat memberi manfaat dan sedikit ilmu untuk kita kongsi bersama. Jika ada yang tersalah tafsir dari saya, diharap pembaca-pembaca yang budiman dapat membetulkan kekhilafan saya. Selamat membaca..